Prof. Dr. Muhammad Musthafa A’zhami
Beliau adalah seorang intelek di dalam jurusan hadis yang berasal dari India. Beliau merupakan sarjana hadis yang sememangnya amat berbeza dan lebih unggul bila dibandingkan dengan para tokoh lain sewaktu menimba ilmu di pusat orientalis atau negara non-Muslim. Selain beliau terdapat beberapa orang tokoh sarjana lain yang pernah menimba keilmuan secara langsung di tempat mekarnya para Orientalis ini. Namun mereka itu tetap diakui sebagai sarjana hadis terkenal kerana berjaya mempertahankan institusi Hadis Nabawi dari terus dicemari oleh tinta jijik mereka.
Tokoh unggul lain antaranya seperti Prof. Dr. Musthafa al-Siba’i (w1949M) dan Dr. Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib (w1963M). Meskipun begitu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Prof. Dr. Muhammad Musthafa A’zhami lebih unggul dan lebih terkenal. Melalui pembacaan saya sendiri, terdapat beberapa keistimewaan, kehebatan, dan keunggulan beliau sebagai seorang ahli hadis terkemuka pada abad ini.
Muhammad Musthafa al-A’zhami adalah salah seorang tokoh cendekiawan Muslim kontemporari yang banyak menitikberatkan kajian keilmuannya di bidang Hadis dan keilmuannya. Beliau juga banyak menumpukan perhatiannya terhadap kajian keislaman yang telah dilakukan oleh para orientalis (al-Mustasyriqin) dengan begitu kritis. Beliau banyak membuat kajian secara total dalam setiap penyelewengan yang dilakukan oleh para tokoh Orientalis yang terkenal seperti Ignez Goldziher dan selainnya yang mempunyai ramai pengikut termasuk di kalangan ‘cendekiawan’ beragama Islam sendiri.
Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami dilahirkan di Mano, Azamgarh dalam wilayah Uttar Pradesh yang ‘kerap bergolak’ di bahagian India Utara, pada tahun 1932. Kalimah Azami atau al-A’zhami adalah nisbah pada daerah Azamgarh. Wujud juga segelintir para ulama Arab yang bergelar al-A’zhami dari wilayah Iraq seperti seorang syeikh Qiraat saya iaitu Syeikh al-A’zhami yang berasal dari wilayah al-‘Azhamiyah, Iraq.
Jadi bagi mereka yang ingin mengenali para sarjana ini perlu membelek biodata seseorang tokoh tersebut secara lebih rinci kerana jika tidak, ia akan berlaku sedikit kekeliruan. Ini antara ‘kesan’ utama jika kita banyak membaca buku berkaitan jurusan ilmu hadis yang perlu untuk mengkaji berkaitan sanad atau rantaian periwayatan seseorang tokoh yang dibaca.
Berbalik kepada Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami ini, beliau sememangnya seorang yang bersikap kritis terhadap gaya pemikiran para orientalis (al-Mustasyriqin) hingga sesetengah sarjana telah memberikannya gelaran (laqab) The Knight of India yang membawa maksud ‘Perwira dari India’ dalam mencantas penyelewengan hujah orientalis.
Beliau adalah seorang yang amat menyukai ilmu dan sangat membenci ideologi penjajahan yang telah memporak perandakan kesatuan Islam di India. Justeru itu, ayahnya tidak menggemari bahasa Inggeris. Hal ini mungkin mudah difahami dengan sekilas pandang kerana bahasa penjajah era itu adalah bahasa Inggeris. Watak ayahnya ini dalam menghadapai reaksi penjajahan dekad itu turut sama mempengaruhi jalan pengajian Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami. Ketika beliau di bangku sekolah beliau disuruh oleh ayahnya untuk bertukar sekolah aliran agama yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. Bermula dari sinilah beliau mula mempelajari ilmu Hadis dan hal-hal yang bersangkutan dengannya secara serius.
Setelah tamat dari sekolah Islam tersebut Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami kemudiannya melanjutkan pengajiannya di College of Science di daerah Deoband, sebuah pusat pengajian terbesar India yang turut mengajarkan pengajian Islam. Berkat ketekunan dan kesungguhannya, beliau berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1952. Kejayaan beliau itu merintis jalan untuk melanjutkan lagi pengajiannya ke dalam Fakulti Bahasa Arab dalam jurusan Pengajaran, Universiti al-Azhar, Mesir.
Sepanjang tempoh tersebut beliau telah mencapai kejayaan yang singkat dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1955. Bekal memperolehi ijazah al-‘Alimiyah Universiti al-Azhar ini pada tahun itu juga beliau kembali ke tanah airnya di India. Kemahirannya ini dalam bidang bahasa membuatkan beliau dilantik sebagai pensyarah bahasa Arab bagi orang bukan Arab di Qatar pada tahun 1956.
Pada tahun berikutnya iaitu tahun 1957, beliau dilantik menjawat jawatan Sekretari bahagian Perpustakaan Kebangsaan di Qatar atau Dar al-Kutub al-Qathariyah. Namun pada tahun 1964, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami melanjutkan pengajiannya di Universit Cambridge,
England. Berkat usaha beliau ini hingga meraih gelaran doktor falsafah atau Ph.D pada tahun 1966 dengan tesis disertasi berjudul Studies in Early Hadith Literature with a Critical Edition of Some Early Texts atau dalam versi Arabnya berjudul Dirasat fi al-Hadis al-Nabawiy wa Tarikh Tadwinih. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam edisi Indonesia dengan judul Hadis Nabawi dan Sejarah Kodifikasinya oleh salah seorang muridnya iaitu Prof. Dr. K.H. Ali Musthafa Yaakub dan diterbitkan oleh Penerbit Pustaka Firdaus, Jakarta.
Setelah tamat pengajian beliau di sana, beliau kembali menjawat jawatan lamanya di Qatar sebagai Sekretari Perpustakaan Nasional Qatar. Pada tahun berikutnya iaitu dalam tahun 1968, beliau meletakkan jawatannya di Qatar dan berpindah ke kota suci Makkah al-Mukarramah untuk mengajar di Fakulti Syari’ah dan Pengajian Islam, Universiti Umm al-Qura. Beliau dan bersamanya al-Marhum Dr. Amin al-Misri adalah orang yang turut berusaha membangunkan fakulti tersebut. Sehinggalah pada tahun 1973, beliau telah berpindah keRiyadh untuk mengajar di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan di Universiti al-Malik Sa’ud.
Pada tahun 1400 H/1980 M, reputasi ilmiah Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami mencapai keunggulannya dengan berhasil memenangi Hadiah Antarabangsa Anugerah al-Malik Faisal bagi Pengajian Islam dari Lembaga Anugerah Yayasan al-Malik Faisal di Riyadh.
Sebenarnya dalam dunia Islam ini terdapat ramai pakar hadis masa kini yang sangat berkaliber dan ada di kalangan mereka yang mendapat jolokan sebagai pembela Hadis masa kini. Di antara tokoh-tokoh tersebut adalah Prof. Dr. Musthafa al-Siba’ie dengan karyanya al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islami dan Dr. Muhammad ‘Ajjaj al-Khathib dengan hasil karyanya yang terkenal iaitu al-Sunnah Qabla al-Tadwin. Namun begitu, apabila dibandingkan dengan dua orang tokoh tadi Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri dan memiliki keunggulan tersendiri dengan beberapa faktor seperti berikut:
- Pertama,
Karya penulisan beliau yang sangat bagus dan begitu mengkagumkan iaitu Studies in Early Hadith Literature yang nyata telah diluluskan oleh dua badan kajian akademik bertaraf antarabangsa. Kedua badan akademik itu ialah Badan Penyeliaan Akademik dari Universiti Cambridge, England dan Badan Penyeliaan Akademik dari Lembaga Anugerah Antarabangsa al-Malik Faisal di Riyadh, Arab Saudi.
Ini dapat dilihat kejayaannya menerima pingat dan anugerah tersebut pada tahun 1400 H/1980 M dalam bidang pengajian Islam. Sedangkan Badan Penyeliaan Akademik yang kedua ini dianggotai oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka bertaraf antarabangsa, antaranya adalah Syaikh al-Azhar dan tokoh agama Arab yang lain.
Menerusi metodologi kajian dan analisanya yang begitu mendalam di bidang ini, beliau sewajarnya mendapat penghormatan dan penghargaan dalam usaha membela institusi Hadis dekad itu. Ketiadaan tokoh ulama yang bangkit dalam mempertahankan penyelewengan para orientalis ini telah men’jahanam’kan ribuan pemuda Islam dalam dakyah ideologi Barat yang merosakkan. Pengaruh orientalis ini dalam jurusan pengajian Islam ini telah melahirkan puluhan persatuan anti-hadis di seluruh ceruk negara umat Islam.
Beliau yang keseorangan tetap bangkit dalam disertasi yang ditulisnya itu, beliau gigih berusaha mematahkan hujah serta menumbangkan akar teori-teori ‘sesat’ para musuh Islam. Beliau juga bangun dalam menyanggah dakyah para anti-hadis yang mengengkari ketulenan Sunnah. Beliau cuba membetulkan kesalahan dan kekeliruan mereka dalam memahami Hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, dan menangkis pikiran-pikiran Orientalis yang meragukan terhadap kredibiliti Hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Dalam usaha ini beliau melaksanakan kajian ilmiah bagi meraih gelaran doktor falsafah di dalam jurusan Ilmu Falsafah di Universiti Cambridge, England. Beliau melakukan semua ini semata-mata bagi membela dan mempertahankan Hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan menyanggah pendapat tokoh orientalis serta membongkar kepalsuan mereka secara kritis berlandaskan hujah naqli (al-Quran dan hadis serta fakta ilmiah) dan ‘aqli (logika).
Bahkan beliau ternyata mampu mengemukakan segala tanggapan dan kritikannya secara ilmiah terhadap pemikiran yang disuburkan oleh para orientalis seperti Ignez Goldziher, Joseph Schacht, A.J. Wensinck dan selain mereka. Beliau turut sama membongkar kekeliruan mengenai selok-belok Hadis yang dinilainya telah menyeleweng atau menyimpang dari prinsip asasnya.
Apatah lagi, penjelasan ini dilakukan oleh mereka yang bukan beragama Islam dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk memperkatakan mengenai syariah Islam itu sendiri. Beliau jelas berupaya memberikan pembelaan dalam mempertahankan hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai salah satu sumber utama rujukan hukum bagi umat Islam.
- Kedua,
Apa yang membuat Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami lebih unggul kerana beliau tidak seperti dua tokoh terkenal tadi yang hanya menimba ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir sahaja. Meskipun beliau pernah belajar di sana, nyatanya beliau turut belajar di Universiti Cambridge, England. Di situ, beliau secara langsung mengambil faedah dengan ‘berguru’ di lubuk orientalis dan dapat mengetahui rencam kehidupan mereka dalam mempelajari ilmu Islam. Situasi ini membuatkan beliau dapat mengetahui kelemahan-kelemahan mereka secara tidak langsung.
Jelas sekali setelah beliau lulus dari sana, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami beliau tidak menjadi boneka mereka, malah beliau menjadi lastik yang menyerang semula hujah mereka. Serangan balas yang telah beliau lakukan terhadap daya pemikiran orientalis dalam kajian Hadis menjadi bahana yang tidak mungkin dapat mereka pertahankan semula kekuatan hujah tersebut buat kali kedua. Dua kelebihan dan keunggulan inilah yang tidak dimiliki oleh para pembela hadis selain daripada beliau. Semoga Allah Taala membalas segala sumbangan dan jasanya buat umat Islam.
Setelah usaha yang dilakukan oleh dua tokoh terkemuka di bidang hadis ini iaitu Prof. Dr. Musthafa al-Siba’ie dan Dr. Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib yang bangkit menangkis penyelewengan teori pemikiran orientalis seperti Ignez Goldziher yang cuba meragukan kesahihan Hadis. Lantas Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami pula bangkit di dalam tesis disertasinya bagi mematahkan semua pemikiran para orientalis ini. Secara kritis, Syeikh Muhammad Musthafa al-A’zhami telah berjaya mematahkan argumentasi orientalis serta merobohkan teori-teori yang dicanagkan mereka.
Para orientalis terkemuka dalam kajian mereka terhadap Islam dan ajarannya seperti Robson, A. J. Wensinck, Sachau, Guillaume, terutamanya Ignez Goldziher dan Joseph Schacht yang tidak terlepas dari serangan balik yang dilancarkan oleh Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami. Antara orientalis yang paling teruk ‘dibelasah’ oleh beliau adalah Ignez Goldziher dan Joseph Schacht. Ini disebabkan kedua mereka adalah sarjana orientalis yang dikira paling berpengaruh dalam soal penyelewengan terhadap Hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Pengaruh mereka ini menular ‘rakus’ di samudera minda para orientalis sendiri mahu pun di kalangan cendekiawan Muslim sendiri.
Prof. Dr. Joseph Schacht dalam bukunya The Origins of Muhammadan Jurisprudence dan An Introduction to Islamic Law menyimpulkan bahawa hadis ini terutamanya yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam adalah hasil karya para ulama abad kedua dan ketiga hijrah. Schacht turut menuduh para ulama dekad itulah yang mereka-reka hadis ini demi kepentingan peribadi mereka sendiri. Bagi menyokong dakwaan beliau ini , Schacht turut mengetengahkan teori ‘Projecting Back’ iaitu menisbahkan atau mengaitkan pendapat para ulama Fiqh abad kedua dan ketiga hijrah kepada tokoh-tokoh terdahulu sebelum mereka. Usaha ‘keji’ ini agar pendapat yang beliau ciptakan itu mempunyai nilaian dari orang-orang yang mempunyai autoriti yang lebih tinggi. Menurutnya, para tokoh Fiqh telah mengaitkan pendapatnya dengan para tokoh sebelumnya hingga sampai kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sehingga membentuk sanad hadis.
Bagi menghancurkan teori Schacht ini, Dr. al-A’zhami telah melakukan penelitian khusus tentang hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang terdapat dalam naskhah klasik. Di antaranya adalah naskhah milik Suhail bin Abu Shalih (w138H), naskhah Abu Salih (ayah Suhail) iaitu anak murid kepada Abu Hurairah, sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini kerana sanad periwayatan hadis di dalam naskhah tersebut berbentuk: Dari Nabi SAW sallallahu ‘alaihi wa sallam >> Abu Hurairah >> Abu Salih >> Suhail.
Naskhah Suhail ini mengandungi hanya 40 buah hadis, berkat ketelitian Dr. al-A’zhami dalam menilai para perawi hadis-hadis itu hingga thabaqat (generasi) Suhail iaitu generasi ketiga (al-Thabaqat al-Tsalitsah) termasuk kajian tentang jumlah dan keupayaan mereka. Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami berjaya membuktikan bahawa pada generasi ketiga ini jumlah perawi hanya berkisar sekitar 20 hingga 30 orang sahaja. Keupayaan mereka untuk duduk bersama adalah tipis kerana mereka tinggal berjauhan sekalipun teks hadis yang mereka riwayatkan itu penulisannya adalah sama.
Oleh yang demikian, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami membuat kesimpulan bahawa sangat mustahil menurut situasi pada waktu itu mereka pernah berkumpul untuk mereka-reka hadis palsu sehingga penulisannya sama. Bahkan sangat mustahil jika mereka masing-masing berpakat membuat hadis yang sama dalam situasi dan lokasi yang amat jauh.
Malahan jika hadis tersebut tersebar kepada para generasi berikutnya, mereka pasti berupaya mengetahui bahawa penulisan hadis yang diciptakan itu adalah sama sahaja teksnya. Kesimpulan Syeikh Prof. Dr. Muhammad Musthafa al-A’zhami ini menyanggah dengan kesimpulan Schacht, sama ada mengenai penciptaan semula dari aspek sanad hadis tersebut mahu pun lafaz teks hadis (matan) tersebut.
Wallahu a’lam.
* Semoga kita mendapat faedah daripada artikel ini… insya Allah.



