Metod Kajian Orientalis Terhadap Sumber Islam
Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain
Dari buku yang bakal terbit tidak lama lagi – 2010 (kot)
a) Menghuraikan Dengan Sesuatu Yang Karut Dan Tiada Kaitan
Perkara yang karut dan bersumberkan pada andaian sendiri ini sering dilakukan oleh para orientalis di dalam kajian mereka. Hal ini disebutkan oleh Dr. al-Dib dalam satu komentarnya: “Orientalis sering menyebutkan sesuatu yang karut dan tidak mempunyai kaitan dengan situasi semasa dalam kehidupan manusia kini, pada sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku hanya berdasarkan andaian mereka. Malahan mereka pasti akan menghuraikannya berlandaskan hipotesis atau kepakaran mereka secara khusus dalam situasi yang berlaku dengan kehidupan mereka dan masyarakat mereka sehari-hari.” [1][8]
Misalnya, mereka menyesuaikan pemilihan para pemerintah sebagaimana situasi kehidupan masyarakat Barat yang menunjukkan pertikaian mereka dalam pemilihan sesebuah parti pemerintah dan calon pemimpin berdasarkan faktor masa kini. Mereka menjadikan situasi ini seperti sesebuah pilihanraya dan wujudnya pemilihan calon pemimpin untuk disokong dan ditentang. Ini hanya pada teori sahaja, sedangkan pada praktikalnya yang berlaku amat berlainan sekali bagi golongan yang memiliki wang dan harta di negara Barat.
Mereka ini mampu membeli undi para pengundi agar memilih mereka dengan kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Hal ini memaparkan betapa teruknya keadaan yang berlaku sehingga diterbitkan sebuah buku yang pernah menjadi buku ‘terlaris’ di pasaran dunia Barat yang berjudul “Membeli Pemimpin” dan buku yang lain bertajuk “Mencipta Pemimpin”. Lalu mereka menggarapkan cerita sebegini di dalam kisah sejarah berkaitan dengan bai’ah pelantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai pengganti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan gambaran yang samar.
Mereka menyatakan bahawa beliau mendapatkan jawatan tersebut dengan hasil ‘penipuan’ untuk menguasai kepimpinan umat Islam di kala itu. Bahkan, mereka turut membuat andaian bahawa al-Siddiq telah merancang untuk mendapatkan jawatan tersebut dengan dua orang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang lain. Sedangkan bagi pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menetapkan bahawa para sahabatb adalah golongan yang mendapat ‘kemuliaan’ selepas para nabi dan rasul.
Kelompok orientalis ini sedaya upaya men‘jelas’kan Abu Bakar al-Siddiq, ‘Umar dan Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah telah bersama-sama merancang dan berpakat untuk mengambil alih pucuk kepimpinan bersilih ganti sesama mereka. Dakwaan tidak berasas ini disebarkan di dalam buku-buku karangan mereka, di samping kenyataan mereka yang mendakwa bahawa golongan Munafik ini adalah dilabelkan sebagai golongan ‘pembangkang’ di dalam senario politik Islam di era Nabi Muhammad dan juga para sahabat.
Pelbagai lagi kisah yang disebutkan di dalam buku-buku karya mereka dengan pelbagai fakta yang menyeleweng dan diguna pakai oleh para penulis Islam sendiri. Justeru itu, perkara ini memaparkan ‘perancangan jahat’ dan mempunyai ‘racun berbisa’ daripada pihak mereka selepas melakukan kajian yang didakwa berteraskan akademik dan begitu ilmiah untuk diguna pakai oleh seluruh masyarakat dunia. [2]
b) Mewujudkan Keraguan Dalam Aspek Sejarah Dan Sunnah
Begitu banyak fakta dan info berkaitan dengan Sirah Hidup Nabi Muhammad dan juga Sejarah Dunia Islam yang diberikan fakta songsang dan amat menyeleweng dengan hakikat peristiwa sebenar yang terjadi. Sesetengah fakta itu diputar belitkan dengan baik agar sukar untuk dikenali antara baik dan buruk sesebuah peristiwa tersebut. Mereka sering menulis cerita berkaitan sejarah dengan diselitkan cerita yang bukan dari realiti sebenar, ataupun diselewengkan faktanya atau memutar belitkan dengan kisah-kisah khayalan yang sukar difahami.
Perkara ini merupakan salah satu teknik mereka yang paling berjaya dalam membuatkan masyarakat Islam sendiri merasa ragu-ragu terhadap kebenaran kisah sejarah umat Islam sendiri. Apabila diperhatikan kisah-kisah sebegini, ia memaparkan kisah pelik di kalangan umat Islam sendiri. Keadaan ini menjadi ‘gangguan’ bagi para pemuda Islam memahami serta menerima fakta sejarah agung umat Islam terdahulu.
Kesamaran ini jelas terpapar di antara dua keadaan bagi kisah Mu’awiyah yang diselewengkan di dalam buku-buku sejarah yang memaparkan bahawa beliau adalah seorang ahli politik pembangkang yang cuba merebut jawatan daripada Ali bin Abu Thalib dan menentang kepimpinannya. Situasi ini digunakan oleh setiap guru yang mengajar subjek tersebut kepada anak-anak Islam sejak kecil lagi.
Situasi ini begitu berbeza, apabila mereka ke masjid, kisah pertikaian dan perebutan kuasa di antara Mu’awiyah dan ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma ini tidak dipaparkan sedemikian. Mereka dinyatakan sebagai salah seorang pemimpin umat Islam dan juga termasuk di kalangan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang terkenal.
Dr. Muhammad Fathi ‘Utsman di dalam bukunya ada menyebutkan: “Mereka ini (orientalis) begitu melampau dalam mengisi fakta pada setiap penulisan karya mereka, terutamanya di dalam lapangan Sirah Nabi Muhammad. Mereka menggunakan segala daya usaha yang ada untuk mewujudkan keraguan di dalamnya. Mereka menciptakan keraguan ini bermula daripada nama Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan seterusnya. Seandainya mereka mampu untuk mewujudkan keraguan di benak kaum muslimin, pasti mereka akan menjadikan umat Islam ragu-ragu hingga pada kerasulannya…” [3]
c) Menimbulkan Penyelewengan Dan Pemalsuan
Sebahagian orientalis berusaha untuk mewujudkan penyelewengan terhadap kepelbagaian fakta ketamadunan umat Islam. Segala realiti ini wujud dan menjadi ciri keunikan ajaran Islam dan para penganutnya sejak sekian lama. Namun ia dinafikan dengan segenap daya kemampuan yang dimiliki oleh mereka agar tidak tersebar di kalangan bangsa lain yang berada di luar lingkungan ajaran Islam.
Para orientalis ini menafikan sekeras-kerasnya sejarah penyebaran Islam dilakukan dengan cara paling lunak dan amat diplomasi. Mereka turut menolak kesejagatan risalah Islam yang sesuai untuk semua budaya dan etnik. Sebaliknya mereka menyebarkan dakyah bahawa ajaran Islam ini disebar luaskan dengan ‘mata pedang’ dan kekerasan.
Segala bentuk keganasan dipaparkan, sekalipun terpaksa mereka-reka ‘jalan’ cerita yang baru sehingga tergadai maruah diri dan dicop sebagai penipu. Bagi mereka, itu semua tidak penting dan perlu dibimbangkan. Apa yang utama adalah mewujudkan keraguan dan kesamaran di minda umat Islam dan ajarannya.
Tidak hairanlah mereka mengengkari fakta kesejagatan Islam yang secara khususnya berkait dengan risalah dan surat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diutuskan kepada parab pemerintah dan pembesar wilayah di luar Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menghantar surat kepada Maharaja Rom iaitu Hercules, pembesar Mesir iaitu al-Muqauqis, pembesar Ethopia atau Habsyah iaitu al-Najasyi (Negus) dan juga pemerintah di wilayah Parsi.
Orientalis seperti Gustav Lobon dalam bukunya berjudul “Sejarah Arab” yang memaparkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang telah mengetahui di kalangan Yahudi dan Kristian terdapat seorang nabi yang diutus khusus kepada bangsa tersebut. Lalu Muhammad yang dilahirkan di kalangan bangsa Arab dan mengetahui keadaan itu telah mendakwa bahawa dirinyalah nabi yang diutuskan tuhan kepada mereka. Lanta beliau menyaring dan meniru sesetengah hukum yang terdapat di dalam kitab panduan Yahudi dan Kristian untuk dijadikan kitabnya yang diturunkan serta sebagai seorang yang boleh diyakini sebagai seorang nabi.
Segala bentuk pemalsuan ini telah dinyatakan oleh Dr. al-Dib yang mengisahkan tentang harta benda al-Zubair bin al-‘Awwam radhiyallahu ‘anhu yang diulas oleh Durant mengenai kisah ini, “al-Zubair mempunyai beberapa buah rumah di setiap bandar dan juga seribu kuda yang baik serta 10,000 orang hamba…” Sedangkan apa yang dinyatakan berdasarkan sumber buku Islam yang dipercayai menjelaskan sebagaimana berikut: “al-Zubair mempunyai seribu hamba yang membayar bayaran cukai kepadanya setiap hari. Tetapi beliau langsung tidak memasukkan ke rumahnya walaupun satu dirham kerana beliau bersedekah kesemuanya.”
Apabila dikaji semula oleh Dr. al-Dib berkiatna hal ini, jelas dapat diperhatikan penyelewengan yang dilakukan oleh orientalis ini yang menambahkan dengan seribu kuda yang baik. Kalimah ini diselitkan tanpa sebarang asas dan sumber yang pasti. Seterusnya kisah al-Zubair memberikan sedekah pada keseluruhan hartanya itu tanpa satu dirham pun yang masuk ke rumahnya, tidak dinyatakan langsung kenyataan ini. Adakah ini yang dikatakan amanah akademik?[4]
d) Menggunakan Sumber Yang Tidak Boleh Dipercayai Dari Kalangan Umat Islam
Antara satu kecacatan yang menjadi perkara paling ‘memualkan’ dalam pengajian para orientalis terhadap Islam dan umatnya adalah dengan mengambil sumber yang tidak boleh dipercayai di kalangan umat Islam. Bahkan, mereka akan menjadikan sumber ini sebagai satu sumber asas yang menjadi keutamaan dalam setiap kajian dan penyelidikan mereka. Oleh itu, mereka seringkali merujuk kepada kitab-kitab yang kurang dipercayai seperti kitab karya al-Asfahani berjudul “al-Aghani” sebagai asas rujukan mereka di dalam kajian sejarah Islam dan masyarakatnya.
Begitu juga dengan beberapa lagi sumber rujukan yang sememangnya telah ditolak dan dipinggirkan oleh sebahagian besar ulama dan sarjana Islam. Antara buku yang telah diberikan ‘amaran’ kepada kaum Muslimin daripada membaca dan mengambilnya sebagai rujukan seperti buku-buku sejarah yang telah dihasilkan oleh umat Islam sendiri, antaranya “Sirah Ibn Ishaq”, “Sejarah al-Waqidi”, “Sejarah Abu al-Mikhnaf”, “Pengembaraan Ibn Battuta” dan sebagainya.
Para ulama Islam menolak dari mengambil fakta buku-buku ini kerana berlakunya penyelewengan di dalamnya oleh para penulis tersebut, seperti Ibn Ishaq, al-Waqidi dan Abu al-Mikhnaf yang lebih cenderung kepada Syiah dan terdapat banyak fakta yang mengelirukan di dalamnya serta berat sebelah. Manakala, hasil kerja Ibn Battuta itu pula disebabkan cerita itu mengandungi fakta yang mengelirukan dan penulisan itu ditulis semua oleh penulisnya selepas lebih 20 tahun pengembaraan itu dimulakan. Sedangkan kisah-kisah inilah yang dijadikan sumber utama bagi kajian penyelidikan mereka.
[1] Lihat tajuk artikel Metod Penulisan Sarjana Barat Terhadap Sejarah Islam oleh ‘Abd al-‘Azhim al-Dib. Majalah al-Ummah, Qatar. Bil. 27, hlm. 99-100.
[2] Lihat buku Pengajian Sejarah oleh ‘Imad al-Din Khalil, hlm. 167.
[3] Lihat buku Pancaran Cahaya Sejarah Islam oleh Muhammad Fathi Utsman, hlm. 69.
[4] Lihat tajuk artikel Metod Penulisan Sarjana Barat Terhadap Sejarah Islam oleh ‘Abd al-‘Azhim al-Dib. Majalah al-Ummah, Qatar. Bil. 27, hlm. 115-116.



salam.ustaz boleh x ustaz berikan maklumat penuh buku (thun n tmpt terbit,penerbit) bg rujukan bku di ats sbb sy nk cari di kedai bku…tlg sgt2…sgt memerlukan buku tersebut. dan artikel sy memerlukan tahun n tarikh (kalau ada)….tlg ya ustaz…sy cari di libry tiada…
Wassalam.
Harap maklum!
artikel ini daripada skrip buku yang masih dalam peringkat penyelenggaraan oleh pihak penerbit alaf21, karangkraf. Insya Allah dalam 2 3 bulan lagi baru boleh diterbitkan, harap maaf.