Ulasan Buku & Kitab

“Di dalamnya terdapat (isi kandungan) kitab-kitab yang bermutu tinggi” [al-Bayyinah: 3]

Kitab Majma’ al-Zawa’id wa Manba’ al-Fawa’id – al-Haitsami

Kitab ini adalah sebuah koleksi hadis yang ditulis oleh al-Hafizh Nur al-Din, Ali bin Abu Bakar al-Haitsami,  (735 – 807H / 1335 – 1404M). Beliau merupakan seorang tokoh hadis yang terkenal di zamannya dan meninggalkan beberapa karya yang menjadi rujukan umat Islam hingga kini.

Imam al-Sakhawi pernah menyatakan mengenai kekuatan hafalannya, “Cukup takjub melihat kepada pegangan agamanya, ketakwaan, zuhud, menuntut ilmu, beribadah, berwirid, berkhidmat pada gurunya dan….” Berkata pula Syeikh al-Taqi al-Fasi, “Beliau seorang yang begitu banyak menghafal mutun (syair ilmu) dan atsar, Seorang yang soleh dan berakhlak mulia.”

Beliau menghafaz al-Quran semenjak kecil dan mula menuntut ilmu dan berkhidmat dengan gurunya al-Iraqi pada sekitar tahun 750H. umurnya ketika itu dalam 15 tahun. Beliau berdampingan erat dengan gurunya hinggakan pada setiap masa dan ketika mereka bersama. Hatta mereka menunaikan haji beberapa kali dan juga bermusafir ke luar wilayah mereka.

Hampir setiap perkara didampingi gurunya sama ada tulis baca dan juga penghasilan karya ilmiah yang lain. Akhirnya beliau berkahwin dengan anak gadis gurunya al-Iraqi yang bernama Khadijah hingga melahirkan generasi seterusnya penyambung warisan keilmuan ini.

Beliau terkenal sebagai seorang yang berakhlak, baik hati, bijak dan kuat hafalan. Seorang yang sangat bertakwa, berani mencegah kemungkaran, suka melakukan amalan soleh, bersikap warak dan kuat beragama. Hinggakan beliau tidak pernah mengabaikan solat malam walaupun dalam keadaan keletihan menguasai diri.

Beliau dikenali sebagai seorang yang banyak menghafal mutun ilmu (syair ilmu) dan mampu membacanya apabila saat memerlukannya. Pantas menjawab sebarang soalan yang ditanyakan kepadanya dengan kefahaman yang luas dan mendalam. Namun, kepintarannya itu tetap dipeliharanya dengan mendahulukan pandangan dan jawapan mereka yang lebih berilmu daripadanya.

Beliau juga seorang yang bersikap keras terhadap kemungkaran dan amat membenci golongan bidaah yang lebih suka menurut hawa nafsu mereka dalam melakukan amalan ibadah. Malah beliau begitu mengasihi golongan ahl al-Sunnah dan membantu mereka.

  • Kembara Ilmunya

Beliau sering bermusafir dengan gurunya iaitu Syeikh al-Iraqi dalam setiap perjalanan jauhnya. Mereka pernah menuju ke Damsyik, Iskandariyah, Hamah, Hims, Baalbek, Nablus, Gaza, Safad, Makkah dan juga Madinah yang didiaminya selama 3 tahun. 

Antara gurunya yang tidak asing lagi iaitu Zain al-Din Abu al-Fadhl, Abd al-Rahim bin al-Husain al-Iraqi al-Kurdi yang didampinginya hingga gurunya ini wafat pada tahun 806H. Selain itu beliau sempat berguru dengan Ibrahim bin Abdullah al-Zibawi (772H) ketika berada di Bait al-Maqdis, Ahmad bin Abd al-Rahman al-Mardawi (787H) ketika di Damsyik,  Ahmad bin Abd al-Karim al-Ba’li (777H) ketika di Baalbek, Salah al-Din Abu Sa’id Khalil bin Kikaldi (761H) ketika di Bait al-Maqdis, Muhammad bin Ismail al-Khubbaz (756H) yang mengajarnya Sahih Muslim dan Musnad Imam Ahmad dan juga daripada Muzhaffar al-Din Muhammad bin Muhammad bin Yahya al-‘Atthar yang mengajarnya kitab Sahih al-Bukhari dan selain mereka ini rahimahumuLlah.

Hidupnya sentiasa berdampingan dengan gurunya, beliau belajar, mengajar dan menghasilkan karya dengan keberadaan gurunya. Namun ada beberapa orang muridnya yang terkenal seperti al-Hafiz Ibn Hajar al’Asqalani, Waliyu al-Din Ahmad bin ‘Abd al-Rahim al-Iraqi dan juga Ahmad bin Abu Bakar al-Busiri.

  • Kitabnya Majma’ al-Zawa’id

Kitab ini adalah himpunan ‘unik’ hadis-hadis dari sumber atau turuq yang lain daripada kitab hadis sebelumnya. Berabad-abad lalu, segelintir ahli hadis mula menyusun koleksi atau himpunan hadis dari sumber kedua yang didapati oleh mereka sebagai penambahan dalam koleksi hadis-haids sebelumnya.

Malahan sebahagian ulama hadis ada yang menyatakan antara kitab terawal yang banyak mengandungi hadis zawa’id atau ‘penambahan’ ini adalah kitab Sunan Ibn Majah. Menurut Syeikh Muhammad Fuad Abd al-Baqi jumlah hadis yang terkandung dalam Sunan Ibn Majah adalah sebanyak 4341 hadis. 3002 buah hadis daripadanya merupakan hadis-hadis yang sama terdapat di dalam lima buah kitab sunan yang lain. 1339 buah hadis termasuk dalam kategori Zawa’id (penambahan) dan tidak terdapat dalam lima buah kitab hadis sebelumnya.

Dari sejumlah hadis yang termasuk dalam kategori hadis Zawa’id tersebut ia diklasifikasikan lagi kepada beberapa bahagian lain iaitu 428 buah hadis adalah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para periwayat yang tsiqah (dipercayai) dan sahih dari aspek sanadnya. Manakala sebanyak 199 buah hadis dari aspek sanadnya yang bertaraf Hasan, 613 buah hadis bertaraf Sanad Dhaif dan 99 buah hadis lain bertaraf terlalu lemah, Mungkar dan palsu. Ini jika kita merujuk kepada pengkelasan yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Fuad Abd al-Baqi dalam kajiannya. Jadi tidak hairanlah jika kita terpaksa melihat dan merujuk kepada kitab-kitab karya kajian Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani dalam menilai status sesebuah hadis yang diambil dan diamalkan.

Berlakunya keadaan sebegini kerana di kalangan ulama hadis ini, mereka mempunyai isnad periwayatan yang bersambungan dengan para muhaddisin sebelum mereka. Pada satu-satu tempat tetapi tidak di negara lain. Secara umumnya, hadis-hadis yang diaktegorikan sebagai Zawa’id ini merupakan satu koleksi yang dihasilkan oleh segelintir ulama hadis yang tidak dijumpai periwayatan mereka dalam enam buah koleksi sunan yang muktabar. Mudahnya untuk difahami mengenai kitab al-Zawa’id ini ialah karya hadis yang berisi himpunan hadis tambahan terhadap hadis yang ada pada sebahagian kitab hadis yang lain.

Majma’ al-Zawa’id adalah salah satu contoh yang menonjol dari kaedah al-Zawa’id ini. Hadis-hadis yang terkandung di dalamnya dihasilkan dari saringan hadis kitab Musnad Ahmad bin Hanbal, Musnad Abu Ya’la al-Mausili, Musnad Abu Bakar al-Bazzar dan tiga buah koleksi termasyhur oleh Imam al-Thabrani iaitu kitab al-Mukjam al-Kabir, kitab al- Mukjam al-Awsat dan al-Mukjam Al-Saghir.

Hadis yang dikumpulkan oleh al-Haitsami ini tidak dijumpai dalam enam buah koleksi sunan muktabar iaitu kitab Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Sughra, Sunan Abu Daud, Sunan Al-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah.

Kitab hadis ini dianggap sebagai sumber hadis kedua kerana ia mengumpulkan koleksi hadis sebelumnya dan tidak termasuk isnad hadis. Turut dijadikan fakta bahawa buku-buku yang menjadi sumber utamanya adalah dalam kategori Musnad dan Mukjam. Hanya

yang dapat dijelaskan kitab Majma’ al-Zawa’id ini disusun mengikut kaedah tertib kitab sunan yang meletakkan tajuk dan topik kecilnya berlandaskan bab Fiqh. Penulis kitab ini juga memberikan komentar pada setiap taraf hadis dan menyatakan penilaian bagi setiap tokoh periwayat. Namun, al-Haitsami dianggap sebagai seorang yang dianggap agak ‘mudah’ (tasahul) dalam menentukan taraf bagi sesebuah hadis yang ditulisnya dalam kitab ini. 

Pujian yang diterima pada karya ini dapat dilihat dari kenyataan Syeikh al-Kattani yang menjelaskan bahawa kitab al-Majma’ al-Zawa’id merupakan sebuah kitab hadis “dari kitab-kitab hadis yang paling baik. Malah lebih tepatnya, tidak ada kitab yang setanding dan setara dengannya dalam kategori ini.”

  • Karangannya yang lain

Asal kitab Majma’ al-Zawa’id ini adalah hasil kerja yang menggabungkan beberapa karya terdahulu daripada beberapa orang  tokoh hadis. Antara kitab-kitabnya yang lain ialah:

  1. Kitab Ghayah fi al-Maqsad al-Musnad Zawa’id: iaitu himpunan hadis Zawa’id dari kitab Musnad Imam Ahmad. Subjek kajian ini sebenarnya adalah saranan yang dikemukakan oleh gurunya iaitu Syeikh Abd al-Rahim ibn al-Husain al-’Iraqi.
  2. Kitab yang lain pula seperti kitab Al-Bahr al-Zakhkhar fi Zawa’id Musnad al-Bazzar yang dikumpulkan dari hadis Zawa’id dari Musnad al-Bazzar.
  3. Al-Maqsad al-‘Aliy fi Zawa’id Abi Ya’la al-Mausili iaitu hadis-hadis Zawa’id dari kitab Musnad Abu Ya’la al-Mausili.
  4. Kitab al-Badar al-Munir fi Zawa’id Al-Mu’jam al-Kabir yang dihimpunkan hadis Zawa’id dari karya Imam al-Thabrani menerusi karyanya dari Mukjam al-Kabir.
  5. Kitab Majma’ al-Bahrain fi al-Zawa’id Mu’jamain yang diambil dari hadis Zawa’id yang terkandung di dalam kitab Mukjam al-Thabrani iaitu kitab al-Mu’jam al-Awsat dan al-Mu’jam al-Saghir.
  6. Kitab Tartib Tsiqat oleh al-‘Ijli
  7. Kitab Taqrib al-Bughyah fi Takhrij Ahadits al-Hilyah
  8. Kitab Kasyf al-Astar ‘an Zawa’id al-Bazzar
  9. Kitab Bughyah al-Bahits ‘an Zawaid al-Harits
  10. Kitab Mawarid al-Zham’an ila Zawa’id Ibn Hibban

Kitab Majma’ al-Zawa’id ini mula dicetak di Kaherah pada tahun 1352-1353H/1933-1934M. Diulang cetak pula oleh Mu’assasah al-Ma’arif di Beirut pada tahun 1986 dalam jumlah keseluruhan sebanyak 10 bahagian yang terkandung dalam 5 jilid.

Beliau meninggal dunia pada 19 haribulan Ramadan tahun 807H. Semoga Allah mengurniakan rahmat dan keampunan kepada beliau dan kita semua. Amin.  

Bookmark Artikel ini:
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • Print
  • RSS
  • Technorati
  • Twitter
RSS 2.0 | Trackback | Comment

One Response to “Kitab Majma’ al-Zawa’id wa Manba’ al-Fawa’id – al-Haitsami”


  1. Assalaamu’alaikum..

    Alhamdulillah.. dapatkan hadis dari pelbagai kitab (percuma)

    http://www.koleksiHadisNabi.blogspot.com

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>