Orhan Ghazi [1326 - 1359M]
Orhan Gazi telah dilahirkan pada tarikh 1281. Ayahandanya ialah Osman Gazi dan bondanya pula ialah Mal Sultana, anak gadis Omer yang cukup dihormati di wilayah yang didiami oleh para penduduk suku Kayi. Orhan Gazi merupakan seorang yang berbadan besar dan tinggi, mempunyai janggut yang perang dan bermata biru. Beliau merupakan seorang yang amat baik, pemaaf, kuat beragama dan gemar menegakkan keadilan. Dia juga amat mengagumi alim ulama. Bahkan, seorang yang amat berani dan kuat serta sering bersikap sabar dalam apa jua keadaan.
Beliau banyak menghabiskan masanya dengan masyarakat di sekelilingnya dan kerap mengunjungi mereka. Oleh itu, tidak hairanlah beliau cukup dikagumi oleh masyarakat sekitarnya dalam masa yang begitu singkat.
Orhan Gazi dilantik menjadi pemimpin suku Kayi selepas pemergian bapanya, Osman Gazi pada tahun 1326. Beliau telah berkahwin dengan anak gadis maharaja Byzantin pada tahun 1346. Maharaja Byzantin ketika itu ialah Yoannis Kontakuzinas XI dan puterinya bernama Teodora. Isteri beliau yang kedua pula merupakan anak gadis kepada seorang bangsawan Byzantin di Yarhisar yang bernama Holofira.
Sebenarnya terdapat kisah menarik antara mereka berdua, yang mana Holofira telah melarikan diri dengan Orhan semasa berlangsungnya majlis pesta perkahwinannya dengan seorang bangsawan Bilecik. Tidak berapa lama selepas itu, dia memeluk Islam dan berkahwin dengan Orhan Gazi. Namanya ditukarkan kepada nama Nilufer Hatun. Hasil perkahwinan mereka, mereka telah dikurniakan seorang putera yang dinamakan Murad. Murad inilah yang bakal menjadi penyambung takhta ketiga di kalangan sultan kerajaan Uthmaniyah.
- (Sedutan buku yang entah bila akan terbit! Doakan semoga Allah permudahkan penerbitannya untuk tatapan umum)



http://www.barbaros.biz (Ottoman Navy and Navigation)