Kitab al-Wafayat oleh Ibn Qunfuz
Kitab berjudul al-Wafayat ini merupakan sebuah kitab yang jarang atau juga tiada langsung diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sebuah kitab yang kecil mengandungi maklumat ringkas setiap tarikh kewafatan tokoh bermula daripada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam hingga menjelang tahun 807 Hijrah iaitu 3 tahun sebelum kembalinya pengarang kitab ini ke rahmatullah.
Pengarang kitab ini ialah al-‘Allamah Abu al-‘Abbas, Ahmad bin Hasan bin Ali bin Hasan bin Ali bin Maimun bin Qunfuz, al-Qasanthini, al-Jazairi (Algeria). Beliau lebih dikenali sebagai Ibn al-Khathib atau Ibn Qunfuz (Landak). Dilahirkan sekitar tahun 740H di kota Qasanthinah (Constantine), Algeria dalam lingkungan keluarga yang gemarkan ilmu pengetahuan.
Datuknya yang bernama Ali bin Maimun merupakan imam dan khatib di masjid Qasanthinah selama 50 tahun dan tidak sempat melihat kelahiran cucunya ini. Bapanya iaitu Hasan bin Ali terkenal dengan ilmu dan cenderung dalam menghasilkan karya dan menyalin kitab. Beliau meninggal dunia ketika anaknya baru menjangkau 10 tahun. Penjagaan beliau diambil oleh datuk sebelah ibu yang bernama Yusuf bin Ya’qub al-Malari (syeikh Tariqat al-Rahmaniyah).
Beliau mengambil alih hak penjagaan cucunya ini dengan begitu baik sehinggakan cucunya berjaya menghafal al-Quran di tangannya sendiri. Beliau turut mengajarkan pelbagai ilmu seperti nahu, saraf, sastera dan juga hadis. Tidak berapa lama kemudian, setelah Ibn Qunfuz meningkat remaja beliau telah dihantar menuntut ilmu kepada dau orang tokoh ulama kenalan datuknya iaitu Faqih Muhaddits, Hasan bin Khalafullah bin Hasan bin Abi al-Qasim, Maimun bin Badis al-Qaisi al-Qasanthi dan Faqih Muhaddits al-Haj Abu Ali.
Dalam kitab al-Wafayat yang diperkatakan ini beliau turut menulis mengenai gurunya ini dengan katanya: “Guru kami al-Faqih al-Qadhi al-‘Adl al-Khathib al-Haj al-Marhum Abu Ali, kami telah mengambil hadis daripadanya dan ilmunya yang lain. Beliau lahir pada tahun 707H dan telah belajar daripada Ibn Ghariyun, Ibn ‘Abd al-Salam dan selain mereka. Meninggal dunia di Qasanthinah dengan menyandang jawatan hakim (qadi).”
Beliau turut mengembara dalam menuntut ilmu hingga ke Tilmisan (Tlemcen) dan jauh ke tengah Maghribi sekitar Fes, Meknes, Sale dan Ceuta (Sebtah). Kemudiannya beliau berangkat menuju ke Tunis selepas 18 tahun berada di Maghribi. Tidak berapa lama di sana beliau kembali ke Algeria dan dilantik sebagai hakim hingga menjelang wafatnya pada tahun 810H. Sepanjang kepulangannya itu beliau dilantik sebagai imam dan khatib di Qasanthinah, selain tugasan mengajar hadis, tafsir dan fiqh kepada para penuntut ilmu setempat dan yang datang dari jauh.
Beliau menyebarkan ilmunya tanpa mengira masa sama ada di rumah atau di masjid, sekalipun beliau dilantik sebagai hakim wilayah yang menguruskan isu pengadilan setempat. Tugas ini pada mulanya ditolak oleh beliau, namun atas desakan Amir Abu al-Hasan membuatkan beliau terpaksa memegang jawatan tersebut.
Sekalipun kesibukan dengan tugasan sebagai hakim dan mengajar, beliau masih mempunyai masa untuk mengarang dan menulis hasil karya yang begitu baik dan bermutu tinggi membuktikan keluasan ilmunya. Antara hasil karyanya ialah:
-
Syaraf al-Thalib fi Asna al-Mathalib iaitu huraian sebuah qasidah yang dinamakan Qasidah al-Ghazaliyah fi Alqab al-Hadits karya Ibn Farh al-Isybili (Seville, Sepanyol) dalam 20 rangkap.
-
Anwar al-Sa’adah fi Usul al-‘Ibadah. Sebuah buku berkaitan huraian hadis terbinanya Islam atas 5 perkara.
-
Wasilah al-Islam bi al-Nabiy sallallahu ‘alaihi wasallam. Karya yang menampilkan topik berkaitan sirah nabi secara ringkas. Para ulama seperti Ibn Qunfuz akan menghasilkan sebuah karya mengenai sirah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai lambang kecintaan mereka kepada baginda. Ini kerana pada setiap zaman dan ketika, dari kehidupan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam hingga wafat baginda, musuh Islam tidak akan berhenti menyerang keperibadian baginda dari segenap sudut yang ada. Pada zaman dahulu, para sahabat yang bakal bangkit membela dengan keringat, air mata dan darah mereka. Namun pada zaman selepas generasi mereka, para ulama inilah yang bangkit mempertahankan kemuliaan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Allahu Akbar! Jadikanlah kami di kalangan pembela Muhammad, amin ya Rabb!
-
‘Alamat al-Najah fi Mabadi’ al-Isthilah. Sebuah kitab asas mengenai Mustalah Hadis.
-
Taisir al-Mathalib fi Ta’dil al-Kawakib berkaitan ilmu falak atau pengiraan takwim hijrah. Buku ini dikatakan tidak pernah ada ulama terdahulu yang menulis seperti karyanya.
-
Al-Farisiyah fi Mabadi` al-Daulah al-Hafsiyah telah diterbitkan di Paris pada tahun 1847M. buku berkaitan sejarah dan kesusasteraan sekitar era Kerajaan Bani Hafs yang ditulis untuk Amir Abu Faris ‘Abd al-‘Aziz al-Merini.
Huraian Kitab al-Wafayat
Kitab ini dianggap sebagai ringkasan kitabnya yang terdahulu iaitu Syaraf al-Thalib fi Asna al-Mathalib yang dimulakan tarikhnya pada tahun 11 Hijrah, merupakan tahun kewafatan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam hingga menjelang tahun 807 Hijrah, 3 tahun sebelum kembalinya ke rahmatullah.
Kitab ini membawa judul yang sama dengan karya Ibn Khalikan dan turut sama dicetak. Sebaiknya perlu berhati-hati agar tidak terkeliru dengan judul yang sama. Kitab ini pertama kali dicetak sebagaimana diceritakan oleh al-Zirikli pada tahun 1912 di Kolkata (Culcutta), India. Namun di dalam cetakan ini terdapat kekurangan jika dibandingkan daripada manuskrip aslinya.
Manakala cetakan kedua dibuat oleh Dar el-Afaq el-Jadida, Beirut pada tahun 1971 dengan 398 halamannya dilakukan semakan oleh ‘Adil Nuwaihidh yang menampilkan mukadimah yang begitu baik. Beliau tuut memberikan nota kaki yang menghilangkan kekaburan bagi sesetengah biografi yang tedapat dalam dalam naskhah lampau.
Berkata ‘Adil Nuwaihidh: “Kitab ini merupakan sebuah paparan sejarah yang ringkas berkaitan tarikh wafat para sahabat, ulama, muhaddisin, mufassirin, penulis dan selainnya. Ibn Qunfuz telah menyusunnya dengan baik berpandukan kurun dan tarikh wafat mereka dengan dimulakan tarikh wafat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pada tahun 11 hijrah dan ….”
Begitulah yang diceritakan di dalam mukadimahnya dan buku ini dikira sebagai satu karya ringkas yang mudah dibaca oleh para pengkaji yang terkemudian bagi mencari tarikh wafat para tokoh ulama Islam. Setelah dikaji oleh pengkaji buku ini, mereka mendapati bahawa terdapat 511 orang tokoh Islam dan difokuskan hampir 200 orang ulama Algeria, khususnya ulama di Qasanthinah.
-
139 tokoh kurun pertama.
-
85 tokoh kurun ke-2.
-
56 tokoh kurun ke-3.
-
36 tokoh kurun ke-4.
-
38 tokoh kurun ke-5.
-
51 tokoh kurun ke-6.
-
46 tokoh kurun ke-7.
-
57 tokoh kurun ke-8.
-
03 tokoh kurun ke-9.
Hanya tiga tokoh yang disebut pada kurun ke-9 iaitu gurunya Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Muhammad bin ‘Arafah al-Warghami, Faqih al-Hafizh Abu ‘Ali, ‘Umar bn Nasr bin Salih al-Bulqini dan Faqih al-Hafizh al-Mufti Abu ‘Abd Allah Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Murrakusyi. Kesemua mereka ini meninggal dunia pada tahun 807H 3 tahun sebelum beliau sendii pulang ke rahmatullah.
Selepas itu Muhammad bin Isa al-Qasytali (Castile, Sepanyol), al-Maghribi (m.1021H) penulis kepada Sultan al-Mansur, Abu al-‘Abbas Ahmad al-Syarif al-Hasani telah mengarang sebuah kitab bertajuk al-Mamdud wa al-Maqsur min sinn al-Sulthan al-Mansur yang meringkaskan tarikh kewafatan tokoh-tokoh yang disebutkan oleh Ibnu Qunfuz hingga kurun ke-10.
P/S:
Semoga Allah merahmati syeikh dan para ulama Islam yang memberikan sumbangan mereka kepada seluruh umat Islam. Malangnya tidak ramai yang dikenali oleh kita. Allahu Akbar!


