Muhammad bin Jaafar Kettani (w1345 H)
Beliau adalah seorang ulama yang masyhur di bidang hadis bernama Abu Abdullah, Muhammad bin Abu al-Mawahib, Jaafar bin Idris al-Kettani al-Idrisi al-Hasani al-Fassi. Beliau dilahirkan pada tahun 1274H di rumah sanak keluarga al-Kettani yang masyhur berpegang teguh dengan ilmu pengetahuan dan mengamalkannya. Menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran serta berusaha dalam memberikan bimbingan dan nasihat bagi kaum muslimin. Ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil dan ayahnya mengambil alih tugasan ini dengan sebaiknya dengan memastikan dia mendapat semua kasih sayang dan jagaan sepenuhnya.
Beliau diasuh dengan pendidikan al-Quran di bawah seorang guru Al-Quran dengan ditugaskan menghafal mutun ilmu. Beliau juga dimasukkan ke pusat pengajian masjid al-Qarawiyyin yang lebih bercambah keilmuan di dalamnya. Beliau mempelajari pelbagai ilmu di situ seperti ilmu tafsir, fiqh, usul, hadis, bahasa, sirah, mantiq dan sebagainya. Tenaga pengajarnya pula adalah di kalangan ulama ulung di zamannya.
-
Guru-gurunya
Antara tenaga pengajarnya di Fes adalah orang tuanya sendiri iaitu Abu al-Mawahib Jaafar bin Idris al-Kettani (w 1323H) beliau mendengar kuliah pengajian kitab Sahih sekitar dua puluh kali. Sepupu ayahnya iaitu al-Sharif Mohammed bin Abdel Wahed al-Kettani (w 1289H), Kadi (hakim) Abu Abdullah Muhammad bin Abd al-Rahman al-Alawi (w 1317H), Abu Abdullah Muhammad al-Madani bin Ali bin Jelloun (w 1298H) yang melatih dirinya untuk terlibat dalam pengetahuan ilmu hadis dan membuatnya menyukainya sepanjang hidupnya. Mereka yang lain seperti Abu al-Abbas Ahmad bin Ahmad Bennani (w1306H) yang mana beliau banyak mendengar kitab-kitab hadis daripadanya dan juga ulama lain di Maghribi.
-
Kembaranya
Beliau mengembara menunaikan haji ke Arab Saudi pada tahun 1321H dan memasuki Syam dan Mesir untuk mengambil ilmu dari tokoh ulamanya. Beliau melanjutkan perjalanan hajinya kali kedua 1325H. Beliau seterusnya berpindah bersama ahli keluarganya ke Madinah selepas situasi yang kian memburuk di Maghribi dan cukup membahayakan akibat penjajahan kolonialisme Perancis di sana. Beliau tinggal selama hampir setahun di sana dan kemudiannya kembali ke Maghribi pada tahun 1326H selepas turunnya Sultan Moulay Abd al-Aziz dengan digantikan pula oleh Sultan Moulay Abd al-Hafiz.
Beliau turut berusaha dalam rangka membela dasar negara dan menyokong pemerintah baru. Namun segala usaha yang cuba diusahakannya menemui jalan buntu. Beliau sekali lagi berpindah ke Madinah pada tahun 1328H hingga ke tahun 1336H. Dalam tempoh tersebut, peningkatan dasar keilmuan yang begitu besar di kedua tanah suci tersebut. Kajian keilmuan dari kepelbagaian jurusan ilmu semakin berkembang, penyelidikan ilmiah dan kajian mendalam terhadap empat mazhab turut berkembang dengan pesat. Institusi pengajian dan sekolah turut mendapat tempat dan mencapai sasarannya di bawah perluasan yang ditaja oleh pihak Empayar Uthmaniyyah dan para penguasa tempatan.
Kemudiannya beliau berpindah ke Damsyik pada tahun 1336H selepas revolusi penentangan terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Di sana beliau belajar, mengajar dan berkongsi keilmuan dengan para tokoh ulamanya.
bersambung…..


