Kitab Tuḥfat al-mawdūd bi-aḥkām al-mawlūd
Kitab ini merupakan sebuah kitab yang dihasilkan oleh al-Imam Muhammad ibn Abī Bakr Ibn Qayyim al-Jawzīyah berjudul Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud yang membicarakan kisah pembentukan generasi manusia dari setiap kelahiran mereka di dunia ini.
Kitab Arab ini mengandungi lebih 500 halaman yang cukup besar untuk dihabiskan pembacaannya. Kitab tebal ini dimulakan pada bab awalnya yang membicarakan mengenai – Galakan Menimang Cahaya Mata. Topik ini adalah satu galakan Islam dalam menganjurkan umatnya agar berkahwin dan memperbanyakkan generasi mereka. Usaha membangunkan masyarakat tidak boleh dilaksanakan jika bilangan mereka kurang.
Bab kedua pula mengetengahkan topik berkaitan – Membenci Mereka yang Menolak Anak Perempuan. Situasi membuang anak perempuan kerana menganggap mereka adalah golongan yang tidak menguntungkan atau membawa ‘sial’ sering berlaku di kalangan masyarakat terdahulu. Masyarakat lampau di Eropah dan Asia meminggirkan peranan anak perempuan sebagai ahli keluarga dan peranan mereka.
Penceritaannya panjang lebar membahagikan manusia kepada empat golongan kejadian:
- Adam a.s. diciptakan dari tanah tanpa ibu bapa.
- Hawa a.s. diciptakan dari lelaki tanpa percantuman wanita.
- Isa a.s. diciptakan dari wanita tanpa percantuman lelaki.
- Seluruh manusia kecuali Isa a.s. yang diciptakan dari kedua pihak ibu dan bapa.
Ini semua adalah kurniaan Allah kepada umat manusia, terutamanya anak perempuan yang dianugerahkan kepada para nabi terdahulu. Beliau membawa beberapa mesej penting bahawa Allah memberikan kemuliaan kepada anak perempuan sebagai tunjang kekuatan kepada umat ini.
Bab Ketiga dijelaskan mengenai topik – Dianjurkan Memberitahu Berita Mengandung atau Kelahiran dan Perlunya Mengucapkan Tahniah. Beberapa ayat al-Quran sendiri merujuk peristiwa gembira ini dalam kisah Nabi Ibrahim a.s., Nabi Zakaria a.s. dll.
Setiap berita gembira ini perlukan ucapan tahniah sepertimana kisah Ka’ab Bin Malik r.a. yang menerima tahniah selepas diterima taubatnya kerana membelkangi perintah Rasul SAW dalam berjihad. Budaya Islam ini dijelaskan sedemikian rupa kerana pada era jahiliyah seperti yang dijelaskan sendiri oleh pengarang iaitu Ibn al-Qayyim rhm:
“Tidak sepatutnya seseorang itu hanya mengucapkan tahniah kepada pengantin lelaki sahaja dan tidak kepada pengantin wanita. Hal ini sama situasinya pada era jahiliyah yang mana mereka hanya mengucapkan tahniah kepada pengantin lelaki sahaja. Manakala, mereka akan mengucapkan tahniah apabila berlaku kematian anak perempuan dan bukan sewaktu kelahirannya.”
Bab Keempat pula mengetengahkan topik – Bab Azan di Telinga Kanan dan Iqamah di Telinga Kiri. Hadis dari Abu Rafi’ menceritakan: “Aku melihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga al-Hasan bin Ali sewaktu dilahirkan oleh Fathimah.” Apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam kitabnya mengenai dua buah hadis mengenai azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri, beliau berkomentar bahawa isnadnya dha’if.
Bab Kelima berkaitan dengan Bab Galakan Tahnik yang dijelaskan oleh Abu Musa al-Asy’ari r.a. dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim: “Aku mendapat anak lelaki, lalu aku bawa kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengambilnya dan menamakannya dengan nama Ibrahim dan ditahnikkan dengan seketul tamar serta didoakan keberkatan kepadanya. Lalu Baginda mengembalikannya semula kepadaku.”
Tahnik – belah mulut dengan meletakkan tamar lenyek atau sesuatu yang manis ke lelangit bayi.
Di dalam Sahihain iaitu kitab hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim juga menceritakan Rasulullah SAW mentahnik anak lelaki Abu Thalhah r.a. iaitu suami kepada Umm Sulaim dan menamakan bayi tersebut dengan nama Abdullah iaitu saudara kandung (adik lelaki) kepada al-Bara` dan Anas.
Dalam Sahih al-Bukhari ada menceritakan, bahawa kaum Yahudi telah melakukan sihir ke atas kaum Muslimin di Madinah dan mereka tidak akan berjaya melahirkan anak di sana. Namun Allah Taala telah memberikan rezeki kepada al-Zubair bin al-‘Awwam dengan kelahiran bayinya bernama Abdullah. Beliau dilahirkan di Quba dan berita ini amat menggembirakan kaum muslimin hingga membuatkan mereka bertakbir dengan berita kelahiran ini. Rasulullah SAW sendiri mentahnikkannya dengan seketul tamar, lantas didoakan keberkatan kepadanya. Abdullah bin al-Zubair merupakan bayi pertama di kalangan Muhajirin yang lahir di Madinah.
Bab berikutnya berkaitan topik:
- 6. Bab Akikah dan hukumnya.
- 7. Bab Bercukur dan Mengeluarkan Sedekah Seberat Timbangan Rambutnya.
- 8. Bab Menamakan Anak dan hukumnya (menarik di dalamnya sunnah dari kisah Mariah al-Qibthiyah – perihal nama sunnah, nama makruh dll)
- 9. Bab Khitan dan hukumnya
Serta banyak topik kecil yang menarik untuk dibaca….
Semoga pendedahan ini membangkitkan deria rasa cintakan ilmu pengetahuan, isnya Allah …
Wassalam



salam
bagus kitab ni.enta tak nak terjemahkan ke?
wasalam
memang bagus kitab ni, tapi ana tak ada masa lagi sekarang ni…
lagi pun terlalu banyak buku nama-nama Islam yang dicetak setiap hari…
cuma sumbernya yang tidak diketahui secara terang…
masih diselaputi debu-debu tradisi…
insya Allah.. jika diluangkan masa nanti…
07/05/09
ana ke KL dan ana sudah menemui buku ini yang diterjemahkan dan dicetak oleh pustaka al-Hidayah. Tajuknya Persiapan Menyambut Kelahiran Bayi – Harga RM25.00