Belasungkawa: al-Marhum Syeikh Ibn Jibreen
Gambar al-Marhum Syeikh Ibn Jibrin menziarahi Syeikh Safar al-Hiwali sekitar tahun 2005.
Pada hari Isnin 20 Rejab 1430 bersamaan 13 Julai 2009 salah seorang ulama yang menjadi ahli anggota fatwa kerajaan Arab Saudi telah kembali menemui kekasihnya Allah Azza wa Jalla. Beliau ialah Abu Muhammad, Abdullah bin Abdurrahman bin Abdullah bin Ibrahim bin Fahd bin Hamd bin Jibrin dikenali dengan gelar Syeikh ibn Jibrin (Jibreen).
Silsilah keturunannya bersambung hingga ke kabilah Bani Zaid. Beliau dilahirkan pada tahun tahun 1352H di sebuah kampung al-Qowai’iyah dan mendapat pendidikan pada tahun 1358H. Beliau mula belajar membaca dan menulis, sekalipun pusat pengajian tidak lengkap dan tidak begitu sempurna ketika itu. Dalam tempoh itu juga, beliau menekuni al-Quran dan al-Sunnah dalam usia baru mencecah 12 tahun pada tahun 1364H.
Beliau belajar menulis dan kaedah penulisan al-Quran hinggalah ke peringkat asas hafazan dan berjaya menyempurnakannnya pada tahun 1367H dalam usia 15 tahun. Sebelum itu juga beliau turut mempelajari beberapa ilmu asas seperti ilmu Nahu daripada bapanya sendiri menerusi kitab al-Ajurumiyah dan juga Matan al-Rahabiyah dalam bidang al-Faraid (pusaka). Manakala di dalam bidang hadis, beliau telah menghafal Hadis 40 dan juga hadis daripada kitab ‘Umdat al-Ahkam.
Pada tahun 1367H itu, sebenarnya beliau telah memohon untuk belajar kepada Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad al-Syitsri (الشثري) rahimahullah juga terkenal dengan Abu Habib. Namun syeikh enggan menerima murid-muridnya yang masih belum menghafal 30 juzuk al-Quran. Akhirnya Syeikh Ibn Jibrin berusaha bersungguh-sunnguh untuk menghafal al-Quran hinggalah berjaya menghafal keseluruhannya pada tahun tersebut.
Setelah itu barulah beliau dapat belajar dengan Syeikh al-Syitsri dengan jadual yang ketat pada setiap hari bermula usai solat Subuh, kemudiannya selepas waktu Dhuha. Mereka berhenti apabila mentari mula menegak dengan suhu yang tidak sesuai untuk meneruskan pengajian. Selepas rembang mula suram dengan tibanya waktu Asar, mereka akan belajar semula dalam tempoh satu jam setelah solat Asar. Waktu malam pula adalah setelah solat Maghrib sehingga masuk waktu solat Isyak.
Subjek yang dipelajari daripada Syeikh al-Syitsri seperti bidang hadis yang dimulakan dengan kitab Sahih Muslim, Sahih al-Bukhari, Mukhtasar Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmizi dan huraiannya iaitu Tuhfat al-Ahwazi.
Beliau juga turut belajar ‘keseluruhan’ kitab Subul al-Salam Syarah Bulugh al-Maram, kitab Ibn Rajab iaitu Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, kitab Fiqh Hadis terkenal iaitu Nail al-Authar ‘ala Muntaqa al-Akhbar, Tafsir Ibn Jarir yang dipenuhi dengan hadis dan atsar, Tafsir Ibn Katsir, kitab al-Tauhid, Matn al-Zad al-Mustaqni’ dan pelbagai kitab besar lain yang dari kulit ke kulit sama ada mendengar, membaca kepada syeikh, menghafaz dan mengulang kajinya.
Selepas beliau menamatkan pengajiannya di pusat pengajian Dakwah di Maahad Imam Dakwah di bandar Riyadh pada tahun 1380H. Beliau telah dihantar ke sempadan utara bagi misi latihan dakwah disana. Tidak lama kemudian, beliau diterima menjadi tenaga pengajar di pusat tersebut.
Selain itu, pada jangka waktu yang sama beliau turut dilantik menjadi imam di Masjid Ali Hammad di Riyadh pada bulan Syawal 1389H hinggalah masjid tersebut dan penempatannya dirobohkan bagi pembinaan semula kawasan tersebut pada tahun 1397H. Selama lebih kurang dua tahun, beliau menjadi pengganti bagi khatib di sekitar Riyadh apabila diperlukan.
Beliau juga mempunyai beberapa buah karya terkenal antaranya kajian tesis Master beliau yang sempurna penyelidikannya pada tahun 1390H yang berjudul Akhbar al-Ahad fi al-Hadits al-Nabawiy (أخبار الآحاد في الحديث النبوي). Beliau mendapat pangkat cemerlang, biarpun kesibukan dakwahnya dengan jadual yang begitu padat dengan penghasilannya itu dalam jangka masa yang begitu singkat dengan rujukan yang terhad. Hasilan ini akhirnya diterbitkan pada tahun 1408H.
Pada tahun 1391H pula, beliau turut mengajar sebuah kitab yang berjudul Matn Lum’at al-I’tiqad karya Ibn Qudamah di Maahad Imam Dakwah (معهد إمام الدعوة) bagi para pelajar baru. Beliau menulis soal jawab ringkas dalam bidang tersebut bagi para pelajar peringkat pertengahan yang cukup berfaedah bagi mereka. Hinggalah beberapa orang pelajarnya menyalin dan mencetak ringkasan tersebut dengan judul al-Ta’liqat ‘ala Matn al-Lum’ah (التعليقات على متن اللمعة) pada tahun 1412H.
Syeikh turut mentakhrijkan hadis-hadis yang digunakan oleh Ibn Qudamah dalam bentuk sederhana bagi para pelajarnya yang pertengahan. Pada tahun 1399H, beliau telah mendaftar di dalam fakulti Syariah bagi pengajian kedoktoran dengan memilih tajuk kajiannya iaitu Tahqiq Syarh al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Kharaqi (تحقيق شرح الزركشي على مختصر الخرقي) iaitu sebuah kitab syarah yang masyhur selepas kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah. Gelaran doktor falsafahnya diraih pada tahun 1407H dengan keputusan cemerlang kelas pertama.
Dalam disertasi itu, beliau bertugas untuk menyemak semula dan mentakhrij (membuat footnote) bagi kesemua hadis tersebut sebanyak 7 jilid buku. Tesis ini dibentangkan dan diberikan kelulusan untuk dicetak dan bukunya ini beredar di pasaran setempat. Seterusnya beliau diminta berpindah ke Universiti Imam Muhammad bin Sa’ud Islamiyah menjadi dekan di Fakulti Syariah dan Usuluddin pada tahun 1395H. Ketika itu kedua-dua buah kuliah tersebut belum lagi dipisahkan menjadi dua bahagian berasingan. Beliau manjawat jawatan sebagai staf akademik fakulti tersebut dan selama berada disana beliau telah banyak membimbing disertasi para pelajar jurusan Master.
Pada tahun 1402H, beliau telah dipindahkan ke jabatan lain sebagai ketua penyelidikan ilmiah, fatwa, dakwah dan bimbingan dengan keahlian sebagai anggota majlis fatwa. Disana beliau dapat berada di sisi gurunya iaitu Syeikh Abdul Aziz bin Baz -rahimahullah. Beliau juga diberikan kebebasan berfatwa secara lisan, melalui telefon dan penulisan secara langsung.
Di samping itu, beliau dilantik ke bahagian penting dalam hal ehwal penyelidikan fatwa Lujnah Daimah sebagai penyemak setiap artikel yang boleh atau dilarang untuk disebarkan dalam setiap majalah dan kajian ilmiah. Ketika berada di bahagian tersebut, jawatannya adalah kariernya yang terakhir sebelum pencen pada bulan Rejab 1418H.
Aktiviti harian beliau ini dimulai selepas solat Subuh dengan memberikan ceramah di sebuah masjid sehingga terbit matahari. Kemudiannya beliau pulang ke rumah untuk beristirehat sebentar sebelum bertolak ke pejabatnya di bahagian fatwa. Di pejabatnya, meskipun ramai yang datang bertanyakan pelbagai pertanyaan tentang masalah keagamaan, beliau tidak pernah berasa jemu.
Beliau sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Beliau bersedia mengangkat telefon orang yang bertanya dan telefonnya tidak pernah berhenti berdering. Demikianlah kesibukannya setiap hari. Kerapkali beliau merupakan orang yang paling akhir pulang dari pejabat Fatwa, bahkan beliau sendiri yang mematikan lampu-lampu.
Setelah solat Asar, rumahnya terbuka untuk umum masyarakat bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan masyarakat setempat tentang permasalahan agama sehingga tiba waktu Maghrib. Kemudian, beliau menuju ke salah sebuah masjid di
Keistimewaan Syeikh Ibn Jibrin ini pada akhlaknya yang terkenal dengan sikap tawaduknya. Beliau banyak diam dan tidak akan berbicara kecuali menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya. Jikalau ada ulama lain memberikan pendapat yang berselisih dengan pendapatnya mengenai suatu hukum atau fatwa syariah. Pasti dengan penuh tawaduk beliau mengatakan, “Mereka adalah ulama dan kita mesti menghormatinya.”
Dalam soal menanggapi pendapat ulama lain, beliau sekali-kali tidak mahu berdebat dengan cara kasar dan emosional.Apabila beliau diundang mengisi pengajian atau ceramah agama di mana-mana kawasan, beliau tidak pernah menolak jika tidak terikat dengan jadual atau janji dengan pihak lain. Syeikh Ibn Jibrin senantiasa berbaik sangka dan tidak pernah merasa iri terhadap siapapun dari golongan ahli sunnah wal jamaah.
Mereka yang pernah mengenalinya pasti menyukainya kerana keterbukaannya dan sikap lapang dadanya terhadap semua peringkat. Beliau jarang menolak bantuan yang dikemukakan oleh para pelajarnya. Beliau senantiasa memenuhi permintaan mereka sendirian. Segenap waktunya adalah pengabdian kepada Allah dan agamaNya. Hidupnya dipenuhi dengan kalimat-kalimat Allah atau dengan sabda-sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. .
Karangannya
1. Syarh al-Zarkasyi ‘Ala Mukhtashar al-Kharaqi; Dirasah wa Tahqiq.
2. Akhbar al-Ahad fi Hadits an-Nabawi.
3. Al-Ta’liqaat ala Matn Lum’th al-I’tiqad.
4. Fadhl al-’Ilmi wa Wujub al-Ta’allum.
5. Ahammiyah al-`Ilmi wa Makanatu al-`Ulama’.
6. Majmu’ Fatawa wa Rasa’il as-Syaikh Abdullah al-Jibrin.
7. AI-Mufid fii TaqribAhkam al-Musafir (173 hukum).
8. AI-Mufid fii TaqribAhkam al-Adzaan (123 hukum).
9. Al-I’lam bi Kufri Man Ibtagha Ghairu al-Islam.
10. Al-Siraj al-Wahhaj Lil Mu’tamir wal Hajj.
11. Al-Siyam: Adab wa Ahkam.
12. Khawathir Ramadhaniyah.
13. Fatawa Al-Zakat.
14. Al-Islam baina al-Ghuluw wa al-Jafa’ wa al-Ifrath wa Tafrith.
15. Fitan Haza al-Zaman.
16. Al-Wala’ wa al-Bara’.
17. Haqiqat al-Iltizam.
18. Al-Adab wa al-Akhlaq al-Syar’iah.
19. Fatawa wa Ahkam fi Nabiyullah Isa ‘Alaihis Salam.
20. Syarh Al-’Aqidah al-Wasathiyah.
21. Syarh Kitab al-Tauhid.
22. Fawaid min Syarh Kitab Manar al-Sabil.
23. Fawaid min Syarh Kitab al-Tauhid.
24. Al-Amanah.
25. Al-Hajj: Manafi’uhu wa Atsaruhu.
26. Al-Salaf Al-Salih baina al-Ilmu wa al-Iman.
27. Al-Bida’ wa al-Muhadditsat fi Al-’Aqaid wa Al-’Amal.
28. Muharramat Mutamakkinah fi Al-Ummah.
29. Al-Jawab al-Faiq fi al-Radd Ala Mubdil al-Haqaiq.
30. Al-Syahadatan Ma’nahuma wa Ma Tastalzimuhu Kullu minhuma.
31. Syarh Kitab Minhaju al-Salikin.
Ya Allah, rahmatilah beliau dengan ganjaranMu yang tidak terhingga. Jadikanlah kami orang yang menuruti dan mengasihi para ulama yang menjadi para pewaris dakwah NabiMu. Amin ya Rabb!
Innalillah wa inna ilaihi raji’un
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengangkat ilmu dengan sekali cabut dari kalangan manusia. Namun Allah akan mengangkat ilmu dengan mewafatkan para ulama. Hingga tidak tertinggal lagi seorang berilmu (di kalangan mereka), manusia pasti akan mengangkat para pemimpin yang jahil. Mereka ditanya lantas mereka pun berfatwa tanpa ilmu. Hingga akhirnya mereka sesat dan menyesatkan (orang lain)”.
(Sahih Al-Bukhari, Kitab al-‘Ilmi, Bab Kaifa Yaqbidh al-‘Ilm (1/194 –Fath al-Bari) dan Sahih Muslim, Kiaab al-‘Ilmi, Bab Raf’i al-‘Ilmi wa Qabdhi hi wa Zhuhur al-Jahli wa al-Fitan (16/223-224 –Syarh al-Nawawi).



