Ulasan Buku & Kitab

“Di dalamnya terdapat (isi kandungan) kitab-kitab yang bermutu tinggi” [al-Bayyinah: 3]

Ibn Rajab al-Hanbali (1335-1393)

1-01-0021.jpg

 

Beliau ialah Zain al-Din, Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman ibn Ahmad ibn ‘Abd al-Rahman ibn al-Hasan ibn Muhammad ibn Abi al-Barakat Mas’ud al-Sulami al-Baghdadi al-Hanbali. Beliau lebih dikenali sebagai ibn Rajab kerana nama gelaran yang diwarisi daripada datuknya yang lahir pada bulan Rajab dan juga salah seorang ulama terkenal. Imam ibn Rajab dilahirkan di kota Baghdad pada tahun 1335 (736H).

 

Datuk beliau adalah seorang ulama terkenal yang banyak memfokuskan kajian dan penulisannya di bidang Hadis. Bapanya juga dilahirkan di kota Baghdad dan sempat belajar di bawah didikan dan bimbingan sebilangan ulama terkenal. Dalam usianya menjangkau lima tahun, keluarganya telah berhijrah keDamsyik, Syria. Seterusnya mereka berpindah pula ke Baitul Maqdis (Jerusalem) dan beliau sempat belajar dengan tokoh ulama disana iaitu Syeikh al-Ala’i.

 

Tidak berapa lama kemudian, mereka berpatah balik ke kota Baghdad dan dari sana mereka ke Makkah. Semasa berada di Makkah, bapanya telah mengaturkan pendidikannya di bidang pengajian Islam dengan lebih baik. Beliau telah mengembara dalam usaha pencarian ilmu hingga ke Mesir (Egypt) sebelum pulang semula ke Damsyik (Damascus). Disana beliau memantapkan keilmuannya dengan beberapa orang ulama seperti  ibn al-Naqeeb (w.769H), al-Subki, al-Iraqi (w.806H) dan Muhammad ibn Ismail al-Khabbaz.

 

Beliau juga sempat belajar daripada Ibn Qayyim al-Jawziyyah hinggalah akhir hayat ibn Qayyim. Ibn Rajab telah mengulas 40 buah hadis Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang berjudul Jami’ al-Ulum wa al-Hikam dengan tambahan 10 buah hadis lagi sebagai isyarat bahawa hadis tidak terhad 50 buah sahaja untuk dihafal dan dipelajari. Huraian 50 buah hadis itu cukup besar dan menjadi sebuah buku yang paling baik dihuraikan di dalam lapangan hadis ini. Kitab ini sudah diterjemahkan di dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Pustaka Salam.

 

Penghujung usianya, Ibn Rajab telah memulakan penulisannya dalam menghuraikan kitab Sahih al-Bukhari, sayangnya hajatnya itu tidak kesampaian untuk menyempurnakan ulasan dan syarah kesemua hadis sahih tersebut. Beliau hanya sempat sampai ke dalam Bab Solat Jenazah sebelum kembali menemui Kekasihnya, Rabb al-Jalil. Beliau menamakan judul kitabnya ini dengan nama Fath al-Bari dan hasil kerjanya ini telah disemak semula dan dicetak untuk bacaan umum atas usaha Percetakan Dar Ibn al-Jawzi dalam 7 jilid besar.

 

Bilangan ini melebihi jumlah jilid kitab Sahih al-Bukhari yang selalunya dicetak setebal 6 jilid. Bayangkan di minda kita, berapa tebal kitab ini jika hasil kerjanya ini dapat disiapkan? Sedangkan belum sampai sejilid beliau sempat menghuraikan kitab Sahih al-Bukhari tersebut. Namun, selepas 20 tahun beliau bersemadi di sisi Allah Taala yang Maha Kuasa. Ibn Hajar al-Asqalani telah memulakan semula usaha murni ini dalam menghasilkan huraian kitab Sahih al-Bukhari dan beliau turut menamakan hasil kerjanya ini sama dengan judul buku Ibn Rajab iaitu Fath al-Bari sebagai satu penghormatan terhadap sumbangannya.

 

  • Hasil Karyanya Yang lain

 

Di bidang Tafsir dan Pengajian al-Quran beliau telah menghuraikan beberapa surah al-Quran seperti Tafsir Surah al-Ikhlaas, Tafsir Surah al-Faatihah, Tafsir Surah al-Nasr, buku I’raab al-Bismillah dan al-Istighna bi al-Quran. Ini karyanya dalam bidang al-Quran, kesungguhan ulama dalam menghuraikan surah-surah ini usah dipandang ‘enteng’ sekalipun hanya surah al-Ikhlas yang mempunyai 4 ayat. Tidak mustahil dengan keilmuan mereka, mereka mampu menghuraikan atau mentafsirkan ayat-ayat tersebut menjadi sebuah buku yang tebal. Allahu Akbar! 

 

Manakala di bidang pengajian Hadis dan syarahnya pula beliau telah berjaya menghasilkan huraian kitab hadis seperti Syarh Jami’ al-Tirmizi, Syarh ‘Ilal al-Tirmizi, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsina Haditsan min Jawami’ al-Kalim (juga diterbitkan di dalam bahasa Inggeris dengan judul The Compendium of Knowledge and Wisdom oleh Turath Publishing Ltd., London, July 2007), Ma Zi’bani Ja’iaan ursila fi Ghanam, Ikhtiyaar al-Awla fi Syarh Hadits Ikhtisaam al-Mala al-A’alaa, Nur al-Iqtibas fi Mishkat Wasiyyat al-Nabi li Ibn Abbas, Ghayat al-Nafa fi Syarh Hadits Tamtsil al-Mu’min bi Khamat al-Zara, Kasyf al-Qurbah fi Wasfi Hali Ahl al-Ghurbah.

 

Di bidang Fiqh pula, beliau telah menghasilkan karyanya yang bermutu seperti al-Istikhraj fi Ahkam al-Kharaj, al-Qawa’id al-Fiqhiyyah dan Kitab Ahkam al-Khawatim wa ma yata’allaqu biha. Hasil di bidang Biografi dan sejarah pula seperti al-Zail ‘ala Thabaqat al-Hanabilah, Mukhtasar Sirah Umar ibn ‘Abd al-’Aziz dan Sirah ‘Abd al-Malik ibn Umar ibn ‘Abd al-’Aziz. Hasil karya penulisannya dalam topik yang lebih umum seperti kitab Latha’if al-Ma’arif fima li Mawasim al-Aam min al-Wazha’if , al-Takhwif min al-Nar wa al-Ta’rif bi Hali Dar al-Bawar, al-Farq baina al-Nasihah wa al-Ta’yir dan Ahwal Ahl al-Qubur.

 

  • Komentar Ulama Mengenainya

 

Ibn Qadhi Syuhbah menyatakan di dalam biografinya: Beliau rajin membaca dan belajar hingga menjadi seorang yang begitu mahir dalam pelbagai bidang keilmuan. Beliau banyak menumpukan kajian dalam permasalan mazhab Hanbali sehingga dia benar-benar menguasainya. Beliau juga begitu tekun menumpukan masanya untuk menguasai setiap nas dan dalil, kecacatan-kecacatan dan maksud daripada matan Hadis hinggakan beliau berusaha mengasingkan dirinya semata-mata bertujuan untuk meluaskan masa bagi menghasilkan karya penulisan. 

 

Al-Hafiz ibn Hajr al-Asqalani pula menyatakan: Beliau adalah seorang yang begitu mahir dalam jurusan kelimuan atau disiplin Hadis dengan mengetahui secara mendalam berkaitan nama-nama para periwayat hadis, biografi mereka, jalan periwayatan mereka serta pemeliharaan kritis setiap lafaz hadis yang disampaikan oleh mereka.

 

Imam ibn Muflih al-Hanbali pula menceritakan: Beliau adalah seorang ulama yang hebat. Seorang hafiz, seorang yang menyekat dirinya daripada kehidupan duniawi. Salah seorang tokoh mazhab Hanbali dan dia menulis banyak buku yang bermanfaat.

 

Ibn Rajab telah dijemput menemui Tuhannya pada malam Isnin bersamaan 4 Ramadan tahun 795H (1393) dalam usia 59 tahun di sebuah kawasan perumahan yang beliau sewa di kota Damsyik (Damascus). Solat jenazahnya telah diadakan pada hari berikutnya dan disemadikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Bab al-Saghir.

 

  • :) Semoga Allah memberkati hidupnya dan melimpahi rahmat atas kematiannya dengan sumbangannya yang besar buat umat ini. Semoga Allah bangkitkan kita di akhirat kelak bersama-sama dengan mereka atas kecintaan pada ilmu dan para ulama yang menjadi pewaris para Nabi seperti mereka ini. Amin ya Rabb!

 

Bookmark Artikel ini:
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • Print
  • RSS
  • Technorati
  • Twitter
RSS 2.0 | Trackback | Comment

One Response to “Ibn Rajab al-Hanbali (1335-1393)”

  1. Fikri

    Bulan lepas langsung tak tulis… tak sempat kerana byk kerja… minggu ini cuti, kerja pun dah beres… ana tobat tak nak ambil upah tulis tesis lagi lepas ni. Ada 3-4 tesis pelajar yang ana bantu untuk buat dalam 2-3 bulan lepas. Ini baru siap. Amat memenatkan dengan kerja seharian.

    Satu tesis akhir tu plak, file word yang dibawa dalam external ke hulu ke hilir tu pulak, tetiba je corrupted. Tesis yang dha hampir siap semua dok dalam tu, bayangkan kita terpaksa buat semula dari mula. Macam nak pengsan cari semula bahan… jadi cukuplah sampai di sini. Kalau nak tolong pun sikit-sikit je.. takat yang termampu…

    Kelapangan ini memang dirindui laaa.. ok insya Allah…

    Wassalam :0

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>