Kitab al-’Ilm (Kelebihan Ilmu)
Kitab ini telah dihasilkan oleh Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin yang lahir di Unaizah Arab Saudi pada tahun 1347H dan meninggal dunia pada tahun 1421H (2001). Kitab dengan judul Ilmu ini merupakan sebuah kitab yang unik dan cukup memberangsangkan bagi para penuntut yang dahagakan ilmu sepanjang masa.
Antara kitab-kitab utama bagi seorang penggemar ilmu, mereka harus membacanya dengan penuh teliti untuk menambahkan daya rangsang serta dapat mengutip segala bentuk keilmuan dengan penuh keikhlasan dan ketabahan dalam memperolehinya.
Umum masyarakat mendapatkan ilmu untuk kepelbagaian objektif dan yang lebih kuat adalah demi keuntungan peribadi. Kini sebahagian mereka yang menulis untuk mendapatkan habuan dunia tanpa mengira benar atau salahnya fakta tersebut, apa yang penting adalah mendapat royalti yang tinggi. Cukup berbeza dengan ulama silam yang mengarang buku untuk menyebarkan ilmu, mengharapkan reda ilahi dan mencapai kepuasan diri untuk berkongsi sesama sendiri.
Berbalik kepada isi kandungan kitab ini, ia mengandungi beberapa topik penting seperti berikut:
Bab 1 – Definisi Ilmu, Kelebihan dan Hukum Mempelajarinya
Bab 2 – Adab Menuntut Ilmu & Faktor Pentingnya Ilmu
Bab 3 – Panduan mendapatkan Ilmu, Kesalahan yang Perlu Dihindari
Bab 4 – Berkaitan Kitab Yang Perlu Bagi Penuntut Ilmu, Soal Jawab & Faedah Ilmu
Bab 5 – 6 Artikel berkaitan Ilmu
Dalam kitab ni, antara tajuk yang menarik untuk diperhatikan adalah berkaitan dengan Kesalahan yang perlu Dihindari oleh penuntut ilmu seperti kita.
Syeikh menjelaskan antara kesalahan yang sering berlaku di kalangan para penuntut ilmu adalah:
1- Hasad dengki sesama pelajar, sikap berdengki ini membawa beberapa keburukan sepertimana berikut:
a. Membenci pada takdir Allah yang telah dianugerahkanNya kepada orang lain.
b. Hasad ini juga memakan pahala kebajikan.
c. Orang yang suka hasad dengki ini disempitkan dadanya dengan sikap cemburu atas nikmat yang Allah kurniakan kepada orang lain.
d. Sikap dengki adalah menyerupai sikap yahudi yang begitu dengki terhadap kenabian Nabi SAW dan kebenaran Islam. Apa sahaja atas nama Islam pasti mereka akan nyatakan sebagai agama ‘ganas’ dll. Mereka bunuh Muslim di Gaza, Palestin, benci kerajaan Hamas dsbg adalah takut janji Allah dan RasulNya yang pasti tiba.
e. Sekalipun mereka begitu dengki dengan nikmat yang diberikan kepada orang lain. Kedengkian mereka sudah pasti tidak dapat mengubah apa-apa kebaikan di dalam jiwa mereka kecuali kejahatan dan dosa sahaja.
f. Hasad dengki sesama kaum muslimin juga menafikan kesempurnaan iman. Ini kerana Nabi SAW menyatakan tidak beriman seseorang itu melainkan apabila dia kasihkan kepada saudara seIslamnya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.
g. Hasad ini wajib dipersoalkan oleh Allah kepada pelakunya sepertimana firman Allah: Dan janganlah kamu hasad dengki terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu. (Surah al-Nisa: 32).
h. Orang yang hasad adalah golongan yang tidak mensyukuri nikmat Allah ke atas dirinya, bahkan mereka menafikan nikmat itu serta merasakan bahawa nikmat Allah itu hanya diberikan kepada orang lain sahaja.
i. Hasad ini menumbuhkan sikap keji dan iri hati kepada orang lain.
j. Hasad ini juga akan membuatkan seseorang itu seringkali bersikap berat sebelah dan melampaui batasan kerana perasaan dengki kepada orang lain. Kebaikan yang diperolehinya sudah pasti dikurniakan Allah kepada orang yang didengkinya itu, lalu apabila dia inginkan kebaikan di akhirat kelak, sudah pasti kebaikannya itu sudah habis diberikan kepada orang lain dan dia akan dicampakkan ke neraka.
2- Memberi fatwa tanpa sebarang ilmu.
3- Bersikap angkuh dengan sekelumit ilmu yang diperolehinya
4- Begitu fanatik dengan pandangan tokoh / parti / mazhab yang disukainya. Jika ada tokoh A, sudah pasti tokoh B diketepikan sekalipun hujahnya adalah lebih benar dari tokoh A.
5- Berani berfatwa walaupun masih belum mahir. Baru baca sebuah atau dua buah kitab bab fatwa, sudah berani untuk kemukakan pendapatnya sendiri tanpa meneliti kepada pandangan ulama Islam yang lain terlebih dahulu.
Antara perkara yang begitu menarik bagi saya dalam buku ini ialah topik Memberi Fatwa Tanpa Sebarang Ilmu. Syeikh menyebutkan, seringkali terdapat sebilangan MANUSIA yang memberi fatwa tanpa ilmu.
Contohnya, Fatwa orang yang sedang sakit dan pakaiannya terkena najis dan tidak mampu mencucinya, maka wujud segolongan yang memfatwakan PESAKIT ITU TIDAK PERLU BERSOLAT! Fatwa sebegini adalah fatwa tipu, fatwa salah serta batil. Sedangkan pesakit masih WAJIB mendirikan solat sekalipun pakaian dan tubuh badannya terdapat najis, apabila dia TIDAK MAMPU membersihkannya. Ini kerana Allah Taala berfirman: Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuanmu. [Surah al-Taghabun: 16]
Oleh itu, pesakit hendaklah TETAP mendirikan solat menurut kemampuannya, sama ada berdiri, duduk, berbaring, hanya mengisyaratkan dengan gerakan kepalanya atau hanya dengan kedua matanya sahaja. Mengisyaratkan dengan menggunakan matanya ini dengan berniat setiap pergerakan solatnya dan membaca dengan lidahnya.
Misalnya seseorang yang melafazkan takbir, kemudian dia membaca al-Fatihah dan surah lantas dia takbir untuk rukuk, dia hanya mengisyaratkan dengan kelipan matanya dan niat dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkit dari rukuk, bersujud dan sebagainya dengan membaca doa-doa tersebut dan berniat yang ia melaksanakan pergerakan tersebut dalam keadaan dia tidak berupaya mengerjakannya. Dia perlu meniatkan dengan hatinya untuk tidak bersolat di luar waktu solat fardu yang telah ditetapkan kepadanya.
Berpandukan fatwa batil yang menyatakan bahawa orang sakit tidak perlu bersolat ini, maka sebahagian besar kaum muslimin TIDAK BERSOLAT dengan berpegang kepada fatwa sesat sebegini. Sekalipun mereka ketahui bahawa pesakit tetap tidak ada keringanan untuk mereka dengan meninggalkan solat dalam apa jua keadaan.
Setelah selesai saya membaca bahagian ini, saya mula terfikir sebahagian manusia yang mengeluarkan fatwa sebegini sejak saya masih kecil kepada para pesakit di rumah dan juga hospital.
Semoga Allah merahmati Syeikh al-Utsaimin… sekalipun dia telah meninggal dunia, ilmunya tetap HIDUP untuk terus dinikmati oleh mereka yang bergelar PENUNTUT ILMU seperti kita.
- Ampunkan kami ya Allah atas setiap kejahilan kami selama ini!


