Imam Abu Hanifah [80H – 150H]
Imam Abu Hanifah dikenali dengan sebutan Imam Hanafi di kalangan muslimin di nusantara. Nama asalnya ialah Abu Hanifah, Nu’man bin Tsabit bin Zutha bin Mah al-Farisi al-Kufi, Maula (hamba) kepada Taim Allah bin Tsa’labah dari kalangan kelompok Hamzah al-Zayyat tokoh Fiqh di Iraq dan pemimpin Madrasah Ahl al-Ra`yi.
Datuknya iaitu Zutha adalah berketurunan Parsi, kemudiannya Zutha telah memeluk Islam. Beliau merupakan seorang hamba yang dimerdekakan dan ada setengah pihak berpendapat bahawa dia tidak pernah menjadi hamba. Bapanya pula adalah Tsabit yang dilahirkan dalam Islam. Imam Abu Hanifah lahir di Iraq pada tahun 80 Hijrah (699M) pada masa pemerintahan Bani Umayyah iaitu Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Ayah dan datuk Abu Hanifah sempat bertemu dengan sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu Ali bin Abi Thalib di Iraq.
Pada zaman tersebut masih terdapat empat orang ulama sahabat yang masih hidup iaitu Anas bin Malik di Basrah, Abdullah bin Abu Aufa di Kufah, Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi di Madinah dan Abu al-Thufail ’Amir bin Watsilah di Makkah. Namun, para ulama sendiri berselisih pendapat mengenai cerita Abu Hanifah bertemu dengan tokoh sahabat ini. Bagi sesetengah periwayat sejarah seperti Ibn Khalikan, Ibn Sa’ad dan al-Waqidi menjelaskan bahawa beliau pernah bertemu dengan Anas bin Malik.
Beliau digelar dengan Abu Hanifah yang bermakna suci atau lurus kerana kesungguhannya dalam beribadah sejak kecil, berakhlak mulia serta menjauhi perbuatan dosa dan keji. Gelaran ini merupakan berkat dari doa Ali bin Abu Thalib, kerana pernah satu ketika ayahnya iaitu Tsabit dibawa oleh datuknya Zutha untuk menziarahi Ali bin Abu Thalib yang berada di Kufah akibat pertikaian politik yang menggoncang umat Islam tatkala itu. Ali bin Abu Thalib mendoakan agar keturunan Tsabit kelak akan menjadi tokoh utama di zamannya dan doa itu pun terkabul dengan hadirnya Imam Abu Hanifah. Namun, tidak lama kemudian ayahnya meninggal dunia.
Pada masa remajanya, dengan segala kecemerlangan otaknya Imam Hanafi telah menunjukkan kecintaannya kepada ilmu pengetahuan, terutamanya yang berkaitan dengan hukum Islam. Sekalipun beliau adalah anak kepada seorang peniaga kaya di Kufah, namun beliau amat menjauhi kehidupan yang mewah. Begitu juga, setelah beliau menjadi seorang pewaris perniagaan yang berjaya, hartanya lebih banyak didermakan kepada hal kebajikan berbanding untuk digunakan demi kepentingan sendiri.
Di samping kesungguhannya dalam menuntut ilmu fiqh, beliau juga mendalami ilmu tafsir, hadis, bahasa Arab dan pelbagai lagi ilmu Islam. Beliau mempelajari ilmu dari gurunya seperti Imam Hammad bin Abi Sulaiman merupakan murid kepada Ibrahim al-Nakhaii. Imam Hammad sendiri mempercayainya untuk memberi fatwa dan pelajaran fiqh kepada murid muridnya sendiri.
Beliau turut belajar dari ’Atha` bin Abi Rabah, Nafi’ Maula Ibn Umar, Qatadah dan juga al-Aswad bin Yazid. Antara tokoh ulama Syiah yang sempat beliau temui dan kutip ilmu dari mereka adalah Imam Zaid bin Ali dan Jaafar al-Sadiq. Rakan dan anak muridnya yang mempelajari ilmu daripadanya ialah Qadhi Abu Yusuf (w.182H), Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani (w.189H), Zufar bin Huzail (w.158H), Abdullah bin al-Mubarak dan Waki’ bin al-Jirah.
Kecemerlangannya ini telah membuatkan gurunya iaitu Imam Hammad mengambilnya sebagai pengganti di dalam majlis ilmunya beberapa lama. Sepeninggalan gurunya itu, beliau telah dikemukakan dengan 60 soalan yang dijawabnya. Sepulangnya Hammad semula, beliau telah mengemukakan semula 60 soalan itu kepada gurunya untuk dijawab, sebagaimana ulasnya:
“Beliau sependapat denganku sebanyak 40 isu dan menyelisihi denganku sebanyak 20 isu permasalahan tersebut. Lantas aku berazam pada diriku untuk tidak berpisah dengannya sehinggalah dia meninggal dunia.”
Akhirnya, Imam Abu Hanifah mengambil tugasan gurunya untuk mengajar dan berfatwa selepas beliau meninggal dunia. Malahan, didapati oleh kaum muslimin ketika itu bahawa beliau adalah seorang yang paling layak diikuti pendapat dan fatwanya. Para pendokong kepada usul mazhabnya semakin ramai dan kian banyak disebarkan. Para tokoh sezaman dengannya mengetahui kelebihan beliau di dalam lapangan ijtihad dan fatwa.
Sebagaimana dinyatakan oleh Jaafar bin al-Rabi’:
“Aku berdampingan dengan majlis ilmu Abu Hanifah selama 5 tahun dan aku tidak pernah beliau diam dalam masa yang lama (untuk berfikir). Apabila ditanya tentang persoalan fiqh, beliau akan memberikan pendapatnya bagaikan arus air dari lembah yang deras dan aku mendengar dengan jelas setiap perkataannya. Beliau adalah seorang yang paling utama dari aspek Qiyas.”
Imam al-Syafii berkomentar:
“Manusia di dalam bidang fiqh ini amat memerlukan kepada pendapat Abu Hanifah.”
Berkata pula Qadhi ’Iyadh al-Yahsubi:
“Beliau merupakan salah seorang yang diterima oleh majoriti orang ramai dengan pendapat yang begitu baik, kritis dan bijak dalam hal Qiyas. Memahami fiqh dengan baik dan merupakan salah seorang tokoh utama di dalamnya, namun beliau bukanlah seorang tokoh di bidang hadis. Malahan tidak diasingkan ilmunya dalam hal tersebut sekalipun tidak terdapat sebarang karya berkaitan hadis dinyatakan serta tidak pernah disebutkan darinya oleh pakar hadis sahih (Imam al-Bukhari dan Muslim) sebarang hadis walaupun satu huruf.”
Beliau adalah seorang yang bertakwa, berakhlak mulia dan seringkali mengeluarkan hartanya kepada para penuntut ilmu. Al-Fudhail bin ’Iyadh menyifatkan beliau:
“Abu Hanifah adalah seorang yang faqih dan terkenal dengan ilmu fiqh dan begitu warak. Beliau juga mempunyai harta yang banyak, terkenal dengan sikap pemurahnya dengan mengeluarkan nafkah kebajikan semampunya. Amat bersabar dalam mengajar ilmu sama ada siang ataupun malam, kuat beribadah pada waktu malam, sering diam dan kurang bercakap dalam perkara yang tidak perlu. Sering mengelakkan diri daripada harta yang diberikan oleh pihak pemerintah.”
Dikenali Imam Abu Hanifah ini merupakan seorang yang tegas mempertahankan kebanaran dan begitu keras dalam pendiriannya. Akibatnya, beliau ditimpa ujian pada zaman Bani Umayyah, apabila Gabenor Iraq iaitu Yazid bin Umar bin Hubairah pada masa pemerintahan khalifah Marwan bin Muhammad menawarkan jabatan hakim kepada beliau.
Tetapi dengan mudah beliau menolaknya dan ini membuatkan Yazid begitu marah dan beliau dihukum dengan 110 kali sebatan. Setiap hari Imam Abu Hanifah disebat sebanyak 10 kali sehinggalah mereka merasa bosan dengan pendirian beliau itu, lalu dilepaskan atas tekanan orang ramai terhadap pemerintah. Pendirian tegas Imam Abu Hanifah ini dapat dinilai dari ungkapannya:
“Demi Allah, aku tidak akan menduduki jawatan itu, sekalipun aku dibunuh kerananya!”
Kesabaran serta kecekalan beliau dalam menghadapi ujian tersebut jelas dinyatakannya:
“Hukuman dunia dengan sebatan ini masih baik dan lebih ringan bagiku daripada sebatan di akhirat kelak.”
Imam Abu Hanifah sempat menyaksikan peralihan kuasa kerajaan dari tangan Bani Umayyah ke tangan Bani Abbasiyah. Semasa zaman Abu Jaafar al-Mansur pula, Imam Abu Hanifah sekali lagi mendapat tawaran untuk menjadi hakim di Kufah. Jawapan yang sama diberikan olehnya iaitu enggan menjawat sebarang jawatan kehakiman negara. Khalifah Abu Jaafar sendiri bersumpah bahawa beliau harus menerima jawatan itu. Namun, Abu Hanifah tetap menolak dan bersumpah tidak akan menerimanya.
Ketika ketegangan itu, seorang muridnya yang sudah menjadi pegawai kerajaan, menasihatinya, “Apakah tuan akan tetap menolak kehendak khalifah, sedangkan khalifah telah bersumpah untuk memberikan kedudukan tinggi kepada tuan?”. Imam Hanafi dengan tegas menjawab: “Amirul mukminin lebih mampu membayar kifarat sumpahnya daripada aku membayar kifarat sumpahku!”
Khalifah Abu Jaafar al-Mansur memerintahkan Imam Abu Hanifah ditangkap dan disumbat ke dalam penjara Baghdad. Ketika hari, Abu Jaafar mengeluarkan Imam Abu Hanifah dari penjara sekali lagi beliau meujuk agar Imam Abu Hanifah menerima jawatan tersebut dan beliau hanya menjawab dengan lemah lembut dan senyuman manis:
“Demi Allah! Jika aku menghendaki akan kemewahan hidup di dunia ini, tentu aku tidak dipukul dan dipenjarakan. Tetapi aku menghendaki keredaan Allah semata-mata dan untuk memelihara ilmu pengetahuan yang telah aku dapati. Aku tidak akan memalingkan pengetahuan yang aku pelihara selama ini kepada kebinasaan yang dimurkai Allah.”
Imam Abu Hanifah mengetahui apa yang bakal terjadi jika dia menerima habuan pemerintah pada waktu itu. Ini kerana pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah berdiri bukan di atas dasar sunnah Rasul, sebaliknya segala fatwa yang bakal dinyatakannya itu sudah pasti perlu mengikut telunjuk dan kehendak pihak kerajaan.
Pada zamannya itu, terdapat tiga orang ulama yang menjadi pendebat tradisi keilmuannya iaitu Sufyan al-Tsauri iaitu ulama hadis yang menolak pendapat Ahl al-Ra`yi yang lebih mengutamakan Qiyas daripada hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Syuraik bin Abdullah al-Nakhaii yang menjadi pesaingnya serta Ibn Abi Laila yang mengkritik Abu Hanifah dalam permasalahan Qadha dan Qadar.
Begitulah kisah Imam Abu Hanifah yang begitu tegar, kukuh mempertahankan kebenaran walaupun ujian pangkat, harta, bahkan seksaan yang terpaksa dilaluinya. Beliau sendiri berpesan agar tidak dikebumikan pada saat kematiannya di tanah perkuburan yang dirampas oleh pihak pemerintah. Pada tahun 150 hijrah beliau telah meninggal dunia di Baghdad, diceritakan orang sewaktu mengiringi jenazahnya, jalan penuh sesak dengan manusia yang turut hadir untuk memberikan penghormatan kepadanya.
- Semoga Allah Taala mengampuni mereka dan kita semua! Amin!



whoaaa… good columm. I like. saya suka sangat. berlatarkan yg cantik nie .