Buku The Seven Habits of Highly Effective People
Buku ini adalah buku Stephen R. Covey yang bertajuk 7 Habits of Highly Effective People. Buku ini adalah sebuah buku motivasi terlaris yang telah berjaya dijual sehingga 15 juta naskhah dan diterjemahkan ke dalam 38 bahasa asing.
Stephen Covey ini boleh diiktiraf sebagai seorang pengajar atau pembimbing yang begitu berjaya dalam era ini kepada ribuan malahan jutaan orang. Bagi orang yang gemar membaca, buku ini adalah tajuk yang sering didengari oleh mereka dalam membantu memotivasikan diri sendiri.
Beliau berjaya membuka 128 cawangan syarikatnya di sekitar Amerika Utara dan 30 cawangannya yang lain di seluruh dunia. Beliau menerusi syarikatnya berjaya melatih dan memotivasikan hampir 750 ribu orang pekerja saban tahun. Latihan motivasi ini dilakukannya sejak buku ini diterbitkan pada tahun 1989 dan masih tidak terhenti penjualannya hingga kini.
Sejarah Penulisan Buku ini
Jika anda bukan seorang pembaca, sudah tentu anda tidak mengetahui mengapa buku ini ditulis?
Atau mengenai sejarahnya?Kisah penulisan buku ini bermula pada tahun 70-an iaitu merupakan satu kajian untuk kertas kerja Ph.D yang diusahakan oleh Stephen Covey bagi mendapatkan ijazah kedoktorannya. Beliau terpaksa membaca dan mencari ribuan helai halaman buku dan artikel sebagai teras kepada tajuk kajiannya ini dengan tajuk yang berkaitan. Proses ini dimulakan pada awal tahun 1976.
Sememangnya kajian penulisan ini sendiri jikalau kita lakukan, kita terpaksa menyemak puluhan kitab dan ribuan halaman yang terdapat didalamnya untuk menulis satu halaman sahaja. Artikel yang saya paparkan di sini, kebanyakannya adalah rumusan dari kitab-kitab dan buku yang dibaca bertahun lalu… tapi jika kita hanya sekadar membacanya tidak berguna kerana kita tidak dapat memanfaatkannya, sebaiknya kita cuba praktiskan sedikit demi sedikit, insya Allah :)
Selepas dia mendapat sijil Ph.D, dia berkhidmat di universiti Brigham Young beberapa lama dan kemudiannya beliau telah menubuhkan syarikat persendirian dan seterusnya ia mendapat tawaran dari syarikat IBM dalam memotivasikan pekerjanya dan sebagainya. Semua ini dan banyak lagi berkaitan pengembangan kerjaya beliau boleh didapati sendiri menerusi laman web yang membawakan kisah beliau.
- Isi Kandungan Buku The Seven Habits of Highly Effective People
Buku ini menyenaraikan 7 sikap atau prinsip asas seseorang manusia yang mana jika diusahakan akan dapat mendorong seseorang itu mampu mencapai apa sahaja yang ia ingini. Ia menjadi inspirasi dalam memberi dan meningkatkan motivasi bagi setiap orang yang membacanya.
Bahasanya sederhana, lugas dan mudah difahami disertai dengan contoh-contoh biasa yang sering ditemui dalam kehidupan seseorang itu seharian. Sehingga cukup mudah untuk difahami apa yang dimaksudkan oleh penulis.
7 Kebiasaan baik yang ditulis oleh Covey dalam buku ini mencakup:
1. PROAKTIF (Be Proactive).
Covey menekankan daya proaktif yang pernah digarapkan oleh Victor Frankl di dalam bukunya. Kemampuan memilih respon yang sesuai dengan nilai-nilai yang disebut proaktif. Sikap proaktif ini sememangnya digalakkan dalam Islam sendiri, jika berpandukan sirah Nabi SAW.
Kita mendapati Baginda SAW sering melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan dengan kewujudan pelan A, B dan C dalam melaksanakan setiap tugasan tersebut. Ia merupakan strategi luar jangka yang perlu difikirkan oleh setiap orang sebelum melakukan sebarang kerja.
2. MEMULAI DENGAN TUJUAN AKHIR (Begin with the End In Mind)
Merumuskan apa yang sebenarnya menjadi tujuan kita. Menuliskan visi kita, kemudian baru menentukan langkah-langkah untuk mencapai tujuan. Menyelaraskan kegiatan sehari-hari kita dengan tujuan yang telah kita tentukan tersebut. Dalam hal ini, konsep ini sama dengan konsep yang Islam tentukan iaitu NIAT.
Niat sesuatu amalan memerlukan kepada pelaksanaannya dari awal tujuan hingga selesai tujuan tersebut.Dalam niat ia mesti ada (1) Niat atau tujuan untuk melakukannya (2) Tekad hati untuk melaksanakannya (3) Azam untuk melaksanakannya hingga selesai. Jadi itulah NIAT yang disarankan oleh Islam sebenarnya, bukan seperti sebahagian orang yang merasakan niat itu hanya di hati dan tidak melaksanakannya, jika itu yang terjadi, maka kalimah yang sesuai adalah angan-angan ataupun impian kosong.
3. DAHULUKAN YANG UTAMA (First Things First)
Menjadual dan mendahulukan kerja yang penting atas pekerjaan yang kurang penting. Ini sama dengan konsep yang pernah dipaparkan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya berjudul Fiqh al-Awlawiyyat ataupun bermaksud Fiqh Keutamaan. Di dalam kitab al-Qaradawi itu ia lebih detail dan terperinci dalam bab ini. Bagi Covey, ada 4 kategori waktu yang dibahagikannya di dalam bukunya iaitu kategori:
a.Hal yang penting dan mendesak
Orang yang majoriti waktunya dihabiskan di sini berkemungkinan besar akibat terlalu banyak menunda dan mengabaikan perancangan dan pekerjaan yang perlu dilaksanakannya terlebih dahulu.
b.Hal yang penting dan tidak mendesak.
Orang yang menghabiskan sebahagian besar waktunya di sini adalah dengan belajar, evaluasi, perancangan yang baik dan membina hubungan baik dengan orang lain, termasuk dalam kategori ini.
c.Hal yang mendesak tetapi tidak penting.
Sesuatu yang kelihatan mendesak untuk dilaksanakan tetapi sebenarnya tidak penting.
d.Hal yang tidak mendesak dan tidak penting.
Di sinilah tempat bagi pemalas menghabiskan waktu. Membaca akhbar secara berlebihan dengan alasan mencari informasi, menonton TV berlebihan, banyak bersembang dan berbual kosong serta pelbagai situasi yang tidak mendatangkan sebarang faedah.
4. BERFIKIR MENANG-MENANG (Think Win/Win)
Perlunya ada sikap berfikir untuk berjaya pada setiap individu yang waras. Covey memberikan rangsangan ini bagi seseorang itu dapat menyelesaikan setiap perkara tanpa wujud perasaan putus asa yang sering membuatkan segala perancangan yang bakal dilaksanakan tergendala.
Oleh itu, sikap berusaha untuk berjaya akan membuahkan hasil yang lumayan sekalipun jalan ke sana begitu sukar. Islam sendiri menggariskan bahawa umat Islam adalah umat yang terbaik dari umat yang lain, sekalipun kalau dilihat kini mereka sering diancam dan dipersendakan. Namun, bagi orang yang beriman dengan Allah dan rasulNya, mereka tetap percaya dan bergantung pada firman Allah yang bermaksud Kamulah kelompok TERHEBAT!
5. BERUSAHA FAHAMI LEBIH DAHULU BARULAH MEMAHAMINYA (Seek First to Understand, Then to be Understood)
Covey menyatakan dalam sesuatu isu yang timbul sebelum kita melontarkan pemikiran atau idea, kita perlu memahami dahulu jalan fikiran orang yang diajak berbual. Sebelum memberikan sesuatu idea kita perlu meletakkan diri kita. Jikalau kita diposisi penerima, lakukanlah keadaan yang kita dapat mengiyakan bila kita dihadapkan pada situasi seperti itu.
Kemudian barulah kita lontarkan idea pemikiran kita pada orang tersebut. Oleh itu, tidak sepatutnya kita menjalankan program kita tanpa mempedulikan orang lain yang bersetuju atau tidak. Tetapi buatlah orang memahami hingga dapat mengiyakan terlebih dahulu dan cuba berlatih untuk berada di pihak penerima sebelum menyampaikan sesuatu idea dan perancangan.
6. WUJUDKAN SINERGI (Synergize)
Bagaimana taktik dan praktiknya menggambarkan suatu kerjasama yang sempurna. Kerjasama bukan sahaja digambarkan sebagai gotong-royong tetapi lebih dari itu dari aspek taktiknya. Menggambarkan satu kerjasama yang mendahulukan kerja yang berat dulu, kemudian baru menyelesaikan yang ringan.
Kerjasama ini juga perlu didukung oleh sikap moral yang baik dalam sesebuah rumpun masyarakat, sama-sama komponen yang paling kecil sekalipun seperti rakan, serumah, sekelas, sepejabat dan seterusnya.
7. ASAHLAH GERGAJI BAGI TAJAM (Sharpen the Saw)
Ini adalah falsafah yang perlu dilakukan dalam mempertajam dan memahirkan diri dalam apa jua keilmuan dan juga bidang yang diceburi. Pada ungkapan ini tidak tergambar ilmu untuk jalan dunia saja, tetapi juga untuk bekal akhirat. Adalah suatu keharusan untuk mempertajam ilmu baik ilmu dunia mahupun akhirat, bila tidak ingin ilmu tersebut hilang.
Isi yang ditulis cukup bagus, setidaknya boleh menjadi pedoman untuk hidup lebih efektif. Paling tidak, buku ini mampu menjadi panduan bagi kita untuk menjadi lebih baik lagi.
Buku ini tidak hanya menjadi best seller kerana telah menawarkan cara berfikir dan hidup yang lebih efektif. Namun, buku ini juga menjadi efektif kerana terbukti memberikan pengaruh yang besar dalam berbagai kalangan masyarakat yang membacanya.Dalam buku ini juga ia tidak hanya memberikan panduan-panduan pembinaan diri dan peribadi yang dangkal. Lebih mendalam aspek yang ditekankan oleh Stephen R. Covey adalah dengan menawarkan suatu kesedaran baru tentang perlunya untuk kembali kepada kepentingan dan efektifnya pembinaan karakter bagi kehidupan manusia, individu mahupun kelompok.Selain penjelasan, buku ini juga dilengkapi dengan pelbagai ilustrasi dan analogi menarik. Bahkan, salah seorang di antara para pemberi komen buku ini seperti yang tertulis di kulit belakangnya secara terang menyatakan selamat tinggal pada para pemikir dan buku-buku yang memusatkan diri pada pembentukan keperibadian macam Norman Vincent Peale dan Dale Carnegie.
Buku yang begitu popular ini memberikan impak kepada penulisan Covey yang seterusnya dalam melahirkan karya berikutnya seperti buku The Power Of The 7 Habits, Applications And Insights, Seven Habits of Highly Effective Families dan Beyond the Seven Habits. Sambungan pada penulisan buku The Seven Habits ini ialah buku yang berjudul The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness yang diterbitkan pada tahun 2004.
Anak lelaki Covey yang bernama Sean Covey telah menulis beberapa versi buku yang lebih menjurskan kepada anak remaja dengan tajuk The Seven Habits of Highly Effective Teens. Buku ini secara mudah dan ringkas ditujukan kepada para remaja. Pada bulan Oktober 2006, Sean Covey telah menerbitkan sebuah buku lain berjudul The 6 Most Important Decisions You Will Ever Make: A Guide for Teens. Panduan ini meletakkan masa yang sesuai dalam kehidupan seorang remaja dan beberapa bimbingan cara untuk berinteraksi dengan mereka. Abang kepada Sean Covey iaitu Stephen M.R. Covey pula telah menulis buku bertajuk The Speed of Trust.
Itulah sedikit sebanyak yang sempat dicoretkan tentang buku tersebut… semoga kita beroleh petunjuk Allah Taala




























