Blog Kedai Buku Fikri di dalam Majalah i Oktober 2009


Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain
Antara aktiviti yang menyeronokkan pada petang Ramadan ialah persiapan khas untuk berbuka bersama ahli keluarga. Tidak dinafikan agama Islam tidak seperti agama lain yang mengumpulkan ahli keluarga hanya setahun sekali, sama aa perayaan keagamaan, sambutan hari jadi atau tiada langsung. Tetapi dalam Islam, perhimpunan besar ahli keluarga boleh dikatakan sepanjang sebulan Ramadan diadakan.
Ahli keluarga dan sanak saudara berhimpun bersama untuk berbuka puasa. Tidak cukup dengan itu, kakitangan pejabat dan rakan sekerja turut bersama berkongsi kemeriahan ini dengan berbuka di luar. Persiapan ini dilakukan sebaiknya, tidak cukup memasak di dapur ada sebahagian lagi yang bakal menyambut keseronokan waktu berbuka puasa di bulan mulia ini dengan ‘menyerbu’ ke pasar-pasar Ramadan sebelum waktu berbuka puasa tiba.
Namun dengan ‘keghairahan’ sewaktu membeli juadah berbuka ini, terdapat segelintir di kalangan umat Islam yang tidak perasan pakaian yang tidak sesuai dikenakan mereka. Biarpun kepanasan dan keletihan akibat berpuasa sepanjang hari, aurat perlu dijaga agar tidak mengurangi pahala diri sendiri dan juga orang lain. Mereka yang datang untuk membeli pelbagai juadah tidaklah perlu bersolek ‘tebal’ atau berpakaian yang menjolok mata. Begitu juga dengan kaum lelaki yang datang membeli juadah, tidaklah sopan dengan hanya memakai seluar pendek dan baju singlet.
Semasa membeli makanan, elakkan pembaziran kerana perut yang lapar mendorong hawa nafsu membeli di luar tahap keperluan. Jangan jadikan kos perbelanjaan makanan pada bulan ini ‘meningkat’ mengatasi tiga bulan lalu. Tidak wajar bagi seseorang Islam menjadikan Ramadan yang mulia ini seolah-olah ‘bulan pesta makanan’.
Segala jenis juadah muncul dan dibeli oleh pelanggan untuk dibawa pulang serta dihidangkan kepada keluarga. Bulan yang baik untuk melakukan program diet dan menjaga kesihatan, akhirnya menambahkan ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Manakala penyakit hati yang timbul pula seperti sifat tamak, gelojoh dan mementingkan diri semakin menular di dalam jiwa tanpa disedari.
Berusahalah menjauhkan diri daripada dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat. Sebaiknya sama sahaja adat makan pada bulan puasa dan bulan lain. Mereka yang menurut keinginan nafsu perut ketika berbuka puasa sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis yang bertujuan menghilangkan keberkatan ibadah puasa.
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu pada dirinya. Sewaktu berpuasa hinggalah menunggu waktu berbuka puasa, kebanyakan umat Islam melupai waktu mustajabnya doa. Bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari di bulan puasa, seseorang muslim itu dikira dalam tempoh beribadah. Mereka perlu menjauhi perbuatan dan amal yang tidak berfaedah, apatah lagi dengan perbuatan yang tidak baik dan mengurangkan pahala.
Justeru mereka perlu memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka puasa. Ini antara ‘kerugian’ yang sering dilalaikan oleh umat Islam pada bulan Ramadan ini. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka ialah pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka puasa dan doa orang yang di zalimi.” (Riwayat al-Tirmizi) dan sebuah hadis lain ada menyebutkan, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika berbuka atau hampir berbuka, doanya tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibn Majah)
Oleh itu, hindarilah amalan yang sia-sia dan tidak bermanfaat ketika menghadap ke arah juadah makanan menantikan masuknya waktu berbuka puasa. Sebenarnya terdapat begitu banyak panduan dan saranan untuk memenuhi ruang ibadah dan menghayati keberkatan di bulan Ramadan tahun ini dengan penuh rasa keinsafan di hati.
Selain itu, antara faktor utama yang dapat meningkatkan tahap ibadah yang lebih berkualiti adalah menerusi pembacaan kitab, buku, sumber internet dan media massa . Penambahan ilmu berkaitan puasa dapat merangsang perkembangan ilmu dan amali untuk mencapai keredaan Allah di bulan mulia ini. Semoga Allah memberkati segala usaha kita dalam Ramadan kali ini.

Puasa memberikan kerehatan kepada setiap manusia yang melakukannya selain turut menjadi benteng kepada pelbagai penyakit yang menyerang tubuh manusia. Penyakit yang nyata berjaya dihindari dengan melakukan ibadah ini ialah sakit perut, obesiti, pertambahan kolesterol, tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Apabila merujuk Hippocrate yang bergelar Bapa Perubatan Greek, beliau turut menggunakan puasa sebagai kaedah perubatan pada hari pertama pesakitnya mendapatkan rawatan. Beliau juga menyifatkan kepelbagaian rawatan yang dihasilkan daripada puasa amat sesuai dengan setiap penyakit.
Pakar perubatan Arab, Dr Umayyah Lahud dalam bukunya menjelaskan: “Saya sering melakukan kajian kepada pelajar yang berpuasa, hanya dalam tempoh singkat mereka dapat menambahkan kemampuan dari aspek penghasilan idea. Ini menjadikan mereka pelajar yang mampu menggunakan segala kemampuan akal untuk menguasai pelajaran. Ini hasil daripada puasa yang menjadikan tubuh merangsang asid yang menolak segala toksin. Seterusnya menjadikan sel darah kembali normal dan bersih daripada segala zat yang diperoleh dari pemakanan harian, manakala pengaliran darah ke otak lebih lancar.”
Tidak diragukan lagi puasa ini adalah tanda kekuasaan Allah yang mensyariatkan kepada kita ibadah amat bermanfaat. Pakar perubatan lain turut mengutamakan teknik berpuasa bagi pesakit mereka berbanding pemberian ubat atau rawatan lain.
Allamah Rasyid Ridha penulis Tafsir al-Manar menjelaskan pengakuan beberapa pakar perubatan Eropah yang mengakui dengan berpuasa sebulan Ramadan mampu menyingkirkan sel tambahan yang mati atau tidak berfungsi dalam badan seseorang individu itu.
Apa yang menghairankan, di negara kita, didapati majoriti yang menyambut bulan mulia ini dengan ‘menyerbu’ ke bazar Ramadan sehingga kos perbelanjaan makanan bulan ini meningkat. Peniaga pula mengambil kesempatan meningkatkan harga barangan keperluan hatta gula mulai disorok bagi menjadikan harga di pasaran melambung tinggi. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim ada menyebutkan: “Siapa yang menyorok barang keperluan, dia adalah seorang yang berbuat maksiat.”
Kewujudan pasar Ramadan menjadikan seolah-olah bulan puasa adalah ‘pesta makanan’. Segala makanan yang muncul dibeli oleh pelanggan untuk dihidangkan kepada keluarga, maka bertambahlah ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi dan jantung. Penyakit hati yang timbul pula seperti tamak, tidak sabar atau gelojoh, kedekut dan mementingkan diri tetap bersarang di jiwa.
Apabila mereka merujuk hospital akibat penyakit dihidapinya, pasti banyak penyakit itu berpunca daripada perut yang kekenyangan. Allah berfirman: “Makan dan minumlah kamu sekalian dan jangan kamu membazir.”
Ayat ini jelas menerangkan keharusan makan dan minum bagi setiap manusia, tetapi pada akhirnya turut melarang berlebihan dan membazir. Ulama menyatakan, dalam ayat yang ringkas itu Allah Taala mengumpulkan rahsia perubatan untuk semua perkara kepada diri manusia.
Kaum terdahulu turut melarang mengambil makanan dan minuman melampaui batasan keperluan. Luqman al-Hakim pernah mengingatkan kepada anaknya: “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadah.”
Justeru, setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan terbaik ini bagi membetulkan kesilapan mereka pada masa lalu. Khidmat percuma ini didatangkan Allah dengan penuh nikmat kepada setiap hamba-Nya. Tidak perlu kita merosakkan puasa ini dengan membanyakkan makan minum sehingga membawa pembaziran.
Pesan Imam Muhammad al-Hasan al-Syaibani: “Pembaziran makanan itu adalah makan dengan banyak sehingga melampaui rasa kenyang. Termasuk juga pembaziran adalah memperbanyakkan juadah dan kepelbagaian jenisnya. Bahkan dikirakan pembaziran juga apabila diletakkan dalam hidangan itu pelbagai ragam makanan melebihi keperluan yang sepatutnya.”
Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain
Hikmah berpuasa secara tidak langsung dapat memberikan faedah besar terhadap kesihatan tubuh badan. Kerehatan yang diberikan kepada saluran pemakanan dalam tempoh sebulan cukup untuk meregang dan melegakan bahagian penghadaman tersebut. Dalam ertikata lain mengembalikan kekuatan dan kecergasannya pada waktu selepas berlalunya Ramadan. Tidak dinafikan bahawa perut adalah ‘rumah penawar’ dan ‘pencegahan’nya merupakan mahkota segala penawar seperti yang disebutkan oleh tokoh perubatan Arab iaitu al-Harits Bin Kaldah.
Puasa memberikan kerehatan kepada setiap manusia yang melakukannya selain turut menjadi benteng kepada pelbagai penyakit yang menyerang tubuh manusia. Penyakit yang nyata berjaya dihindari dengan melakukan ibadah ini ialah sakit perut, obesiti, pertambahan kolestrol, tekanan darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
Apabila merujuk kepada Hippocrate yang bergelar ‘Bapa Perubatan Greek’, beliau turut menggunakan puasa sebagai kaedah perubatan pada hari pertama para pesakitnya mendapatkan rawatan. Beliau juga menyifatkan kepelbagaian rawatan yang dihasilkan daripada puasa amat sesuai dengan setiap penyakit yang menghinggapi para pesakitnya.
Seorang pakar perubatan Arab iaitu Dr. Umayyah Lahud di dalam bukunya telah menjelaskan, “Saya sering melakukan kajian kepada pelajar saya yang berpuasa, hanya dalam tempoh singkat mereka dapat menambahkan kemampuan dari aspek penghasilan idea. Ini menjadikan mereka di kalangan pelajar yang mampu menggunakan segala kemampuan akal untuk menguasai pelajaran mereka. Ini hasil dari puasa yang menjadikan tubuh mampu merangsang satu asid yang menolak segala toksin daripada tubuh individu tersebut. Seterusnya menjadikan sel darah kembali normal dan bersih dari segala zat yang diperolehi dari pemakanan harian. Manakala pengaliran darah ke otak lebih lancar.”
Tidak diragukan lagi ibadah puasa ini merupakan tanda kekuasaan Allah yang mensyariatkan kepada kita suatu ibadah yang amat bermanfaat. Hatta pakar perubatan lain turut mengutamakan teknik berpuasa bagi para pesakit mereka berbanding dengan pemberian ubat atau sebarang rawatan lain. Seorang doktor perubatan Rusia menyatakan, “Adalah lebih penting kami mengarahkan kepada pesakit agar berpuasa dan mengosongkan perutnya supaya berat badannya turun dan mereka mampu sembuh dengan lebih cepat. Hal ini lebih baik daripada kami memenuhkan perut mereka dengan ubatan seperti pil dan kapsul serta makanan yang bakal menambahkan lagi penyakit lain.”
Allamah Rasyid Ridha penulis Tafsir al-Manar menjelaskan pengakuan daripada beberapa orang pakar perubatan Eropah yang mengakui dengan berpuasa sebulan Ramadan dalam setahun mampu menyingkirkan sel-sel tambahan yang mati atau tidak berfungsi dalam badan seseorang individu itu.
Apa yang menghairankan, didapati majoriti yang menyambut bulan mulia ini dengan ‘menyerbu’ ke bazar Ramadan. Hinggakan keperluan kos perbelanjaan makanan pada bulan ini ‘meningkat’ mengatasi tiga bulan yang lalu. Pihak peniaga pula mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga barangan keperluan hatta ‘gula’ mulai disorok bagi menjadikan harga di pasaran melambung tinggi. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim ada menyebutkan, “Barangsiapa yang ‘menyorok’ barang keperluan, dia adalah seorang yang berbuat maksiat.”
Kewujudan pasar Ramadan bagai ‘cendawan tumbuh’ menjadikan seolah-olah bulan puasa adalah ‘pesta makanan’. Segala jenis makanan yang muncul dibeli oleh pelanggan untuk dihidangkan kepada keluarga. Maka bertambahlah ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Manakala penyakit hati yang timbul pula seperti sifat tamak, tidak sabar atau gelojoh, kedekut dan mementingkan diri tetap bersarang di jiwa.
Apabila mereka merujuk kepada pihak hospital akibat penyakit yang dihidapinya, sudah pasti banyak penyakit tersebut berpunca dari perut yang kekenyangan. Allah berfirman, “Makan dan minumlah kamu sekalian dan jangan kamu membazir.” Ayat ini dengan jelas menerangkan keharusan makan dan minum bagi setiap manusia, tetapi larangan pada akhirnya melarang dari berlebihan dan membazirkannya. Para ulama sendiri menyatakan, “Dalam ayat yang ringkas ini Allah Taala mengumpulkan rahsia perubatan untuk semua perkara kepada diri manusia.”
Kaum terdahulu turut melarang daripada mengambil makanan dan minuman yang banyak dan melampaui batasan keperluan. Luqman al-Hakim pernah mengingatkan kepada anaknya, “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segaka hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadah.”
Justeru, setiap muslim perlu menggunakan kesempatan terbaik ini bagi membetulkan kesilapan mereka pada masa lalu. Khidmat percuma ini didatangkan Allah dengan penuh nikmat kepada setiap para hambaNya. Tidak perlu mereka merosakkan puasa ini dengan membanyakkan makan minum hingga membawa kepada pembaziran. Sebagaimana pesan Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, “Pembaziran makanan ini adalah makan dengan banyak hingga melampaui rasa kenyang. Termasuk juga pembaziran adalah dengan memperbanyakkan juadah dan kepelbagaian jenisnya. Bahkan dikirakan pembaziran juga apabila diletakkan dalam hidangan itu pelbagai ragam makanan melebihi keperluan yang sepatutnya.”
Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain
Antara matlamat ibadah puasa ini di syariatkan ialah sebagai satu ujian bagi merasai penderitaan yang ditanggung oleh orang lain terutamanya anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan selainnya. Orang yang berpuasa pasti terkenangkan penderitaan golongan ini yang sering memerlukan bantuan dan pertolongan dari mereka. Golongan yang berkemampuan ini pasti akan terfikir mengenai nasib yang menimpa saudara seagamanya yang sedang mengalami kebuluran, penderitaan dan kesengsaraan akibat perang mahupun ancaman bencana alam.
Syeikh Ibnu al-Hammam menjelaskan mengenai keinsafan dalam ibadah puasa ini, “Bagi orang yang berpuasa mereka pasti merasai derita kelaparan dalam tempoh waktu tertentu sepanjang hari tersebut. Kemudiannya, mereka akan terkenang golongan yang senantiasa berkeadaan sebegitu pada setiap waktu. Akhirnya perasaan belas kasihan dan simpati akan timbul terhadap golongan tersebut.”
Apabila diamati dengan teliti perasaan ini, pasti akan mewujudkan rasa sedih terhadap golongan fakir miskin dari kalangan mereka seanutan dengannya yang sememangnya memerlukan bantuan berupa harta, makanan, pakaian, penginapan dan sebagainya. Fenomena yang lahir dari rasa insaf ini secara tidak langsung akan mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta keprihatinan sesama Islam dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan.
Ibnu Rajab al-Hanbali pernah menyebutkan kisah di kalangan Salaf al-Ummah yang disoal mengenai puasa, “Kenapa disyariatkan ibadah puasa? Dijawab oleh mereka: Agar golongan kaya merasai kelaparan dan dia pasti tidak akan melupai golongan yang sedang kelaparan.”
Dengan ini, para ulama berpandangan agar golongan yang kaya dapat menghulurkan bantuan kepada goplongan miskin, memberikan pertolongan berupa makanan, pakaian dan harta. Perasaan ini pasti membangkitkan kerjasama dalam masyarakat, mengeratkan hubungan di kalangan mereka serta menyemarakkan semangat persaudaraan sesama muslim.
Nabi Muhammad SAW suatu ketika telah menemui Umm ‘Amarah Bintu Ka’ab al-Ansariyah. Beliau menyediakan makanan kepada Baginda. Maka, Baginda mengajaknya dengan bersabda: “Makanlah! Dia menjawab: Aku berpuasa. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila dihidangkan makanan kepadanya, para malaikat akan mendoakan kesejahteraan kepada orang yang menyediakannya sehingga dia berlalu.” (Riwayat al-Baihaqi)
Namun di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi beliau menambah, sehingga dia berlalu itu kemungkinan sehingga dia kekenyangan.
Di sini, bukanlah menghidangkan sesuatu kepada orang yang berpuasa itu sama ada rakan ataupun orang miskin dengan beberapa biji tamar dan air sahaja, kemudian membiarkan dia berlalu pergi. Bahkan, maksud yang sebenar ialah menghidangkan mereka dengan segala seuatu yang mampu mengenyangkan.
Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain
Matlamat utama ibadah puasa ini disyariatkan antara lainnya adalah untuk membersihkan jiwa nurani daripada akhlak dan sifat yang buruk. Kewajiban berpuasa ini disyariatkan pada satu bulan yang mulia dengan dibelenggu para syaitan sepanjang waktunya. Penjelasan ini diperkuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila tibanya bulan Ramadan akan dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka serta di belenggu para syaitan.”
Di samping itu, puasa juga dapat melumpuhkan gejolak nafsu yang membara. Keadaan lapar dan dahaga ini sebenarnya dapat mematahkan nafsu syahwat dan hasutan iblis. Oleh itu, di dalam sebuah hadis Rasulullah pernah mengingatkan kepada para pemuda yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa untuk mengekang nafsu mudanya. Terdapat juga di dalam sebuah hadis yang lain Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Puasa itu adalah pelindung yang menjadi salah satu benteng daripada benteng-benteng orang Mukmin.”
Pernah suatu ketika seorang saintis pernah membentangkan kajiannya bahawa antara sebab galakan Nabi Muhamad agar kaum muslimin berpuasa pada hari Abyadh iaitu hari 13, 14, dan 15 menurut kalendar hijrah (lunar). Pada malam-malam bulan mengambang penuh itu berlaku pasang surutnya air laut. Air laut akan berlaku proses pasang surut dalam tempoh tersebut disebabkan graviti yang dihasilkan oleh bulan sejak jutaan tahun silam dengan kuasa Allah.
Begitu juga darah yang terkandung dalam tubuh badan manusia pada tempoh tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w menggalakkan agar kaum muslimin berpuasa pada hari-hari tersebut kerana syaitan turut memainkan peranannya dengan bergerak cergas membisikkan kejahatan melalui salur darah yang turut mengembang pada diri setiap anak Adam ketika itu.
Kenyataan ini cukup jelas jika dinilai dengan saksama serta tidak langsung menyanggahi dalil yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, “Sesungguhnya syaitan bergerak di dalam saluran darah anak Adam.”
Oleh itu, puasa dari aspek rohani dapat menguatkan keperibadian dan meluhurkan budi, mencantikkan pekerti, membersih dan meningkatkan jiwa dari segala hasutan dan bisikan nafsu syahwat bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja tetapi tetap berkekalan pada masa yang seterusnya.
Kedatangan Ramadan setiap tahun diumpamakan sebagai stesen tahunan yang dapat menjadi pencetus kepada setiap individu muslim untuk menyuci jiwa dari segala noda dan dosa serta berupaya meningkatkan keimanan kepada Allah yang Esa. Ramadan juga secara tidak langsung menjadi sesi pemangkin kekuatan iman pada bulan-bulan mendatang, sesi didikan untuk melatih diri dalam melakukan amalan baik, sesi penilaian diri serta meninjau keburukan yang patut dihindari.
Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain
Para ulama sering mendahulukan hikmah yang diperolehi dalam sesuatu amalan ibadah itu sebagai satu pemangkin dan penggalak kepada orang lain untuk turut sama mengerjakannya. Imam Ibn Taimiyah menjelaskan perkara ini dengan kenyataan yang amat menarik: Sesiapa yang memahami hikmah yang terkandung di dalam hukum syariat itu, beliau adalah seorang faqih (ulama) yang sebenar.
Malah, Imam Ibnu Taimiyah turut berpendapat bahawa pengetahuan di dalam ilmu Maqasid ini merupakan suatu keutamaan bagi seseorang itu mendalami topik ini secara khusus dalam kajian fekahnya.
Apa yang penting bagi kita yang mempunyai akal untuk berfikir. Kewujudan kita di muka bumi ini adalah sebagai hamba Allah yang mengakui keagungan Allah, menuruti segala kewajipan yang dipertanggung jawabkan serta melaksanakan suruhan dan titah perintah-Nya tanpa berbelah bagi. Bertitik tolak dari sinilah, kita memahami bahawa ibadah puasa itu merupkan syariat yang mempunyai makna yang begitu mendalam untuk dikaji serta difahami.
Bertepatan dengan pandangan yang diutarakan oleh Imam Ibnu al-Qayyim: Kebaikan berpuasa itu sekiranya dinilai dari pandangan yang sejahtera dan naluri yang berprinsip teguh dapat dijelaskan bahawa Allah mensyariatkan kepada para hamba-Nya sebagai satu rahmat. Selain itu, puasa juga sebagai satu kebaikan dan perlindungan buat mereka.
Secara ringkas dapat dinyatakan bahawa keistimewaan puasa di dalam syariat Islam serta kebaikan yang terkandung di dalamnya mempunyai beberapa matlamat dan hikmah yang tersirat, antaranya ialah melahirkan jiwa yang bertakwa.
Ibadah puasa ini merupakan suatu cara untuk menghampirkan diri kepada Allah dengan meninggalkan apa yang disukai, mengekang nafsu syahwat serta mengawal diri semata-mata kerana Allah dalam setiap masa dan tempat. Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah: Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
Arahan agar disempurnakan ibadah puasa ini supaya dilakukan dengan perasaan penuh taqwa merupakan hikmah utama disyariatkan ibadah ini. Imam Ibnu al-Qayyim di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hikmah yang terkandung di dalam ibadah puasa ini, “Puasa adalah pelindung yang mampu mengekang nafsu seseorang mukmin, memelihara dirinya daripada terjerumus kepada pergaduhan serta mampu melatih jasmani seseorang itu dalam mendekatkan dirinya kepada tuhan sekalian alam.”
Ibadah puasa ini seperti ibadah yang lain juga menghendaki orang yang melaksanakannya agar tidak melakukan sesuatu yang buruk. Mereka perlu meninggalkan kehendak syahwat, nafsu makan dan minum semata-mata kerana Allah. Orang yang berpuasa juga perlu meninggalkan apa yang disukainya kerana mengharapkan ganjaran dan keredhaan Allah, bahkan inilah rahsia di antara seseorang hamba dengan tuhannya tanpa diketahui oleh makhluk yang lain.
Perkara ini telah disampaikan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis Qudsi yang sahih dan diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Allah berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya, kerana beliau meninggalkan syahwat, makan dan minumnya semata-mata untuk-Ku.”
Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain
Dari buku yang bakal terbit tidak lama lagi – 2010 (kot)
a) Menghuraikan Dengan Sesuatu Yang Karut Dan Tiada Kaitan
Perkara yang karut dan bersumberkan pada andaian sendiri ini sering dilakukan oleh para orientalis di dalam kajian mereka. Hal ini disebutkan oleh Dr. al-Dib dalam satu komentarnya: “Orientalis sering menyebutkan sesuatu yang karut dan tidak mempunyai kaitan dengan situasi semasa dalam kehidupan manusia kini, pada sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku hanya berdasarkan andaian mereka. Malahan mereka pasti akan menghuraikannya berlandaskan hipotesis atau kepakaran mereka secara khusus dalam situasi yang berlaku dengan kehidupan mereka dan masyarakat mereka sehari-hari.” [1][8]
Misalnya, mereka menyesuaikan pemilihan para pemerintah sebagaimana situasi kehidupan masyarakat Barat yang menunjukkan pertikaian mereka dalam pemilihan sesebuah parti pemerintah dan calon pemimpin berdasarkan faktor masa kini. Mereka menjadikan situasi ini seperti sesebuah pilihanraya dan wujudnya pemilihan calon pemimpin untuk disokong dan ditentang. Ini hanya pada teori sahaja, sedangkan pada praktikalnya yang berlaku amat berlainan sekali bagi golongan yang memiliki wang dan harta di negara Barat.
Mereka ini mampu membeli undi para pengundi agar memilih mereka dengan kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Hal ini memaparkan betapa teruknya keadaan yang berlaku sehingga diterbitkan sebuah buku yang pernah menjadi buku ‘terlaris’ di pasaran dunia Barat yang berjudul “Membeli Pemimpin” dan buku yang lain bertajuk “Mencipta Pemimpin”. Lalu mereka menggarapkan cerita sebegini di dalam kisah sejarah berkaitan dengan bai’ah pelantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai pengganti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan gambaran yang samar.
Mereka menyatakan bahawa beliau mendapatkan jawatan tersebut dengan hasil ‘penipuan’ untuk menguasai kepimpinan umat Islam di kala itu. Bahkan, mereka turut membuat andaian bahawa al-Siddiq telah merancang untuk mendapatkan jawatan tersebut dengan dua orang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang lain. Sedangkan bagi pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menetapkan bahawa para sahabatb adalah golongan yang mendapat ‘kemuliaan’ selepas para nabi dan rasul.
Kelompok orientalis ini sedaya upaya men‘jelas’kan Abu Bakar al-Siddiq, ‘Umar dan Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah telah bersama-sama merancang dan berpakat untuk mengambil alih pucuk kepimpinan bersilih ganti sesama mereka. Dakwaan tidak berasas ini disebarkan di dalam buku-buku karangan mereka, di samping kenyataan mereka yang mendakwa bahawa golongan Munafik ini adalah dilabelkan sebagai golongan ‘pembangkang’ di dalam senario politik Islam di era Nabi Muhammad dan juga para sahabat.
Pelbagai lagi kisah yang disebutkan di dalam buku-buku karya mereka dengan pelbagai fakta yang menyeleweng dan diguna pakai oleh para penulis Islam sendiri. Justeru itu, perkara ini memaparkan ‘perancangan jahat’ dan mempunyai ‘racun berbisa’ daripada pihak mereka selepas melakukan kajian yang didakwa berteraskan akademik dan begitu ilmiah untuk diguna pakai oleh seluruh masyarakat dunia. [2]
b) Mewujudkan Keraguan Dalam Aspek Sejarah Dan Sunnah
Begitu banyak fakta dan info berkaitan dengan Sirah Hidup Nabi Muhammad dan juga Sejarah Dunia Islam yang diberikan fakta songsang dan amat menyeleweng dengan hakikat peristiwa sebenar yang terjadi. Sesetengah fakta itu diputar belitkan dengan baik agar sukar untuk dikenali antara baik dan buruk sesebuah peristiwa tersebut. Mereka sering menulis cerita berkaitan sejarah dengan diselitkan cerita yang bukan dari realiti sebenar, ataupun diselewengkan faktanya atau memutar belitkan dengan kisah-kisah khayalan yang sukar difahami.
Perkara ini merupakan salah satu teknik mereka yang paling berjaya dalam membuatkan masyarakat Islam sendiri merasa ragu-ragu terhadap kebenaran kisah sejarah umat Islam sendiri. Apabila diperhatikan kisah-kisah sebegini, ia memaparkan kisah pelik di kalangan umat Islam sendiri. Keadaan ini menjadi ‘gangguan’ bagi para pemuda Islam memahami serta menerima fakta sejarah agung umat Islam terdahulu.
Kesamaran ini jelas terpapar di antara dua keadaan bagi kisah Mu’awiyah yang diselewengkan di dalam buku-buku sejarah yang memaparkan bahawa beliau adalah seorang ahli politik pembangkang yang cuba merebut jawatan daripada Ali bin Abu Thalib dan menentang kepimpinannya. Situasi ini digunakan oleh setiap guru yang mengajar subjek tersebut kepada anak-anak Islam sejak kecil lagi.
Situasi ini begitu berbeza, apabila mereka ke masjid, kisah pertikaian dan perebutan kuasa di antara Mu’awiyah dan ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma ini tidak dipaparkan sedemikian. Mereka dinyatakan sebagai salah seorang pemimpin umat Islam dan juga termasuk di kalangan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang terkenal.
Dr. Muhammad Fathi ‘Utsman di dalam bukunya ada menyebutkan: “Mereka ini (orientalis) begitu melampau dalam mengisi fakta pada setiap penulisan karya mereka, terutamanya di dalam lapangan Sirah Nabi Muhammad. Mereka menggunakan segala daya usaha yang ada untuk mewujudkan keraguan di dalamnya. Mereka menciptakan keraguan ini bermula daripada nama Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan seterusnya. Seandainya mereka mampu untuk mewujudkan keraguan di benak kaum muslimin, pasti mereka akan menjadikan umat Islam ragu-ragu hingga pada kerasulannya…” [3]
c) Menimbulkan Penyelewengan Dan Pemalsuan
Sebahagian orientalis berusaha untuk mewujudkan penyelewengan terhadap kepelbagaian fakta ketamadunan umat Islam. Segala realiti ini wujud dan menjadi ciri keunikan ajaran Islam dan para penganutnya sejak sekian lama. Namun ia dinafikan dengan segenap daya kemampuan yang dimiliki oleh mereka agar tidak tersebar di kalangan bangsa lain yang berada di luar lingkungan ajaran Islam.
Para orientalis ini menafikan sekeras-kerasnya sejarah penyebaran Islam dilakukan dengan cara paling lunak dan amat diplomasi. Mereka turut menolak kesejagatan risalah Islam yang sesuai untuk semua budaya dan etnik. Sebaliknya mereka menyebarkan dakyah bahawa ajaran Islam ini disebar luaskan dengan ‘mata pedang’ dan kekerasan.
Segala bentuk keganasan dipaparkan, sekalipun terpaksa mereka-reka ‘jalan’ cerita yang baru sehingga tergadai maruah diri dan dicop sebagai penipu. Bagi mereka, itu semua tidak penting dan perlu dibimbangkan. Apa yang utama adalah mewujudkan keraguan dan kesamaran di minda umat Islam dan ajarannya.
Tidak hairanlah mereka mengengkari fakta kesejagatan Islam yang secara khususnya berkait dengan risalah dan surat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diutuskan kepada parab pemerintah dan pembesar wilayah di luar Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menghantar surat kepada Maharaja Rom iaitu Hercules, pembesar Mesir iaitu al-Muqauqis, pembesar Ethopia atau Habsyah iaitu al-Najasyi (Negus) dan juga pemerintah di wilayah Parsi.
Orientalis seperti Gustav Lobon dalam bukunya berjudul “Sejarah Arab” yang memaparkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang telah mengetahui di kalangan Yahudi dan Kristian terdapat seorang nabi yang diutus khusus kepada bangsa tersebut. Lalu Muhammad yang dilahirkan di kalangan bangsa Arab dan mengetahui keadaan itu telah mendakwa bahawa dirinyalah nabi yang diutuskan tuhan kepada mereka. Lanta beliau menyaring dan meniru sesetengah hukum yang terdapat di dalam kitab panduan Yahudi dan Kristian untuk dijadikan kitabnya yang diturunkan serta sebagai seorang yang boleh diyakini sebagai seorang nabi.
Segala bentuk pemalsuan ini telah dinyatakan oleh Dr. al-Dib yang mengisahkan tentang harta benda al-Zubair bin al-‘Awwam radhiyallahu ‘anhu yang diulas oleh Durant mengenai kisah ini, “al-Zubair mempunyai beberapa buah rumah di setiap bandar dan juga seribu kuda yang baik serta 10,000 orang hamba…” Sedangkan apa yang dinyatakan berdasarkan sumber buku Islam yang dipercayai menjelaskan sebagaimana berikut: “al-Zubair mempunyai seribu hamba yang membayar bayaran cukai kepadanya setiap hari. Tetapi beliau langsung tidak memasukkan ke rumahnya walaupun satu dirham kerana beliau bersedekah kesemuanya.”
Apabila dikaji semula oleh Dr. al-Dib berkiatna hal ini, jelas dapat diperhatikan penyelewengan yang dilakukan oleh orientalis ini yang menambahkan dengan seribu kuda yang baik. Kalimah ini diselitkan tanpa sebarang asas dan sumber yang pasti. Seterusnya kisah al-Zubair memberikan sedekah pada keseluruhan hartanya itu tanpa satu dirham pun yang masuk ke rumahnya, tidak dinyatakan langsung kenyataan ini. Adakah ini yang dikatakan amanah akademik?[4]
d) Menggunakan Sumber Yang Tidak Boleh Dipercayai Dari Kalangan Umat Islam
Antara satu kecacatan yang menjadi perkara paling ‘memualkan’ dalam pengajian para orientalis terhadap Islam dan umatnya adalah dengan mengambil sumber yang tidak boleh dipercayai di kalangan umat Islam. Bahkan, mereka akan menjadikan sumber ini sebagai satu sumber asas yang menjadi keutamaan dalam setiap kajian dan penyelidikan mereka. Oleh itu, mereka seringkali merujuk kepada kitab-kitab yang kurang dipercayai seperti kitab karya al-Asfahani berjudul “al-Aghani” sebagai asas rujukan mereka di dalam kajian sejarah Islam dan masyarakatnya.
Begitu juga dengan beberapa lagi sumber rujukan yang sememangnya telah ditolak dan dipinggirkan oleh sebahagian besar ulama dan sarjana Islam. Antara buku yang telah diberikan ‘amaran’ kepada kaum Muslimin daripada membaca dan mengambilnya sebagai rujukan seperti buku-buku sejarah yang telah dihasilkan oleh umat Islam sendiri, antaranya “Sirah Ibn Ishaq”, “Sejarah al-Waqidi”, “Sejarah Abu al-Mikhnaf”, “Pengembaraan Ibn Battuta” dan sebagainya.
Para ulama Islam menolak dari mengambil fakta buku-buku ini kerana berlakunya penyelewengan di dalamnya oleh para penulis tersebut, seperti Ibn Ishaq, al-Waqidi dan Abu al-Mikhnaf yang lebih cenderung kepada Syiah dan terdapat banyak fakta yang mengelirukan di dalamnya serta berat sebelah. Manakala, hasil kerja Ibn Battuta itu pula disebabkan cerita itu mengandungi fakta yang mengelirukan dan penulisan itu ditulis semua oleh penulisnya selepas lebih 20 tahun pengembaraan itu dimulakan. Sedangkan kisah-kisah inilah yang dijadikan sumber utama bagi kajian penyelidikan mereka.
[2] Lihat buku Pengajian Sejarah oleh ‘Imad al-Din Khalil, hlm. 167.
[3] Lihat buku Pancaran Cahaya Sejarah Islam oleh Muhammad Fathi Utsman, hlm. 69.
[4] Lihat tajuk artikel Metod Penulisan Sarjana Barat Terhadap Sejarah Islam oleh ‘Abd al-‘Azhim al-Dib. Majalah al-Ummah, Qatar. Bil. 27, hlm. 115-116.
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, krisis kekurangan bahan keperluan seharian sering berlaku terutama menjelang perayaan.
Begitu juga didapati kekurangan bekalan gula semakin menjadi-jadi ketika ini, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha mengatasinya. Terbaru, lesen pemborong akan ditarik bagi peruncit gula yang tinggal di kawasan lingkungan 10 kilometer berhampiran sempadan negara.
Langkah ini bagi menyekat penyeludupan gula ke sempadan negara kerana harga guna di negara jiran lebih tinggi berbanding Malaysia.
Segala kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan dengan cara yang merugikan negara haruslah dijauhi dan dihindari. Hampirnya Ramadan tidak berapa lama lagi antara faktor utama aktiviti menyorok gula di kalangan pemborong tempatan yang jauh dari daerah persempadanan berulang lagi.
Peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok gula agar harga keperluan ini melambung tinggi dalam pasaran. Mungkin tidak ramai yang tahu tindakan ini dilarang Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Siapa yang menyorok barang keperluan, dia seorang yang berbuat maksiat.” (Riwayat Muslim)
Perbuatan menyorok barang dalam bahasa Arab ialah ihtikar iaitu perbuatan memonopoli barangan secara individu bagi meningkatkan harga di pasaran. Menurut Islam, perbuatan ini adalah kezaliman yang dilakukan peniaga kepada pembeli dengan menggandakan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.
Banyak hadis yang melarang dilakukan perkara seperti ini sama ada oleh golongan peniaga di kalangan orang awam hingga kepada peringkat pemerintah dan kerajaan.
Perbuatan seperti ini akan menyusahkan semua lapisan masyarakat. Sebuah hadis diriwayatkan Ibn Majah dan al-Hakim daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Usahawan diberi rezeki dan orang yang menyorok barang dilaknat.”
Dalam hadis berkenaan jelas menunjukkan usahawan yang mencari pendapatan dengan konsep memudahkan masyarakat pasti akan dipermudahkan rezeki mereka Allah.
Berbanding dengan pihak yang menyimpan barang atau memonopoli suatu perniagaan mencari keuntungan dengan kesusahan orang lain pasti akan dimarahi dan dibenci masyarakat.
Ulama fekah menetapkan syarat mengenai pengharaman barangan keperluan ini seperti berikut:
Jika perbuatan itu tidak menepati syarat berkenaan, penyimpanan barangan itu tidak dianggap ihtikar atau menyorok barangan untuk memanipulasinya.
Perbuatan buruk seperti ini sebaiknya harus dihindari peniaga kerana menyusahkan masyarakat dan juga diri sendiri apabila perbuatan mereka diambil tindakan dan menerima balasan buruk di akhirat kelak.
Khalifah Umar halang sembunyi makanan
KISAH yang petik daripada kitab Musnad oleh Imam Ahmad Hambal mengenai kisah Farrukh pembantu Utsman. Imam Ahmad mencatatkan mengenai Khalifah Umar al-Khattab ketika menuju ke masjid melihat lambakan makanan. Beliau bertanya: “Makanan apakah ini?” Mereka di situ menjawab: “Makanan yang kami usahakan.” Beliau berkata: “Semoga Allah memberkatinya dan mereka yang mengusahakannya.”
Namun, sebahagian mereka berkata: “Wahai Amir al-Mukminin, semua makanan ini akan disorok.” Beliau bertanya, siapakah yang menyoroknya? Mereka memberitahunya bahawa Farrukh pembantu Utsman dan si fulan pembantu Umar.
Beliau yang mengetahui hal itu terus menghantar orang agar memanggil mereka bertemunya. Beliau bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu menyorok makanan kaum Muslimin?” Mereka menjawab: “Wahai Amir al-Mukminin, kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya.” Jawab Umar: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.”
Mendengar kenyataan Umar itu, Farrukh segera berkata, aku berjanji demi Allah dan di depan engkau, aku tidak akan menyentuh makanan itu sampai bila-bila. Manakala, pembantu Umar masih menjawab: “Kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya.” Abu Yahya yang meriwayatkan hadis itu menceritakan: “Akhirnya, aku sendiri melihat pembantu Umar itu menghidap penyakit kusta di akhir umurnya.”
Oleh: Mohd Fikri Che Hussain
Baru-baru ini, berlaku lagi satu demonstrasi membantah perlaksanaan undang-undang I.S.A di Malaysia . Tindakan huru hara ini bukanlah satu tindakan yang wajar dilakukan oleh umat Islam. Perbuatan ini tidak akan membawa sebarang kebaikan, melainkan huru hara, kerugian dan kemusnahan kepada pelbagai pihak.
Perbuatan demonstrasi atau tunjuk perasaan adalah satu perbuatan yang tidak layak dilakukan oleh mana-mana muslim yang bermazhab Ahl al-Sunnah wa al Jama’ah iaitu golongan yang berpijak nyata dengan jalan sunnah. Bukan golongan yang menyatakan, “kami pun Ahl al-Sunnah”, tetapi mereka ini mengenepikan saranan dan tuntunan sunnah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka berada di jurang yang lain dan kita pula berada di dalam jurang yang lain.
Tindakan demonstrasi ini yang melabelkan untuk memartabatkan Islam pada awalnya. Namun, pada akhirnya mereka meninggalkan kesejahteraan Islam dengan melakukan perbuatan yang menjerumuskan nama Islam ke mercu kenistaan. Islam akhirnya dipandang buruk akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini yang disangka ‘jihad’.
Apatah lagi tindakan ini pada hakikatnya dipelopori oleh individu-individu yang berkepentingan serta mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Timbulnya semangat dan bahang untuk berdemontrasi kerana ada penghasut yang menyemarakkan kekeruhan ini.
Walaupun demonstrasi kadang kala dianggap sebagai satu cetusan ungkapan nurani rakyat yang terjadi di seluruh pelusuk negara Islam, namun ia tidak dapat diterima oleh jiwa yang berakal dan beriman. Kerana pada kebiasaanya demonstrasi didalangi oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu cara untuk mencapai rancangan atau konspirasi mereka.
Perbuatan tunjuk perasaan ini adalah perbuatan golongan yang bukan Islam yang dipelopori oleh Syiah sejak dahulu hingga kini dan bahana ini mencengkam situasi masyarakat kita, apabila kejayaan Revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomeini suatu ketika dahulu. Demonstrasi hanya dipertahan dan didukung bermati-matian hatta dianggap sebagai satu jihad oleh mereka yang jahil terhadap syariat dan agama Allah.
Dalam sirah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak ada satu petunjuk yang membuktikan hal ini pernah dilakukan oleh Baginda dalam menentang institusi pentadbiran Makkah ketika itu. Walaupun ketika itu, kekuatan sokongan yang ditonjolkan oleh golongan marhaen yang mulai ramai memeluk Islam di sekitarnya.
Malah ditambah lagi dengan beberapa orang sahabat yang mempunyai kedudukan ‘tinggi’ telah memeluk Islam seperti Abu Bakar, ‘Umar al-Khattab, Hamzah Abdul Muttalib dan ramai lagi. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam kerana ajaran Islam menekankan pada hikmah kebijaksanaan.
Petunjuk Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam ini terus diteladani oleh para ulama kurun terawal yang telah mengharamkan perbuatan demonstrasi yang tidak berfaedah ini. Malah perbuatan ini hanya mengganggu ketenteraman awam bahkan mencemarkan nama dan dakwah Islam yang sewajarnya dijalankan secara lebih berhikmah. Oleh itu, demonstrasi merupakan suatu bidaah sesat yang wajib dijauhi oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya.
Wajarkah Demonstrasi Kerana Menentang Pelaksanaan Hukum Pemerintah?
Allah yang Maha Adil akan menganugerahkan kepada golongan beriman seorang pemimpin yang bijaksana. Sebaliknya Dia akan mengurniakan seorang pemimpin zalim yang menguruskan kehidupan mereka bagi rakyat yang sering berbuat maksiat dan derhaka kepadaNya. Justeru, jika terdapat pada suatu masyarakat seorang pemimpin yang zalim dan korup, sesungguhnya kezaliman tersebut dimulakan oleh rakyatnya.
Meskipun demikian, apabila rakyat itu pula dipimpin oleh seorang pemerintah yang sering melakukan kemaksiatan dan mengengkari syariat Allah selagi tidak mengakibatkan ia kufur dan terkeluar dari Islam. Wajib bagi rakyat untuk menasihati mereka dengan cara yang sesuai dengan syariat. Memilih atau mengundi mereka dengan cara yang adil dalam usaha memartabatkan Islam dan mampu melaksanakannya.
Bantulah para pemimpin yang ada sekarang ini dengan nasihat yang baik sebagaimana perintah Allah kepada Nabi Allah Musa dalam menasihati Firaun. Kalau ‘buruk perangai’ mereka pun, tidak sekeji Firaun yang mengaku menjadi tuhan dan jika baik akhlak kita pula, tidaklah semulia akhlak Nabi Allah Musa. Muhasabahlah diri kita…
Sememangnya tidak wajar menasihati seseorang itu, apatah lagi seorang pemimpin dengan ucapan yang kasar di khalayak ramai. Bayangkan anda sendiri yang dimaki hamun di hadapan orang ramai, sudah tentu anda akan marah dan bersikap emosional melampaui batas. Tidak ada manusia yang boleh ‘menahan telinga’ apabila difitnah dengan pelbagai tuduhan di khalayak ramai, maka adalah dilarang sama sekali menggunakan cara ‘kasar’ tersebut dalam usaha membimbing atau menasihati orang lain.
Namun perlu diingat, bahawa orang yang menyeru pengamalan ini agar dilaksanakan dengan memberikan nasihat kepada pemerintah dengan cara sembunyi-sembunyi tidak lain berpandukan pada sebuah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Khaitsami dalam kitab Majma’ karya beliau yang berbunyi:
“Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah dengan suatu perkara, maka janganlah dipaparkan di khalayak ramai, tetapi hendaklah ia memegang tangan pemerintah dan bersemuka dengannya empat mata (secara berhadapan hanya dua orang). Jika pemerintah itu menerima nasihat tersebut, maka itu (yang diinginkannya) dan kalau tidak dia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia (pemerintah) dan pahala baginya (orang yang menasihati).”
Ringkasan dari hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ini, para ulama salaf menyarankan agar bertindak sesuai dengan kandungan hadis tersebut. Di antara mereka adalah Imam al-Syaukani rahimahullah yang berkomentar:
“Bagi orang-orang yang ingin menasihati pemimpin dalam beberapa masalah dan kesilapan pemerintah tersebut. Seharusnya dia tidak mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan khalayak ramai. Sebagaimana panduan dalam hadis di atas, perlunya seseorang itu mengambil tangan pemimpinnya dan berbicara secara empat mata dengannya, kemudian menasihatinya tanpa menyelewengkan perintah Allah”.
Hadis-hadis dalam masalah ini adalah mutawatir, tetapi wajib ke atas rakyat mentaati pemimpin dalam urusan ketaatan kepada Allah dan tidak mentaatinya dalam urusan maksiat kepada Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:
“Aku (Abu Bilal) duduk di samping Abu Bakrah (sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam) yang juga berada di bawah mimbar Ibnu Amir. Sementara itu Ibnu Amir sedang berkhutbah dengan memakai pakaian nipis. Maka Abu Bilal berkata: Lihatlah pemimpin kita, dia memakai pakaian orang fasik. Lantas Abu Bakrah berkata: Diam kamu! Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang menghina pemerintah yang dilantik Allah di muka bumi, maka Allah akan menghinakannya.”
Diriwayatkan dari al-Bukhari daripada Usamah bin Zaid radhiallahu ‘anhu yang pernah ditanya: “Mengapa engkau tidak menghadap Utsman untuk menasihatinya?” Maka jawab beliau: “Apakah kamu berpendapat semua nasihatku kepadanya itu harus diperdengarkan kepada kamu? Demi Allah! Sesungguhnya aku telah menasihatinya hanya antara aku dan dia. Dan aku tidak ingin menjadi orang pertama yang membuka pintu (fitnah) ini.”
Demikian metod atau manhaj Salaf dalam menasihati kepada para pemerintah atau mereka yang mempunyai jawatan dan kuasa. Wajib ke atas umat Islam apabila hendak menasihati pemerintah, hendaklah dengan metod salaf yang jelas menghasilkan akibat yang lebih baik dan tidak menimbulkan perpecahan antara rakyat dan pemimpin dan ini di antara akibat mengadakan demonstrasi yang akhirnya akan membawa kepada kerugian pada kedua belah pihak.
Selusuri Metod Para Imam Salaf al-Ummah Dalam Menghadapi Pemerintah
Apabila dirujuk pada sirah Salaf al-Soleh, mereka tidak pernah mengadakan suatu demonstrasi dalam menekan pihak pemerintah pada zaman mereka. Kita lihat beberapa fakta sejarah yang ada dalam sejarah keemasan umat Islam untuk diteladani:
Kes 1 – Imam Malik Bin Anas
Imam Malik pernah dihukum oleh gabenor Kota Madinah pada tahun 177H/764M kerana telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum talak yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasiyah sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasiyah ketika itu telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh talak ke atas isterinya.
Memandangkan rakyat yang lebih taatkan ulama daripada pemimpin, pemerintah Abbasiyah telah memaksa Imam Malik untuk mengesahkan fatwa mereka. Imam Malik enggan, malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa talak sedemikian tidak sah dan tidak akan jatuh talaknya. Mendengar ketegasan fatwa yang dilaksanakan oleh Imam Malik itu, pihak pemerintah telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Imam Malik ditangkap dan dipukul oleh gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan teruk ini menyebabkan beliau tidak dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada (bersedekap). Lalu tangannya itu dibiarkan sahaja terkulai sewaktu beliau bersolat. Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiulawal tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun.
Ketegasan Imam Malik dalam mempertahankan fatwanya, tidak mengajak beliau menjadi ketua pemberontak atau penganjur tunjuk perasaan bagi menjatuhkan kerajaan di zamannya. Beliau mempunyai ribuan murid yang mampu dikerahkan sebagai para penunjuk perasaan jika hal itu benar-benar perlu dilaksanakan. Namun akibat yang lebih berat akan berlaku dengan kerugian yang besar bakal ditanggung oleh kedua belah pihak.
Kes 2 – Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Muktazilah yang diterima pakai oleh pemerintah Abbasiyah ketika itu. Mazhab Muktazilah ini adalah mazhab yang mendorong penggunaan akal melebihi nas dan dalil dan ia amat bertentangan dengan mazhab Ahl al-Sunnah. Para pemerintah Abbasiyah ini memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut dengan fatwa mereka yang pelik-pelik. Lantas Imam Ahmad enggan mengiktiraf fatwa tesebut yang bercanggah dengan akidah Ahl al-Sunnah.
Tindakannya ini mengundang kemarahan pemerintah Abbasiyah (Muktazilah) yang menyebabkan beliau dihukum sebat di dalam bilik kurungannya sehingga tidak sedarkan diri. Beberapa tahun beliau dikurung dan dikenakan tahanan rumah yang menyebabkan anak muridnya yang dahagakan ilmu merasa kerugian untuk mendapatkan ilmunya.
Namun, kebenaran adalah segala-galanya. Namanya terus dijulang hingga kini dan nama mereka yang melakukan kekejaman ke atasnya tidak langsung diingati oleh ummah. Hanya mereka yang jahat diingati kerana kezalimannya yang perlu dihindari dan dijauhi sebagaimana Firaun, Abu Jahal, Abu Lahab dan mereka yang seangkatan dengannya.
Penindasan yang dialami oleh tokoh ummah ini, tidak membuatkan beliau ‘tergesa-gesa’ menganjurkan tunjuk perasaan terhadap pemerintah Islam bermazhab Muktazilah. Walaupun mereka ternyata berlainan dan berbeza mazhab serta ideologi agama, Imam Ahmad tidak pernah mengisytiharkan agar para pemerintah ini diperangi dan digulingkan oleh umat Islam.
Sekalipun tokoh-tokoh ini mempunyai ‘kuasa rakyat’ yang mampu berbuat demikian dalam menjatuhkan kezaliman pemerintah. Begitu juga dengan tahanan dan kurungan yang dikenakan terhadap mereka yang lebih teruk daripada penderaan I.S.A. Beliau tidak membantah secara terbuka atau bertulis mengenai fatwa pengharaman tersebut sekiranya diteliti dengan adil dan saksama oleh para pengkaji buku hasilan karya beliau dan anak murid selepasnya.
Kes 3 - Imam Ibn Taimiyyah
Bahkan jika disoroti kisah Imam Ibn Taimiyyah penerus mazhab Hanbali yang menjadi ‘pembaharu’ kepada akidah umat dizamannya. Beliau turut sama dipenjarakan oleh pemerintah akibat tohmahan oleh pihak ulama yang berdengki dan tidak berpuas hati dengan ketegasan fatwanya. Bukan sekali beliau ditangkap dan dipenjarakan dengan akta seakan I.S.A tanpa bicara dan pengadilan. Malahan hingga 4 kali beliau dikurung dan dipenjarakan dengan hayatnya turut berakhir di dalam penjara keseorangan.
Namun, pada hari kematiannya seluruh kedai di kota Damsyik turut tutup dan jenazahnya diiringi hampir 100 ribu orang dari seluruh pelusuk bumi Syam yang mendengar berita kematiannya. Tiada seorang pun pemerintah dizamannya yang pernah dihadiri begitu ramai pelawat sebagaimana orang yang menghadiri jenazah Ibn Taimiyyah. Bukti kebenaran ini dapat dilihat pada penghujung hayatnya sepertimana yang pernah ditulis di dalam kitab sejarah tokoh Islam oleh Imam al-Zahabi.
Ini kerana suaranya bertakhta di hati rakyat dan hingga kini tiada siapa yang mampu menandingi karyanya sebagai ‘penyuluh’ umat. Tidak hairanlah jika para pemerintah dizaman itu amat gerun kepada mereka ini, seandainya mereka melaungkan slogan anti I.S.A, sudah pasti pihak pemerintah di zaman itu tiada ‘pilihan’ melainkan melepaskan jawatan mereka.
Metod Sunnah Terhadap Pemerintah
Namun itu semua bukan metod ulama Ahl al-Sunnah zaman silam kerana ajaran Islam melarang umat Islam memberontak menumbangkan kerajaan yang diperintah oleh pemimpin Islam selagi mana ianya bersolat. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dari hadis Muslim ada menyebutkan: “Dari Wail radhiallahu ‘anhu berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menghalang hak kami dan dia juga memeras kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka, ini kerana mereka akan menerima ganjaran amalan mereka dan kamu akan mendapat ganjaran apa yang kamu kerjakan.”
Bahkan sebuah hadis sahih yang diriwayatakan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorag muslim menjatuhkan pemerintahnya sama ada dengan demonstrasi atau pemberontakan bersenjata untuk mengguling kuasa.
Bacalah dengan hati yang terbuka sabda Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam: “Akan datang selepas peninggalanku nanti, para pemimpin yang tidak mengikut pentunjukku, tidak beramal dengan sunnahku dan panduan sunnahku. Seterusnya akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah yang harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul belakangmu dan merampas harta bendamu (dengan tiada alasan yang benar).”