Ulasan Buku & Kitab

“Di dalamnya terdapat (isi kandungan) kitab-kitab yang bermutu tinggi” [al-Bayyinah: 3]

Kitab al-Dhau` al-Lami’ li Ahl Qurn al-Tasi’ oleh al-Sakhawi

Kitab ini mungkin sebuah karya sejarah tokoh yang jarang didengari oleh kita berjudul al-Dhau` al-Lami’ li Ahl Qurn al-Tasi’ bermaksud Cahaya Bersinar Pada Kurun ke-9. Kitab ini setebal 4 jilid menerusi file Word dan kitab bercetak pula setebal 6 jilid.

Kitab ini ditulis oleh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Bakr, Syams al-Din, Abu al-Khair al-Sakhawi. Beliau dilahirkan di Kaherah pada tahun 831 Hijrah (1428M) dari keluarga yang berasal dari bandar Sakha di bahagian Barat. Sewaktu umurnya berusia empat tahun keluarganya telah berpindah ke sebuah tempat yang berjiran dengan rumah al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani. Faktor ini memberi kesan besar pada kehidupan Syams al-Din al-Sakhawi yang mula belajar ilmu dengannya pada tahun 838H sekitar usianya baru menjengah 8 tahun.

Apabila gurunya kembali ke rahmatullah, beliau telah mengembara untuk menuntut ilmu dengan para guru di kota Dumyath. Beberapa ketika kemudian, beliau yang ingin menunaikan fardu haji telah mengambil peluang menuntut ilmu dengan para ulama di sekitar Hijaz. Kemudiannya beliau pulang semula ke Mesir dan mengembara ke Iskandariah dan berada di sana seketika. Beliau tidak terus pulang, sebaliknya berpergian ke Bumi Syam dan menuntut ilmu dengan para tokoh ulama yang berada di sana.

Setelah tamat pengajiannya beliau kembali semula ke Kaherah dan mengajar di rumahnya dan beberapa tempat serta pusat pengajian tinggi sekitar Kaherah. Beliuau pernah dijemput mengajar hingga ke Makkah di Masjidil Haram. Sebahagian penulisannya dibacakan di dalam Masjidil Haram. Beliau pulang ke Kaherah dan mengajar di tempat yang pernah menjadi pusat gurunya iaitu al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani mengajar suatu ketika dahulu. Syams al-Din al-Sakhawi telah kembali ke rahmatullah pada tahun 902 Hijrah (1497M) di sana.

Antara karya penulisannya ialah al-Tibr al-Masbuk fi Zail al-Suluk, merupakan kitab ringkasan daripada karya Syeikh Taqiy al-Din al-Maqrizi yang menceritakan mengenai sejarah Kerajaan Mamluk Mesir hingga tahun 844H. Beliau turut mengarang sebuah kitab sejarah yang diringkaskan daripada kitab Ibn Hajar al-‘Asqalani berjudul Raf’ al-Isr ‘an Qudhah al-Misr yang menceritakan berkenaan biografi tokoh hakim Mesir sehinggalah zamannya. Selain itu beliau turut menulis karya bertajuk al-Syafi fi Wafayat al-Umam, al-Qaul al-Tam fi Fadhl al-Ramy bi al-Siham dan al-I’lan bi al-Taubikh liman Zamm Ahl al-Tarikh.

Kitab ini merupakan sebuah kitab tebal yang dihasilkan oleh beliau yang menggabungkan sebilangan besar tokoh di zamannya sendiri dari pelusuk wilayah Islam. Para tokoh tersebut sama ada ulama, hakim, pemimpin, orang salih, periwayat, sasterawan, penyair, khulafa, raja, menteri dan sebagainya. Perincian setiap biografi ini diklasifikasikan mengikut asal, etnik, agama, nasab dan keilmuan serta kepakaran mereka.

Sebilangan besar tokoh ini adalah berasal dari Mesir, Hijaz, Syam dan Yaman. Bahkan, beliau tidak melupai para tokoh di kalangan Ahl al-Zimmah yang bukan Islam dengan disusun senarai mereka itu mengikut huruf mukjam mengikut nama asal tokoh, kemudian nama bapanya dan nasab dari datuk nenek moyangnya. Setelah itu barulah disebutkan kuniyah dan laqab (gelarannya). Beliau melengkapkan karangannya ini dengan rujukan dari kitab gurunya iaitu Ibn al-Hajar,  malah kitab sejarah yang lain seperti karya al-‘Aini serta al-Maqrizi yang dipandang baik untuk diketengahkan selain kitab sejarah dari kategori Thabaqat (lapisan generasi), Wafayat (tarikh wafat) dan sejarah. Beliau meletakkan karyanya ini dengan penuh tertib dan terperinci serta penuh adil tanpa menaruh perasaan emosi pada tokoh yang kurang digemarinya.

P/S: :) Beginilah para ulama silam mengarang setiap karya mereka yang dapat dijadikan rujukan hingga kini. Alhamdulillah!

Bookmark Artikel ini:
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • Print
  • RSS
  • Technorati
  • Twitter
RSS 2.0 | Trackback | Comment

2 Responses to “Kitab al-Dhau` al-Lami’ li Ahl Qurn al-Tasi’ oleh al-Sakhawi”


  1. Fathul Mughith Bi Sharhi Alfiatil Hadith – karya al-Hafiz al-Sakhawi

  2. fikri

    naper dgn kitab tu?

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>