Ulasan Buku & Kitab

“Di dalamnya terdapat (isi kandungan) kitab-kitab yang bermutu tinggi” [al-Bayyinah: 3]

Leo Africanus [1465-1550]

LEO AFRICANUS

(Kertas Kerja Seminar Ketamadunan dan Pengembaraan pada Jun 2006) 

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain 

“Sesiapa Yang Tidak Pernah Mengembara, Beliau Tidak Akan Tahu Nilai Harga Seorang Lelaki”

(Pepatah Arab Barbar)   

  • Kandungan 
  • MUKADIMAH
  • 1.      Siapakah Leo Africanus?
  • 2.      Kehidupan Awal Leo Africanus
  • 3.      Pengalaman Politik
  • 4.      Kesateria St. John
  • 5.      Tinggal Di Itali
  • 6.      Kisah Murtad
  • 7.      Karya-karya dan Sumbangannya
  • 8.      Kehilangan Misteri
  • PENUTUP

MUKADIMAH

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang, terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyediakan kertas ini. Walaupun lebih ramai tokoh yang lebih berwibawa daripada saya, maka dengan ini saya akan cuba sedaya upaya untuk menyediakan sebagaimana yang diamanahkan.

Pada hemat saya, untuk membahaskan kajian seumpama ini memerlukan sedikit sebanyak tinjauan dari sudut sejarah di mana ketika tokoh berkenaan hidup pada zaman umat Islam sedang mencecah puncak kegemilangan tamadun keilmuan Islam yang menjadi kebanggaan kita umat Islam hingga kini. Usaha yang dihasilkan oleh lelaki Arab yang bergelar Leo Africanus merupakan satu hasil kerja yang unik dan dijadikan kajian khusus berabad lamanya di Eropah.

Bermula dengan penerbitan sebuah karya beliau yang diterjemahkan ke bahasa Itali bertajuk Descrittione dell’ Africa (Keterangan Afrika) pada tahun 1550 masehi amat menggemparkan warga Eropah dan dapat menarik minat mereka untuk mengetahui lebih mendalam mengenai dunia timur.  

Sebelum daripada itu, para pembaca Eropah tidak pernah mendengar ataupun membaca sebarang hasil penulisan seorang muslim yang menceritakan mengenai bentuk geografi tanah kelahirannya. Sesudah itu, karya yang dimiliki oleh lelaki berbangsa Arab ini terus dibaca bermula kurun ke-16 hinggalah menjelang kurun ke-20 masehi, kemudiannya kian dilupakan sedikit demi sedikit.

Bagi masyarakat di timur khususnya di dunia Islam, mereka tidak pernah langsung mengenali siapakah gerangan lelaki tersebut. Keadaan ini berubah setelah kisah dan karya beliau ditemui tersimpan di dalam perpustakaan milik Vatican dan diperbincangkan di dalam seminar-seminar ilmiah di beberapa buah universiti utama Eropah. 

1 – Siapakah Leo Africanus? 

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat begitu banyak mitos yang diceritakan berkaitan latarbelakang kehidupan dan peribadi Leo Africanus. Hanya sedikit maklumat yang diketahui mengenai kehidupan dan hasil kerjanya dalam bidang keilmuan sekalipun kebanyakannya masih diliputi misteri. Tidak hairanlah banyak karyanya diadaptasi oleh pengarang yang ingin menceritakan berkaitan ‘alam ketimuran’.

Keadaan ini dapat dirakamkan daripada hasil karya beberapa tokoh sastera Eropah seperti William Shakespeare yang begitu terpengaruh dengan peribadi Leo Africanus hingga beliau mewujudkan watak Othello dalam karyanya ‘The Moor of Venice’ sekitar tahun 1604 atau 1605 masehi.

Nama Leo Africanus yang sebenar ialah al-Hassan Ibn Muhammad al-Wazzan al-Gharnathi. Manakala, nama samarannya Leo Africanus ataupun ‘Singa Afrika’ adalah gelaran yang diberikan kepada beliau dan cukup terkenal di kalangan bangsa Eropah hingga kini.Beliau dilahirkan di Granada sekitar tahun 1490-an semasa era kejatuhan kerajaan Islam Granada ke tangan tentera Katolik Sepanyol.

Situasi kekacauan dan huru-hara ini menyebabkan keluarga al-Hassan terpaksa beralih arah menuju ke dunia Islam untuk menyelamatkan diri dan akidah mereka. Destinasi utama yang menjadi persinggahan dan perlindungan mereka ialah kota Fes, Maghribi. Perpindahan besar-besaran masyarakat Islam dan Yahudi dari Andalusia, Sepanyol semakin bertambah bilangan pelariannya sebaik sahaja pewartaan secara rasmi oleh kerajaan Katolik Sepanyol yang memaksa non-Kristian menganut ajaran Kristian pada permulaan kurun ke-16 masehi.

Akhirnya, masyarakat di dunia Islam dari Damsyiq, Tunis dan Fes mulai menerima kedatangan pelarian Andalus yang berpusu-pusu menempati sebahagian kota tersebut dari kalangan muslim dan juga yahudi. Keluarga Leo Africanus agak beruntung kerana salah seorang bapa saudaranya ketika itu memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran kerajaan Bani Wattas yang berpusat di kota Fes. Keadaan ini cukup membuatkan beliau dengan mudah diberi tugasan pada tahun berikutnya sebagai pengiring diplomatik kerajaan Maghribi ke wilayah-wilayah luar seperti Timbuktu dan Sudan. 

2 – Kehidupan Awal Leo Africanus 

Leo Africanus ataupun al-Hassan menghabiskan zaman remajanya dengan menuntut ilmu di Masjid Quaraouine (al-Qurawiyyin) yang begitu terkenal sebagai pusat pengajian selepas Masjid al-Azhar, Mesir dan Masjid al-Zaitunah,Tunisia. Masjid Quaraouine yang terletak di tengah Fes menjadi semakin pesat dengan tumpuan para pelajar muslim dari segenap pelusuk Afrika Utara selepas kejatuhan Andalusia yang kehilangan dua buah pusat pengajiannya yang terkenal di timur dan di barat iaitu Granada dan Cordoba.

Sebagai seorang pelajar yang inginkan pendapatan tambahan, Leo Africanus turut bekerja sambilan sebagai pembantu setiausaha di sebuah Maristane (hospital kebajikan) di tengah kota Fes. Apabila usia beliau menjangkau 20-an, beliau berjaya berkhidmat dengan pentadbiran kerajaan Bani Wattas bagi urusan perdagangan dan hubungan dua hala antara kerajaan Islam. Sejak dari itu, beliau mula mengikuti rombongan diplomatik di dalam dan luar negara. Kembara beliau merentasi daratan dan lautan di sekitar Afrika Utara, menjangkau pula ke Afrika Tengah, Semenanjung Tanah Arab hingga ke wilayah Parsi dan Turki.

3- Pengalaman Politik 

Kebanyakan penjelajahan Leo Africanus dilakukan menerusi misi diplomatik kerajaan Bani Wattas dalam bentuk delegasi kecil ke serata ceruk Afrika. Dalam usia beliau yang begitu muda ini, tidaklah menjadi satu kepelikan kerana beliau berpeluang menjawat jawatan tersebut disebabkan jawatan yang disandang oleh bapa saudaranya yang sudah lama berkhidmat dalam pentadbiran Istana Sultan.

Manakala bapa Leo Africanus sendiri turut mempunyai jawatan penting dalam organisasi kerajaan tidak berapa lama setelah perpindahan mereka dari Andalus ke kota Fes. Segala bentuk pengalaman ini dapat menambahkan lagi maklumat Leo Africanus dan mengembangkan lagi bakatnya yang sedia ada.

Pada tahun 1500, tercetus satu pertikaian politik daripada pihak selatan yang memberikan ancaman hebat kepada kerajaan Bani Wattas. Kebangkitan pihak selatan ini merupakan titik tolak kepada kemarahan rakyat terhadap pemerintah Bani Wattas yang ‘lemah’ hingga menyebabkan kejatuhan kota Islam Granada ke tangan tentera Katolik Sepanyol.

Ditambah lagi dengan kejatuhan beberapa buah pelabuhan Maghribi di pesisiran Atlantik ke tangan tentera Portugis, perjanjian gencatan senjata dengan pihak Sepanyol serta perlantikan beberapa pegawai di kalangan Yahudi menjawat tugasan penting dalam pentadbiran kerajaan. Segala kelemahan ini menyemarakkan lagi pakatan menjatuhkan kerajaan Bani Wattas oleh beberapa kabilah yang tetap bangun menentang pendaratan tentera Portugis dan Sepanyol walaupun tanpa sokongan pihak kerajaan. Beberapa pertempuran dahsyat berlaku di antara pejuang tempatan dengan pihak Portugis untuk mengembalikan bandar-bandar pelabuhan seperti Asafi dan Agadir ke tangan rakyat Maghribi.

Keadaan ini semakin lama kian bersemarak di kalangan rakyat dan pihak kerajaan tidak dapat melakukan sebarang penyelesaian kecuali menghantar delegasi-delegasi kecil ke beberapa buah kerajaan Islam yang mempunyai hubungan rapat dengannya demi untuk memperolehi bantuan sekiranya diperlukan. Antara negara Islam yang cukup berkuasa ketika itu ialah kerajaan Islam Songhai yang dipimpin oleh Askiya Muhammad Ture menguasai beberapa buah oasis di Sahara Barat yang berpusat di Timbuktu. 

Kesempatan ini digunakan oleh Leo Africanus untuk meluaskan penjelajahannya ke Afrika Barat. Delegasi kecil ini turut berperanan memerhatikan perkembangan pihak Sepanyol dan Portugis yang menjajah pelabuhan Maghribi. Di samping itu mereka turut mengadakan beberapa pertemuan dan perjanjian secara langsung dengan pihak Portugis, Sepanyol dan pihak penentang Bani Wattas yang berpusat di Marrakech. Kebanyakan perjumpaan dan perbincangan ini dipercayai turut disertai oleh Leo Africanus sebagai salah seorang wakil kerajaan Bani Wattas.

4 – Kesateria St. John

Sewaktu pulang dari Istanbul, Turki dalam satu misi diplomatik pada tahun 1518, kapal yang dinaiki Leo Africanus telah ditawan oleh pihak lanun yang dikenali sebagai Kesatria St. John berhampiran pulau Djerba berdekatan pesisiran pantai Tunisia. Kesatria St. John ini juga dikenali sebagai Kesateria Pulau Rhodes (Knight of Rhodes) dan kemudiannya dikenali pula sebagai Kesatria Malta.

Kumpulan ini begitu aktif di laluan utama sepanjang Laut Mediterranean. Mereka bertindak menyerang mana-mana kapal Islam semata-mata untuk merampas harta benda dan barang dagangan yang terdapat di dalamnya. Manakala, anak kapal atau para penumpangnya pula akan ditawan serta dibawa ke Eropah dengan dijual sebagai hamba ataupun menjadi abdi di atas kapal mereka.Peranan utama Kesateria St. John ini selepas mengganggu perjalanan kapal-kapal kaum muslimin dan merompak harta benda mereka ialah untuk mengiringi kapal-kapal jemaah haji Kristian ke Baitul Maqdis, Palestin.

Mereka ini adalah kesinambungan daripada angkatan laut Kristian yang mengalami kekalahan dalam rentetan peperangan Salib yang berlaku selama dua abad di Timur Tengah.Selain itu, armada Kesateria St. John ini juga turut berfungsi dalam membekalkan sebarang bantuan sama ada perubatan, senjata dan segala bentuk harta benda kepada kapal-kapal kaum Kristian dan jemaah haji mereka sepanjang laluan laut sekitar Mediterranean. Kapal yang dinaiki oleh Leo Africanus telah ditawan sendiri oleh Pedro Bodigvilia (Don Pietro Bovilla @ Bobadilla) merupakan ketua Kesatria St. John yang juga saudara kandung kepada ketua paderi wilayah Salamanca, Sepanyol.

Beliau telah menghadiahkan ‘tangkapan’nya itu kepada Pope di Rome sebagai satu taktik ‘menarik perhatian’ Pope Leo X dalam menyelesaikan isu berhubung pusat aktiviti pelanunan mereka di pulau Rhodes yang diancam armada laut Turki Utsmaniyah. Namun, ‘umpan’ ini tidak begitu menjadi bagi kepentingan pihak Kesatria St. John dalam meneruskan aktiviti mereka di laut Mediterranean. Selepas beberapa dekad dengan peralihan jawatan Pope selepas kematian Pope Leo X dan Pope Adrian VI hinggalah ke tangan Pope Clement VII. Barulah Kesatria St. John memperolehi hak pengeuassan dengan menjadikan Pulau Malta sebagai pusat ‘operasi kegiatan pelanunan’ mereka sepenuhnya menggantikan Pulau Rhodes. 

5 – Tinggal Di Itali 

Hampir 10 tahun Leo Africanus menetap di Itali. Kemudiannya setelah dua tahun tinggal di sana, beliau dikatakan memeluk agama Kristian pada bulan Januari tahun 1520 masehi. Beliau dibaptiskan secara rasmi oleh Pope Leo X dan diberikan nama baru iaitu Johannes Leo de Medici atau di dalam bahasa Italinya ditulis ‘Giovanni Leone’. Nama ini bersempena nama sebenar Pope Leo X sebagai penaungnya iaitu ‘Giovanni de Medici’. Leo Africanus amat menyukai nama ini dan melakarkannya dalam bahasa Arab pada hasil kerja beliau berkaitan ilmu pengistilahan Bahasa Arab yang berbentuk manuskrip. Catatan tersebut masih lagi boleh dilihat di Perpustakaan Escorial, Madrid dengan autograf namanya Yuhanna al-Asad al-Gharnathi bermaksud ‘John Singa Granada’.

Semasa di sana, beliau banyak menghabiskan masa dengan menulis catatan-catatan pengembaraan beliau dalam bahasa Arab sambil ditemani para pengiring yang sering bersama beliau dari kalangan paderi-paderi Rome. Selepas kematian Pope Leo X, beliau berpindah ke Bologna, Itali kerana terdapat beberapa masalah yang dialami olehnya dengan Pope yang baru iaitu Pope Adrian VI yang berbangsa Belanda.

Antara hipotesis masalah yang diwarwarkan di kalangan sejarawan barat ialah ‘kebimbangannya’ terhadap Pope yang baru dilantik ini pernah menjawat jawatan penting di Sepanyol sebagai ketua ‘penyiasat’ diraja yang bertanggungjawab memburu saki baki kaum muslimin Andalusia dalam usaha memurtadkan mereka. Adrian VI berperanan sebagai ketua penyiasat di beberapa wilayah Sepanyol seperti Aragon, Navarre,Castile dan Leon. Kehadiran beliau sebagai seorang Morisco iaitu golongan budayawan yang gemar mengenakan jubah dan cara hidup Arab cukup menghantui Leo Africanus.

Apatah lagi dengan tindakan yang pernah dilakukan oleh Adrian, seorang lelaki berketurunan Belanda yang turut bergabung dengan bangsa Sepanyol dalam menghapuskan ‘identiti’ muslim Andalus dengan penuh bersemangat. Faktor lain yang lebih konkrit menjelaskan bahawa beliau bertindak berhijrah ke Bologna kerana satu wabak penyakit melanda Rome sekitar penghujung tahun 1523.

Akibatnya, hampir separuh penduduk Rome menemui ajal akibat jangkitan wabak tersebut. Leo Africanus semasa di Bologna, beliau turut mempelajari ilmu perubatan daripada seorang pakar perubatan Yahudi. Pakar tersebut bernama Jacob Mantino, merupakan seorang pelarian yahudi yang turut menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Katolik Sepanyol.Faktor ‘kenegerian’ inilah membuatkan hubungan beliau dengan Mantino menjadi begitu rapat dan Leo Africanus sempat menghasilkan sebuah kamus rujukan ringkas berkaitan istilah perubatan dalam tiga bahasa iaitu Arab – Ibrani – Latin.

6 – Kisah Murtad

Mengenai isu Leo Africanus menjadi murtad, ramai golongan intelek serta sejarawan memperkatakannya dan menganalisisnya secara panjang lebar. Namun, tidak terdapat seorangpun yang mampu membenarkan segala kajian dan analisis tersebut.Bagi sejarawan barat mereka lebih memihak kepada beberapa fakta yang dapat dilihat secara jelas berpandukan daripada petikan yang diambil dalam karangan serta rujukan mereka seperti berikut:

i.      Leo Africanus telah dibaptiskan oleh Pope Leo X sendiri bertarikh 6hb Januari 1520 sebagaimana yang dijelaskan oleh Prof. Angela Codazzi pada tahun 1920-an. 

ii.     Sebenarnya Leo Africanus sudah boleh untuk pulang ke Maghribi sebaik sahaja tugasnya selesai di Itali dalam melengkapkan penulisan bukunya “Keterangan Afrika”. Ini bermakna beliau akan pulang ke pangkuan masyarakat Islam di Afrika Utara yang mana beliau mengetahui bahawa isu ‘murtad’ merupakan jenayah yang besar. Hal ini secara terang menunjukkan Leo Africanus mampu dan berpeluang kembali ke pangkuan keluarganya tetapi dia memilih untuk terus menetap di Itali sehingga tempohnya menjangkau 10 tahun lebih. Namun, akhirnya beliau semakin merasa ‘kabur’ dengan anutan agama barunya, situasi ini membuatkan beliau kembali semula ke Maghribi dan hidup semula di tengah kelompok masyarakat Islam di sana.

iii.     Kisah Leo Africanus menganut agama Kristian bukanlah sesuatu yang ‘janggal’ bagi mereka yang hidup di sepanjang laut Mediterranean, lebih-lebih lagi pada era Leo Africanus yang penuh pancaroba. Tidak lama setelah Leo Africanus menetap di Itali terdapat beberapa orang putera dan kerabat dari kerajaan Maghribi berhijrah ke Itali mencari suaka politik dan akhirnya menganut Kristian. Satu artikel yang pernah diterbitkan pada tahun 1928 menceritakan mengenai “Kisah Murtad Putera Arab” tersebut.  Salah seorang yang terkenal dan sering dihebahkan kisahnya ialah Henry de Castries bersama tiga orang lain yang menganut Katolik secara sukarela pada pertengahan kurun 16, permulaan abad 17 dan 18. Kesemua mereka dipercayai menganut Kristian Katolik disebabkan alasan yang berbeza, contohnya: a.     Semata-mata ingin melepaskan diri daripada masalah ‘dalaman’ negara sebagaimana yang dilakukan oleh Don Gaspar de Benmerin yang mendakwa cucunda kepada pemerintah Bani Merin terakhir yang melarikan diri setelah tewas kepada Bani Saad sekitar tahun 1550-an,

b.     Semata-mata ingin menganuti agama baru yang lebih ’sejahtera’ sebagai panduan hidup seperti yang dilakukan oleh Balthazar Loyola Mendez sebelumnya dikenali sebagai Muhammad merupakan salah seorang anak kenamaan dari wilayah Dila.

c.      Semata-mata ingin menjelajah ke seluruh pelusuk negara Kristian setelah puas meneroka wilayah dan daerah di dalam negara Islam.   (Begitu juga kisah Putera Cem dari keluarga Bani Utsmaniyah yang ditawarkan untuk memeluk Kristian setelah beliau melarikan diri dari Kerajaan Uthmaniyah ke Pulau Rhodes) Namun, bagi kaum muslimin yang menganuti agama Islam dengan penuh kebanggaan, segala hujah tersebut masih boleh dinafikan dengan sebaik-baiknya berhubung isu murtad serta ‘punca utama’ yang menyebabkan Leo Africanus bertindak memeluk agama Kristian.Penafian hujah-hujah tersebut:

i-      Leo Africanus telah dibaptis sendiri oleh Pope Leo X dengan ’sukarela’?

  • Leo Africanus berpura-pura memeluk Kristian semata-mata ingin menyelamatkan nyawanya.
  • Pengalaman pahitnya sejak kecil di Granada serta dendamnya kepada golongan Kristian sudah cukup membuktikan bahawa beliau tidak akan melakukan perkara tersebut atas ‘niat suka-suka’, sebaliknya apa yang jelas adalah kerana ‘terpaksa’.
  • Pengakuan sebagai seorang Kristian akan memudahkan lagi usaha beliau dalam menjelajah ke serata ceruk Itali tanpa ada sekatan malah keadaan sebegini dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuannya yang tidak diperolehi oleh mana-mana muslim ketika itu.
  • Leo mendapat kebebasan mutlak untuk berada di sekitar Rom, di samping para pengiring yang sentiasa menjaga keperluannya dan keadaan ini lebih baik daripada beliau terus dikurung di dalam penjara dan dikenakan segala bentuk seksaan. Keistimewaan ini sebaiknya tidak dilepaskan oleh beliau yang keseorangan untuk menghadapi masyarakat Kristian disekelilingnya.
  • Keistimewaan yang lain, Leo Africanus mendapat naungan ketua tertinggi kerajaan iaitu Pope sendiri dalam usaha mereka memperincikan maklumat mengenai benua Afrika bagi memudahkan lagi serangan tentera Salib yang akan datang. Namun, usaha ini tidak dapat direalisasikan setelah kematian Pope Leo X.

ii-     Sebaik sahaja selesai kerjanya Leo Africanus sudah boleh pulang ke negara asalnya tetapi malang dia enggan?

  • Sebenarnya Leo Africanus sering diawasi dan diekori ke mana sahaja beliau pergi oleh pengiring-pengiring yang diletakkan oleh pihak kerajaan Rom, malahan beliau diletakkan di bawah pengawasan seorang paderi bernama Castel Sant Angelo beberapa lama. Sekalipun beliau dibebaskan dan diberi elaun agar tidak melarikan diri, sebenarnya keadaan ini membuatkan beliau masih tidak mempunyai peluang untuk melepaskan diri kecuali apabila mendapati masa dan situasi yang sesuai untuk tujuan tersebut.
  • Kemungkinan andaian ini sama dengan kisah Hajji Ahmad yang diceritakan oleh Dr. Pekka Masonen dalam kertas kerjanya berkaitan kisah Leo Africanus. Hajji Ahmad dari Tunis telah ditangkap sekitar tahun 1559 dan dibawa ke

    Venice untuk melakarkan peta serta maklumat geografi Afrika, Eropah,

    Asia dan juga Amerika. Beliau yang dikawal rapi oleh ‘pengiring peribadi’ turut dijanjikan pembebasan selepas melakukan tugas tersebut.

iii-    Adakah beliau memeluk Kristian kerana melarikan diri daripada suasana ‘ketidakstabilan’ politik di negaranya?

  • Pendapat ini mungkin ada kebenarannya, memandangkan Leo Africanus yang berkhidmat dengan Bani Wattas kemungkinan diburu oleh kerajaan baru iaitu Bani Saad. Sebaik sahaja pemergian Leo Africanus pada tahun 1518, meletus perang saudara yang mengakibatkan kekalahan di pihak kerajaan Bani Wattas. Namun, alasan yang menyatakan beliau melarikan diri ke Eropah tidak pernah dicatatkan oleh beliau sendiri di dalam mana-mana karyanya yang berkait rapat dengan aspek geografi, etnografi serta situasi politik tempatan kawasan tersebut.

iv-     Adakah Leo Africanus mendapat ‘petunjuk’ untuk menganuti agama yang baru?

  • Sekiranya andaian yang menjelaskan Leo Africanus mendapat petunjuk untuk menganut Kristian, sudah pasti dia akan kembali semula ke Granada atau ke kawasan yang lain di semenanjung

    Iberia memandangkan sedikit sebanyak kebolehannya berbahasa Latin. Namun, apa yang jelas beliau sendiri

    cuba menjauhi agama Kristian dengan menunggu peluang yang agak lama (tempoh 10 tahun) semata-mata untuk melepaskan dirinya dari cengkaman pihak ‘Itali’ untuk kembali ke Afrika Utara.

v. Adakah beliau hanya ingin menggunakan kesempatan tersebut untuk meneroka benua Eropah?

  • Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Jawapan ‘ya’ mungkin disebabkan umum mengetahui bahawa beliau suka mengembara dan menjelajah ke seluruh pelusuk dunia Islam yang melibatkan urusan diplomatik. Walau bagaimanapun, boleh jadi ‘tidak’ apabila diperhatikan semasa beliau berada di Eropah, tidak terdapat sebarang catatan beliau yang menyatakan Leo telah pergi ke kawasan lain di luar dari wilayah Itali.
  • Jelasnya, pergerakan Leo Africanus sering terbatas semasa beliau berada di Itali kerana beliau merupakan aset utama negara Itali untuk masuk meneroka ke benua Afrika. Catatan yang dinukilkan hanyalah beberapa tempat yang sempat beliau kunjungi selain dari Rom, antara lainnya seperti bandar Bologna.

7 – Karya-karya dan Sumbangannya 

Walaupun buku ‘Keterangan Afrika’ karangan Leo Africanus yang cukup terkenal, namun itu bukanlah bererti pencapaiannya yang pertama. Dari rujukan yang lebih mendalam dapat diketahui bahawa beliau ingin menambah hasil karyanya kepada beberapa buah jilid yang lain. Antaranya mengenai ‘Keterangan Timur Tengah dan Eropah’ yang pernah beliau lawati dan singgahi.

Segala usaha ini tidak berjaya dihasilkan sebagaimana dalam perancangannya kerana terbuka satu peluang yang tidak pernah jangkakan iaitu kembali ke pangkuan sanak saudaranya di Maghribi setelah sekian lama menetap di Rome. Beliau juga berjaya menghasilkan sebuah kamus ringkas yang menjelaskan istilah perubatan era tersebut menerusi tiga bahasa penting di kawasan Mediterranean iaitu bahasa Arab – Ibrani – Latin.

Terdapat dua buah teks lagi, hasil karya peribadi beliau yang ditemui oleh sejarawan barat yang masih tersimpan di beberapa buah perpustakaan besar Eropah. Salah satunya adalah risalah terjemahan ke bahasa Arab yang berjudul ‘Risalah oleh St. Paul dan diterbitkan pada tahun 1521. Andaian yang boleh dilakukan daripada hasil kerja tersebut adalah sebagai bukti yang Leo Africanus ‘boleh dipercayai’ dan mempunyai semangat untuk menyumbangkan sesuatu yang penting dalam anutan barunya.

Leo Africanus turut menghasilkan sebuah lagi karya De viris quibusdam illustribus apud Arabes berkaitan biografi ringkas 25 orang sarjana Islam dan 5 orang sarjana Yahudi yang dapat disiapkan sebelum menjelang tahun 1527 masehi. Namun, karya ini mempunyai beberapa kesilapan dalam fakta yang dihuraikan oleh Leo Africanus terhadap tokoh-tokoh tersebut. Kesilapan tersebut dapat diandaikan bahawa beliau menukilkan fakta tersebut hanya berpandukan ingatannya sahaja tanpa sebarang rujukan yang boleh didapati ketika berada di sana.

Apa yang penting, keinginan berkongsi maklumat serta menyumbang sesuatu yang amat berfaedah sekalipun kepada masyarakat lain perlulah dihargai. Usaha yang kecil dan sedikit oleh Leo Africanus ini perlu diakui bahawa karyanya telah dijulang di benua Eropah sepanjang tempoh 600 tahun dan dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka.

8 – Kehilangan Misteri 

Kekacauan politik yang berlaku semasa era Pope Clement VII membuatkan Itali kehilangan Leo Africanus.  Pope Clement VII telah merancang untuk menentang kemaraan Turki Utsmaniyah, namun beberapa ekspedisi yang dilancarkan beliau menemui kegagalan. Kekalutan ini ditambah lagi dengan aktiviti pergerakan reformasi Kristian yang bermula di Jerman yang menolak kekuasaan Pope serta beberapa siri peperangan saudara yang meletus dan memusnahkan daerah Itali di antara tentera Perancis dan Itali.

Tidak seorangpun sejarawan yang benar-benar pasti mengenai kehidupan Leo Africanus pada tahun terakhir beliau di Itali. Ada pihak yang mendakwa beliau terus menetap di Rom sehingga meninggal dunia pada tahun 1550, namun kenyataan ini tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Kajian yang lebih terkini menunjukkan bahawa Leo Africanus telah meninggalkan Rom sekitar tahun 1527 sebelum bandar itu diceroboh dan ditawan oleh tentera kerajaan Charles V.

Berkemungkinan, pada tahun 1528 Leo Africanus telah kembali ke Afrika Utara dan menetap di Tunis terlebih dahulu sebelum menuju ke Maghribi. Antara fakta yang meyakinkan didapati daripada pendahuluan kitab Perjanjian Lama dari terjemahan bahasa Suryani ke bahasa Jerman oleh Johann Albrect von Widmanstetter (1506-1557).

Beliau menyatakan bahawa beliau tiba di Itali pada tahun 1527 semata-mata untuk mempelajari bahasa Timur seperti bahasa Ibrani, Suryani dan Arab. Pada tahun 1532 ketika beliau belajar bahasa asing di Naples (Napoli), beliau membuat keputusan untuk mengembara keTunis. Niatnya ke sana, semata-mata ingin bertemu dengan sarjana Arab yang beliau namakan sebagai ‘Leo Eliberitanus’.

Fakta ini menggambarkan secara jelas bahawa Leo Africanus atau Leo Eliberitanus masih hidup dan berada di Tunis ketika itu telahpun keluar dari agama Kristian dan kembali kepada ajaran Islam. Malangnya, Widmanstetter tidak berjaya merealisasikan hasratnya itu dan pada tahun 1532 beliau telah berpindah ke Rom untuk melanjutkan lagi pengajiannya di dalam bahasa Arab.Daripada fakta inilah sejarawan barat dan timur membuat spekulasi bahawa Leo Africanus kembali semula ke Afrika Utara untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupannya.

PENUTUP

Leo Africanus tidak sepatutnya dilihat sebagai seorang tokoh nasional yang berasal dari Sepanyol, Maghribi ataupun Itali sahaja. Ataupun beliau dinilai sebagai seorang ilmuan yang hanya meliputi jurusan geografi, etnografi, sejarah, pengembaraan dan terjemahan sahaja. Sebaliknya, beliau perlu dinilai dari aspek kehidupan dan sumbangan yang dihasilkannya selama ini tetap mempunyai nilai dan kaitan yang dapat menyumbangkan hasil yang besar pada masa kini.

Perjuangan dan keupayaannya perlu dilihat sebagai satu pendorong dan pencetus semangat kepada generasi Islam kini untuk terus berusaha dalam menempuh apajua rintangan serta halangan yang melanda. Leo Africanus adalah contoh luarbiasa yang pernah dilalui oleh seorang lelaki dalam menghadapi arus budaya dan intelektual antara dua dunia yang berbeza dan hanya terhalang dek arus Mediterranean.

Pengalaman Leo Africanus sendiri membuktikan secara jelas bahawa agama, etnik dan sempadan budaya antara benua Islam dan Kristian tetap hebat sekalipun beliau terpaksa menghadapinya dalam laluan yang sukar. Kadangkala kisah Leo Africanus ini boleh dianggap bak ‘dongeng Marco Polo’, namun kenyataan tentang kewujudan diri Leo Africanus ini terbukti dengan sumbangan kerja-kerjanya di Eropah.

Sekalipun, beliau kurang dikenali di dunia Arab dan timur serta tidak pernah namanya ‘terpalit’ sebaris di kalangan intelektual dunia Arab, beliau tetap unggul dalam dunianya yang tersendiri.Begitulah Leo Africanus, bekas tahanan Islam di Itali yang berjaya pulang ke tanah ibundanya dan terus meninggalkan Eropah tanpa sebarang fakta dan rekod tentang kehadirannya. 

  • Itulah keperibadian Leo Africanus

  • Pengembara dari bumi Andalus

  • Nama dan gelaran yang tidak akan pupus

  • Walau di benua gersang nan tandus 

Rujukan:

1.                Leo Africanus: The Man Whose Many Names, oleh Dr. Pekka Masonen (2001) http://www.uta.fi/~hiperma/

2.                Biography of Leo Africanus oleh Cristel de Rouvray (1998) http://www.leoafricanus.com

3.             Leo Africanus : Pengembara Muslim Yang Belum Dikenali Ramai olahan oleh Mohd Fikri Che Hussain (2005) terbitan Jahabersa, Johor Baharu  Wassalam!

Bookmark Artikel ini:
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • Print
  • RSS
  • Technorati
  • Twitter
RSS 2.0 | Trackback | Comment

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>