Abdul Hamid Ben Badis (1889-1940)
Gambar Syeikh Abdel Hamid Ben Badis (kiri) dan Syeikh al-Thaiyib al-Oqbi (kanan).
Abdelhamid Ben Badis (عبد الحميد بن باديس) lebih dikenali dengan gelaran Ben Badis telah dilahirkan pada 4 Disember 1889 di sebuah tempat bernama Constantine (dalam Bahasa Melayunya tidak tahu dengan tepat sebutannya, manakala dalam bahasa Arab disebut Qosanthinah) iaitu sebuah bandar di Timur Laut, Algeria. Sheikh Ben Badis merupakan salah seorang pengasas kepada gerakan Pembaharuan Islam di Algeria. Albelhamid Ben Badis adalah berketurunan dari satu keluarga kelas pertengahan yang mendiami bandar lama dan mendakwa dari keturunan Bani Ziri iaitu satu kabilah Islam Berber yang pernah mengasaskan sebuah dinasti pada kurun ke-10 oleh tokohnya yang terkenal iaitu Bologhine ibn Ziri.
Bapa dan datuknya pernah memegang jawatan atasan dalam pentadbiran penjajah Perancis dan salah seorang daripada abangnya adalah seorang peguam yang mendapat pendidikan Perancis. Bapanya telah mendapat pingat kehormat daripada kerajaan Perancis atas khidmatnya yang cemerlang iaitu: Chevalier de la légion, la légion d’honneur. Ibunya Zuhaira bint Muhammad bin Abd al-Jalil bin Jaloul iaitu dari suku Mu’af yang terkenal dan dihormati di pergunungan Houras. Tetapi ‘Abd al-Hamid telah memilih laluan lain dan lebih fundamental. Beliau dapat menamatkan hafalan al-Quran dalam usia 13 tahun.
Dia masih kanak-kanak apabila beliau diletakkan di bawah pengawasan gurunya iaitu Hamdan Lounissi. Lounissi adalah salah seorang guru yang cukup banyak mempengaruhi pada zaman belia Ben Badis. Ben Badis tidak pernah terlupa jasa Lounissi sebagai peguam yang mempertahankan hak-hak penduduk Islam di Constantine. Lounissi telah berpesan kepada Ben Badis agar berjanji kepadanya untuk tidak terlibat dalam memberi perkhidmatan bagi penjajah Perancis di Algeria.
Selepas menamatkan pendidikan tradisional di Algeria, beliau mendaftarkan diri di masjid Zaytuna iaitu sebuah universiti di Tunis yang sangat dihormati pada tahun 1908. Beliau menghabiskan pengajiannya serta dapat menghabiskan kajian-kajiannya pada 1911. Antara gurunya yang terkenal di sana ialah Syeikh Muhammad al-Nakhli yang banyak menanamkan di mindanya ideologi pembaharuan di kalangan masyarakat Islam pada era itu tanpa terlalu bertaklid kepada ulama lain. Bahkan beliau turut menerangkan kepadanya manhaj yang sahih dalam memahami petunjuk al-Quran dan hadis.
Tidak hairanlah Ben Badis berakidah dengan akidah Salafiyah dan bermazhab fiqh dengan mazhab Maliki. Selain itu, beliau amat mencintai bahasa Arab apabila mempelajari ilmu al-Quran dengan Syiekh Muhammad Thahir Ibn ‘Asyur yang terkenal dalam bidang Maqasid al-Syari’ah. Manakala Syeikh al-Basyir Safar pula menekankan kepada beliau dengan pengajian sejarah dan isu sejagat kaum muslimin ketika itu. Dijelaskan kepadanya cara-cara untuk melepaskan diri daripada penjajahan Perancis dan pengaruhnya.
Beliau menamatkan pengajiannya pada tahun 1911. Namun kekal selama dua tahun di sana bagi proses pengajaran menurut tradisi universiti tersebut. (Kalau universiti di Malaysia buat tradisi sebegini, senior kena mengajar kepada junior. Memang bijak-bijak orang Malaysia sebab tak ada sorang yang akan keluar dari universiti melainkan mereka akan mampu bercakap, mengajar dan mempunyai ilmu yang mantop). Apabila pulang semula ke Algeria, beliau segera ingin menjalankan pengajian di masjid besar Constantine (Qosanthinah).
Malangnya usaha beliau disekat oleh ‘mereka yang mempunyai kedudukan’ dengan pihak Perancis. Akhirnya beliau berhasrat untuk menziarahi dunia timur dengan mengerjakan ibadah haji. Beliau tidak berjuang dengan senjata, sebaliknya hanya berjuang dengan pena. Selepas selesai menunaikan haji, Ben Badis telah berziarah ke Madinah dan tinggal di sana selama 3 bulan.
Beliau turut mengajar di Masjid Nabawi dan berjumpa dengan beberapa orang gurunya seperti Syeikh Abu Hamdan al-Ounisi yang memperkenalkan guru reformasinya iaitu Syeikh Bachir al-Ibrahimi. Pertemuan ini merupakan perjumpaan penuh berkat dengan membincangkan teknik reformasi di Algeria dan langkah berkesan yang dapat dilaksanakannya. Gurunya iaitu Syeikh al-Ounisi menyuruh beliau agar terus menetap dan tinggal di Madinah, manakala Syeikh Hussain Ahmad al-Hindi yang berdiam di Madinah berpendapat agar beliau pulang semula ke Algeria yang amat memerlukan dirinya. Beliau menerima pendapat Syeikh Hussain Ahmad al-Hindi dan bertolak pulang ke Algeria.
Dalam perjalanannya itu beliau telah menziarahi Syam, Mesir dan kawasan sekitarnya dengan bertemu para ulama, pendakwah Salafiyah dan tokoh al-Azhar. Sewaktu sampai di al-Azhar beliau menghubungi Syeikh Bakhit al-Muthi’ie dan menyerahkan surat yang dikirimkan oleh Syeikh al-Ounisi.
Ben Badis sampai di Algeria pada tahun 1913 dan terus pulang ke kampung halamannya di Constantine. Beliau melakukan usaha pendidikan dari peringkat ‘kanak-kanak’ hingga peringkat dewasa (jadi bagi ustaz-ustazah yang baru pulang dari universiti tu, lihat bagaimana bermulanya kekuatan ulama Islam. Mereka memulakan didikan dari peringkat bawah hingga ke peringkat atas. Jadi kena turunkan level sedikit dalam membentuk generasi awal yang mampu memangkin generasi akan datang dengan lebih berkesan.) masjid adalah pusat utama bagi setiap aktiviti dan program Tasfiyah dan Tarbiyahnya.
Beliau memulakan langkah dakwah dengan menerbitkan akhbar al-Mountakid pada tahun 1925. Pusat penerbitan akhbar ini ditutup selepas keluarnya edisi yang ke-18. beliau menerbitkan akhbar mingguan lain bernama al-Chihab yang banyak mengutarakan idea pembaharuannya. Akhbar ini berterusan diterbitkan hingga menjadi sebuah akhbar utama pada tahun 1929. Kemudiannya ia bertukar menjadi sebuah majalah bulanan yang lebih bersifat ilmiah dengan mottonya: Tidak akan berubah yang lain di kalangan umat ini melainkan diperbaiki apa yang paling asas. Akhbar ini akhirnya terpaksa dihentikan penerbitannya pada tahun 1939 dengan sebab tercetusnya perang Dunia Kedua.
Pada tahun 1931 beliau menubuhkan Kesatuan Ulama Islam Algeria atas hasil usaha sebilangan ulama Algeria meskipun dari pelbagai perspektif dan pandangan. Kesatuan ini berjaya mengumpulkan satu perhimpunan pada tahun 1936. Perhimpunan yang mengumpulkan parti politik dan pertubuhan bagi membincangkan isu di Algeria. Beliau mengiklankan perjumpaan ini menerusi akhbar berbahasa Perancis iaitu La Defense.
Sambutan begitu menggalakkan dari pelbagai persatuan, pertubuhan dan juga tokoh perseorangan hingga ia dapat menghasilkan beberapa tuntutan hak bagi rakyat Algeria kepada penjajah Perancis. Mereka membentuk satu rombongan delegasi ke Perancis bagi mengemukakan tuntutan ini. Antara rombongan yang akan berangkat di dalam delegasi ini adalah Ben Badis, al-Ibrahimi, al-Thaiyib al-Oqbi yang mewakili persatuan ulama Algeria. Namun perancis tidak memberikan sebarang jawapan pada tuntutan ini dan tuntutan tersebut dianggap gagal.
Aktiviti yang dilaksanakan oleh Ben Badis dalam menghimpunkan segala persatuan dan pertubuhan ini selama beberapa tahun telah berjaya membangunkan satu generasi Algeria yang berpengetahuan. Penerbitan akhbar seperti al-Mountakid dan al-Chihab telah memberikan impak maksima terhadap masyarakat Muslim Algeria terhadap aspek politik hingga mencetuskan Perang Kemerdekaan Algeria.
Faktor yang menggerakkan keperibadian Ben Badis adalah persekitaran yang dilaluinya. Di tengah kehidupan masyarakat yang terpengaruh dengan budaya penjajah serta kebejatan fahaman agama dengan amalan bidaah yang berleluasa. Kelompok tasawuf yang mendewakan syeikh mereka dan mempertahankan amalan zawiyah yang menyimpang dari ajaran yang sahih berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Ben Badis tetap bangkit membetulkan amalan hidup masyarakatnya. Sekalipun beliau adalah seorang anak bangsawan yang mampu hidup mewah dan mempunyai pengaruh hebat di bawah ‘belaian’ penjajah. Beliau menolak cara hidup sedemikian bagi mempertahankan hak rakyat yang dizalimi dengan menekankan kehidupan yang lebih ilmiah dan berkebajikan.
Kepulangan beliau dari Tunis dan kembara ilmiahnya di bumi Hijaz dan Syam telah mempertemukan beliau dengan para tokoh yang terkesan dengan teknik dakwah Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang memfokuskan kepada penyucian akidah berlandaskan pegangan para sahabat dan salaf al-Ummah yang mendapat terus didikan daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa sebarang penambahan atau pengurangan ajarannya. Begitu juga dengan impak Majalah al-Manar yang diterbitkan oleh Syeikh Rasyid Ridha yang begitu berpengaruh dalam pemikirannya agar memisahkan penyakit umat Islam yang terjajah daripada imperialisme barat.
Selain itu, persekitarannya yang baik dengan bersahabat dengan beberapa tokoh umat yang terkenal seperti al-Ibrahimi, al-Tbisi, al-Okbi dan al-Mili yang bersama melaksanakan apa jua aktiviti dalam usaha mengislahkan ummah. Beliau sendiri menyatakan: “Sesungguhnya perkara yang dapat membangkitkan umat Islam adalah keimanan mereka kepada Allah Taala dan RasulNya yang menjadi sumber kekuatan pada diri mereka. Selepas itu mereka perlu menjadi satu jemaah yang tersusun dari aspek ideologi, penghayatan, perbincangan dan mampu memberi pengaruh besar dengan menghidupkan usaha bagi menegakkan kebaikan dan menolak kemudaratan. Selain bersandarkan kepada amalan berpandukan pemikiran dan juga keazaman.”
Beliau juga adalah seorang ahli tafsir yang menghuraikan al-Quran al-Karim sepanjang 25 tahun dalam pengajian hariannya sepertimana beliau mensyarahkan kitab Muwattha Imam Malik dalam waktu yang sama. Beliau juga adalah seorang ahli politik yang sering mencambahkan ideanya di dalam majalah dan akhbar buat tatapan seluruh muslimin di Algeria dalam sesebuah isu sama ada kecil atau besar dengan menyerang kuasa imperialis Perancis bersandarkan huraian asas politik Islam yang lebih adil.
Sebelum itu, beliau adalah seorang murabbi yang mendidik dan membimbing generasi mudanya di masjid dan sekolah. Mereka berusaha menubuhkan sekolah bagi merealisasikan impian ini dalam membudayakan keilmuan di dada generasi muda Algeria. Generasi inilah yang bangkit dan menjadi tunjang kuat dalam melaksanakan Perang Kemerdekaan Algeria selepas kematiannya. Tidak ramai para reformer yang sempat bergelumang dengan mendidik dan membimbing generasi muda atau kanak-kanak sebagaimana Ben Badis. Rasyid Ridha sendiri mengimpikan sebuah madrasah untuk membina angkatan pendakwah, tetapi impian itu tidak terlaksana.
Ben Badis berpendapat bahawa tarbiyah ini perlu dimulakan secara individu, faktor yang merubah dan memberikan contoh kebaikan di dalam jiwa manusia adalah perkara asas yang perlu diberi keutamaan oleh setiap pendakwah. Cara didikannya pula adalah menanam pemikiran yang sahih sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Ibrahimi semasa pertemuan mereka di Madinah iaitu, “Cara utama yang kami sepakati pada tahun 1913 adalah mendidik generasi muda dengan keluasan ilmu dan membimbing mereka dengan pemikiran yang sahih”
Ben Badis turut mengkritik manhaj pengajaran yang meluas dilaksanakan di Algeria ketika itu dengan ulasnya, Ben Badis turut mengkritik manhaj pengajaran yang meluas dilaksanakan di Algeria ketika itu dengan ulasnya, “Cukuplah kita membahaskan cabangan fiqh tanpa sebarang pandangan baru, kontang dari hikmah dan berada di belakang benteng lafaz yang ringkas dan akan mengurangkan usia sebelum sampai pada maksudnya.”
Beliau telah meninggal dunia pada 16 April 1940 di Constantine dengan diiringi lebih 20 ribu orang jenazahnya ke tempat persemadiannya menemui kekasihnya Allah Rabb al-Jalil. Semoga rohnya dicucuri rahmat di atas sumbangannya dalam menegakkan kalimah Allah. Allahumma amin…
- P/S:
Cukuplah sampai di sini sahaja. Kalau nak cerita tentang kisah hidup beliau ini, mungkin boleh buat sebuah buku… ehmm gitulah cerita tokoh ummah kita yang jarang disebutkan oleh penulis di Malaysia ini. hanya beberapa orang tokoh yang diulang-ulang hingga bila tidak dimasukkan nama tokoh itu, kita rasa orang yang membicarakannya tidak mendalam pengetahuannya. Ehmm pernah rasa gitu kan? Semoga Allah memberkati usaha dan sumbangan syeikh Ben Badis ini dan kita mengikut jejak langkah beliau. Amin ya Rabb!



