Murad I Hudavendigar [1359 - 1389M]
Murad I telah dilahirkan di Bursa pada tahun 1326. Ayahandanya ialah Orhan Gazi dan bondanya pula ialah Nilufer Hatun (Holofira) yang merupakan anak perempuan kepada salah seorang pemerintah Byzantin.
Murad I adalah seorang yang bertubuh tinggi dan berotot dengan wajah yang bulat serta mempunyai hidung yang mancung. Beliau kerap memakai topi Mevlevi yang dililit kain di atasnya. Beliau tidak begitu payah dalam memilih pakaian dan warna pakaian kegemarannya adalah warna merah dan putih.
Beliau mendapat pendidikan awal daripada ibunya sendiri. Sesudah itu, beliau telah memasuki sekolah di Medrese Bursa untuk menamatkan pengajiannya. Sekolah tersebut boleh dianggap bagaikan sebuah universiti dengan adanya kelengkapan pendidikan yang agak sempurna. Beliau turut berdampingan dan mengkagumi para ulama, sarjana sains dan juga karyawan.
Murad I adalah seorang lelaki yang baik hati dan bersikap tenang. Beliau juga seorang yang amat pemurah dan baik hati terhadap orang-orang miskin dan golongan yang tidak mempunyai rumah.
Beliau adalah seorang yang sangat pintar dan tokoh negarawan yang bijak. Beliau juga merupakan seorang yang sangat tegas dalam melaksanakan apa yang dirancang dalam kehidupan sehariannya. Sungguhpun begitu beliau masih boleh bertolak ansur terhadap para penentang yang berada di dalam gereja Byzantin sewaktu perang.
Oleh itu, dia berjaya memenangi hati rakyat dan cukup dihormati di kalangan mereka yang bernaung di bawah pemerintahannya, kerana dia tidak pernah menganiayai mereka sekalipun berlainan bangsa dan agama.
Murad I diberi gelaran oleh rakyatnya sebagai “Murad Hudavendigar” pada tahun 1382. Hudavendigar memberi maksud ‘Pemilik Empayar Uthmaniyah’ Turki.


